Sabtu, 28 Disember 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


200 Murid Sertai Program Gunting Rambut Percuma Back to School DUN Seri Andalas

Posted: 28 Dec 2013 07:00 PM PST

Taman Sentosa, Klang, 28 Disember 2013 - Seramai 200 orang murid mendapat perkhidmatan gunting rambut percuma dalam satu program Gunting Rambut Percuma Back to School yang dianjurkan Pejabat Khidmat ADUN Seri Andalas dan Ahli Majlis MPK N49A.

Program ini diadakan di hadapan Pusat Aktiviti DUN Seri Andalas dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Setiap murid yang menyertai program ini diberi satu set alat tulis. Program mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan penduduk sekitar membawa anak-anak mereka untuk menyertai program ini.

Program telah dirasmikan oleh YB Dr Xavier Jayakumar selaku ADUN Seri Andalas dan juga Ketua Cabang Parti Keadilan Kota Raja. Turut hadir adalah Encik PS Rajoo, Ahli Majlis MPK dan Encik Manaf, Ahli Majlis MBSA.

YB Dr Xavier Jayakumar mengucapkan terima kasih kepada Akademi LaJoise dan Giat MARA yang menyumbang tenaga kerja menggunting rambut serta penghargaan kepada semua sukarelawan yang menjayakan program ini.

Berikut adalah gambar semasa program dijalankan. Lebih banyak gambar DISINI.









Harga Ais Pula Meningkat Mulai Januari Ini

Posted: 28 Dec 2013 06:30 PM PST

Rakyat yang sudah dibebankan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta pemotongan subsidi kerajaan akan semakin panas apabila harga minuman dan makanan sejuk akan dinaikkan ekoran kenaikan harga air batu atau ais.

Persatuan Pembuat Tube Ice Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya akan menaikkan harga ais sebanyak 50 sen setiap beg manakala harga air batu blok pula akan meningkat RM2.50 setiap blok mulai 1 Januari ini.

Menerusi iklan yang dikeluarkan dalam akhbar Inggeris oleh 26 pengilang ais di Lembah Klang, mereka berkata, kenaikan harga ini tidak boleh dielakkan berikutan kenaikan kos pengeluaran dan pengedaran.

"Kadar tarif elektrik yang terkini (kira-kira 17%) bermula 1 Januari 2014 dan kenaikan diesel (naik 11.1%) sejak 2 September tahun ini  telah menyebabkan perkara ini," kata mereka.

Kenaikan harga ais juga disebabkan pelaksanaan dasar gaji minima mulai Januari tahun ini, kenaikan gaji 18% serta kenaikan harga beg plastik, tayar dan alat ganti.

Mereka juga menyalahkan kenaikan ini kepada pihak penguatkuasaan yang selalu dibuat oleh Kementerian Kesihatan dan dalam masa yang sama di bawah Akta Makanan, semua pengeluar ais dan pengendalinya dikehendaki mematuhi prosedur keselamatan.

"Oleh itu, kami tidak ada pilihan tetapi menyesuaikan harga demi mempastikan perkhidmatan kami untuk mengeluarkan ais tidak tercemar dan kebersihannya tidak terganggu," tambahnya.

Kerajaan telah bersetuju untuk mengawal kenaikan harga sejak September apabila subsidi gula dan minyak dipotong, kenaikan tarif elektrik mulai bulan depan dan kemungkinan kadar tol dan cukai taksiran mulai tahun depan.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar 6% bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang bakal bermula April 2015.

Kajian yang dibuat oleh  Universiti Malaya's Centre for Democracy and Elections (UMCEDEL) awal bulan ini mendapati sokongan untuk Barisan Nasional akan jatuh lagi jika gagal mengendalikan isu kenaikan kos sara hidup untuk rakyat Malaysia ini.

Dalam masa yang sama, 61% responden tidak bersetuju dengan cadangan pengenalan GST oleh kerajaan.

Pengarah UMCEDEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kenaikan tarif elektrik dan dan petrol memberikan kesan besar kepada mereka yang terlibat dalam kajiannya dan 52% daripada mereka berasa BR1M tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barangan.

Minggu lalu, kajian Merdeka Center mendapati, kebimbangan terhadap ekonomi khasnya kenaikan harga dan inflasi meningkat ke tahap tertinggi iaitu 67% daripada semua responden mereka.

Kajian juga mendapati, 55% daripada pengundi di Semenanjung tidak faham kesan GST dalam kehidupan mereka.

Selain itu, 54% daripada responden dilaporkan tidak percaya dengan kenyataan kerajaan berhubung dengan ekonomi negara.


Sumber: TheMalaysianInsider

PKR Gesa SPRM Siasat Anak Rosmah Beli Megapuri RM110 Juta di New York

Posted: 28 Dec 2013 01:30 AM PST

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bagaimana anak tiri Perdana Menteri boleh membeli sebuah megapuri (penthouse) bernilai RM110 juta di New York.

