Jumaat, 15 November 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Dana RM40 juta kepada Utusan Malaysia Bukti Seleweng Wang Rakyat

Posted: 15 Nov 2013 01:45 AM PST

DAP menyifatkan suntikan dana tambahan Umno kepada syarikat Utusan Melayu Bhd sebanyak RM40 juta  adalah tindakan terdesak Umno dan membuktikan penyalahgunaan wang kerajaan secara terang-terangan.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, berkata pendedahan berkenaan amat mengejutkan dan mendesak Suruhanjaya Sekuriti supaya menjadi sebuah badan bebas tanpa campur tangan daripada kerajaan.

"Berdasarkan peraturan jika kepentingan Umno dalam syarikat tersebut meningkat melebihi 2% ia mesti membuat tawaran pembelian kepada pemegang saham lain.

"Memandangkan usaha Umno untuk mendapatkan tawaran terbitan hak kepada syarikat tersebut, parti itu perlu meningkatkan kepentingan sekurang-kurangnya 53.1% dan dengan itu ia mewujudkan tawaran am mandatori, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pua berkata, DAP mendesak agar Suruhanjaya Sekuriti tegas dalam melindungi integriti kewangan negara dalam pasaran.

Katanya, amat penting bagi suruhanjaya bertindak dengan adil dan harus dilihat telus kepada semua pelabur Malaysia.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata demikian sebagai mengulas mengenai rancangan parti Melayu itu menyuntik RM40 juta dalam Utusan Malaysia melalui cadangan "two-call rights issue (TCRI)".

Menurut makluman daripada Bursa Malaysia, tindakan tersebut akan melonjakkan pegangan saham Umno dalam Utusan Malaysia daripada 49.8 % kepada 53.1 %.

Dengan jaminan untuk membeli saham terbitan, kuasa mengundi Umno bakal meningkat kepada kira-kira 67. 2% lebih dua peratus dalam tempoh enam bulan.

Pada masa sama, Pua turut menggesa menteri Kabinet yang masih berfikiran wajar untuk bangkit menyatakan bantahan mengenai isu penyalahgunaan wang rakyat itu.

"Ini merupakan konflik kepentingan apabila kita tahu menteri kewangan juga merupakan Presiden Umno," katanya.

Pua berkata, akhirnya alasan kerajaan memujuk syarikat milik kerajaan (GLC) untuk menyokong akhbar Utusan Malaysia dengan membeli iklan dalam akhbar itu terjawab.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dikatakan menyerahkan surat arahan rasmi secara bertulis kepada semua pengarah agensi dan syarikat GLC untuk membeli ruang iklan dalam akhbar tersebut.

"Tindakan oleh menteri Umno tersebut adalah perbuatan penyelewengan kewangan yang sangat menakutkan.

"Utusan Malaysia dilaporkan dibebani hutang sebanyak RM195 juta pada Oktober 2013 malah pada 2012 akhbar itu kerugian sebanyak RM15. 8 juta, ditambah pula pada suku pertama tahun ini jumlah kerugian sebanyak RM8.8 juta," katanya.

Sumber: The Malaysian Insider

Inisiatif Kerajaan Belanja RM270 Juta Tingkat Penguasaan BI Gagal

Posted: 15 Nov 2013 01:30 AM PST

SHAH ALAM 15 NOV : Perbelanjaan RM270 juta kerajaan pusat untuk program mentor antarabangsa Bahasa Inggeris tidak menjanjikan pulangan apabila keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) menunjukkan penurunan dalam mata pelajaran itu.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, berkata program mentor itu seharusnya melatih 7,500 guru Bahasa Inggeris sekolah rendah di seluruh negara sejak dilaksanakan, pada 2010.

Katanya, dijangkakan pelajar sekolah rendah akan menunjukkan sedikit peningkatan dalam keputusan Bahasa Inggeris tahun ini dengan kos yang dibelanjakan itu.

Zairil berkata, terdapat penurunan ketara dalam keputusan kertas Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah kebangsaan, dengan Gred Purata Mata Pelajaran kertas itu merosot 0.06 mata walaupun prestasi keseluruhan UPSR bertambah baik.

"Justeru, keputusan UPSR terkini adalah satu tamparan besar kepada usaha kementerian dan ironinya prestasi keseluruhan dalam kertas Bahasa Inggeris sekolah jenis kebangsaan pula menyaksikan peningkatan 0.12 mata dengan bilangan pelajar mencapai A meningkat 4.2 peratus dan mereka yang mendapat B dan C meningkat 2.1 peratus.

"Dalam erti kata lain, sekolah jenis kebangsaan yang tidak mendapat manfaat daripada program mentor antarabangsa bahasa Inggeris berjaya meningkatkan penguasaan dalam bahasa itu.

"Manakala keputusan sekolah kebangsaan merosot walaupun kerajaan pusat membelanjakan RM270 juta dalam tempoh tiga tahun khusus untuk meningkatkan tahap kemahiran bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sumber: SelangorKini