Kenyataan ini dibuat ketika mengulas laporan pembelian satu unit kondomium mewah, megapuri, di New York oleh anak tiri Perdana Menteri, Riza Shahriz Abdul Aziz, 36.

Tian Chua berkata pendedahan itu amat mengejutkan ketika rakyat bergelut dengan kesukaran menghadapi peningkatan kos sara hidup.

"Ia amat mengejutkan dan kita persoalkan dari manakah dia mendapat wang sebanyak itu kerana angkanya terlalu besar iaitu RM110 juta," katanya kepada media hari ini.

Oleh itu, beliau menggesa SPRM perlu lebih memainkan peranan untuk menjalankan siasatan ke atas anak tiri  Perdana Menteri tersebut.

"Pendedahan itu seperti membuktikan terdapat kalangan pemimpin yang begitu kebal daripada undang-undang.

"Sepatutnya SPRM tidak perlu dibayangi dengan kuasa seperti ini, mereka haruslah menjalankan siasatan biarpun tiada tuduhan kerana ini merupakan penyelewengan yang amat serius," katanya.

Semalam media melaporkan Riza yang merupakan anak lelaki Datin Seri Rosmah Mansor dengan bekas suami terdahulu telah membeli hartanah di West 63rd Street Park di laurel New York.

Laporan itu memetik laman Web syarikat hartanah New York The Real Deal menyatakan Riza membeli megapuri tujuh bilik pada 19 November tahun lepas.

Unit megapuri itu dibeli Riza menerusi syarikat dengan liabiliti terhad dikenali sebagai Park Laurel Acquistation.


Sumber: TheMalaysianInsider

Majlis Peguam: Kerajaan Pusat Patut Mansuh Akta Tidak Relevan Dan Menindas

Posted: 28 Dec 2013 01:15 AM PST

SHAH ALAM 28 DIS: Kerajaan Pusat patut memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekaligus menubuhkan sebuah badan media yang bebas.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong, dalam satu kenyataan media berkata, akta itu mesti dimansuhkan kerana ia tundang-undang yang tidak boleh diguna pakai dan bertentangan dalam negara demokrasi moden.
 
Katanya, akta itu disalahgunakan apabila memberi ruang kepada pembelian, ugutan, menjejaskan serta menghukum media yang sepatutnya bebas daripada kuasa kerajaan.

"Pemansuhan akta itu tidak bermakna penerbit boleh menulis apa sahaja. Bagaimanapun bertitik tolak pada situasi kini, kerajaan perlu mempertimbangkan mewujudkan sebuah badan media bebas.

"Sekiranya terdapat aduan penyalahgunaan penggunaan tulisan atau apa sahaja, ia boleh diuruskan oleh Majlis Media yang diwakili oleh media sendiri, wakil daripada perkhidmatan awam dan mana-mana pihak berkaitan," katanya.

Katanya, Majlis Peguam mengutuk insiden penggantungan akhbar mingguan The Heat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana mencemar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Sehingga kini penggantungan itu menimbulkan tanda tanya selain tiada penjelasan kukuh, pengarang pula tidak diberi peluang membela diri dan bercanggah dengan Akta 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Kebebasan media adalah lambang kepada negara demokrasi, kerana itu Malaysia dan rakyatnya memerlukannya dan layak menerima kebebasan ini," katanya.

Sumber: SelangorKini

NGO: Pentadbiran Najib Musuh Kebebasan

Posted: 28 Dec 2013 01:00 AM PST

Sekumpulan NGO prokebebasan menganggap penggantungan mingguan The Heat oleh kerajaan menunjukkan bahawa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai "musuh kebebasan".

Perkara itu dinyatakan dalam dalam kenyataan bersama Institut Kajian Dasar, Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) dan Akademi Pak Sako hari ini.

"Kami sebagai sebuah perkumpulan yang menjunjung idea kebebasan serta pembinaan sebuah masyarakat dan negara yang liberal mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung penerbitan akhbar mingguan The Heat.

"Penggantungan tersebut membuktikan pentadbiran Najib musuh kepada kebebasan," kata mereka.

Mereka juga menyeru pelbagai pihak bersatu membentuk "kekuatan liberal" dan mempertahan hak kebebasan yang menjadi asas penubuhan Malaysia.

"Kami berpendirian, menjadi keutamaan kepada semua kumpulan yang menjunjung kebebasan berekspresi untuk tuntas mengungkapkannya dalam apa sahaja bentuk sama ada seni budaya, politik, media dan lain-lain demi menewaskan anasir autoritarian di negara ini," katanya.

Ketiga-tiga kumpulan itu juga dengan tegas menyatakan solidariti dan dokongan terhadap perjuangan Gerakan Media Marah (GERAMM) untuk menuntut kebebasan media ekoran penggantungan akhbar itu.

Sumber: MalaysiaKini