Sabtu, 21 September 2013

BULETIN RAKYAT

BULETIN RAKYAT


ITS A JOKE.... KATA RAHIM NOOR

Posted: 21 Sep 2013 05:28 AM PDT

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor mengingatkan bahawa Malaysia akan menjadi bahan ketawa jika kerajaan tetap enggan membenarkan abu Chin Peng dibawa pulang ke negara ini.

"Jika kerajaan - pihak berkuasa - tunduk kepada tekanan awam tidak membenarkan abu Chin Peng dibawa pulang, saya fikir, kita menjadikan Malaysia bahan ketawa seluruh dunia ," katanya dalam satu temubual yang disiarkan di BFM semalam.

Abdul Rahim, yang mengetuai rundingan damai antara pihak Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM ) pada akhir tahun 1980-an , berkata keengganan untuk membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini, walaupun sewaktu beliau masih hidup, umpama memperolok-olokkan Perjanjian Damai Hatyai pada 1989.

Beliau  yang ketika itu merupakan Ketua Cawangan Khas Malaysia , berkata beliau telah dapat menyakinkan kerajaan pada masa itu untuk mengadakan perbincangan dengan pihak komunis, lebih 30 tahun selepas kegagalan rundingan Baling pada 1955.
Abdul Rahim berkata walaupun tempoh darurat selama 12 tahun telah ditarik balik pada tahun 1960 , pasukan keselamatan masih berperang dengan saki baki komunis pada 1980-an, tetapi kejatuhan komunisme di rantau ini merupakan satu peluang untuk mengadakan rundingan damai yang baru.
Pada masa itu, katanya, masih terdapat kira-kira 2,000 komunis di sepanjang sempadan Malaysia- Thailand, dengan dua kumpulan terbesarnya ialah Biro Malayan Utara dan Rejimen ke-10, yang sebahagian besar anggotainya adalah Melayu.

Dengan sokongan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdul Rahim berkata, Cawangan Khas, secara rahsia , dimulakan rundingan dengan komunis pada akhir tahun 1987 dan pada awal tahun 1988 di Pulau Phuket, yang berlangsung selama lima pusingan.

Ini, katanya, berakhir dengan perjanjian damai 1989 ditandatangani di Hatyai, dan terdiri daripada dua perjanjian, satu yang mengandungi syarat-syarat utama dan satu lagi mengenai butiran pentadbiran bagaimana syarat-syarat akan dilaksanakan.
"Saya terlibat dalam menderaf kedua-dua perjanjian itu, jadi saya tahu sepenuhnya bahawa di bawah syarat-syarat perjanjian , pertama sekali, perjanjian itu mengikat semua anggota PKM , dari yang tertinggi, paling atas hingga ke bawah, yang paling rendah .

"Jika anda mengatakan bahawa Chin Peng sebagai setiausaha agung parti (PKM) adalah anggota yang paling tertinggi , maka dia layak untuk mendapatkan semua keistimewaan, kelebihan atau apa sahaja janji-janji yang dibuat dalam perjanjian  itu yang termasuk untuk dia dibenarkan untuk datang (ke Malaysia)," kata Abdul Rahim.
Selain itu, katanya, mengikut perjanjian tersebut, sekiranya bekas anggota komunis tidak dibenarkan untuk pulang tinggal di Malaysia, mereka masih perlu dibenarkan masuk ke negara ini atas lawatan sosial.

"Tapi dalam kes Chin Peng, dia tidak dibenarkan kedua-duanya. Bagi saya, ia adalah tidak masuk akal, sama sekali tidak masuk akal. Ia adalah tidak adil, tidak adil...

"Terdapat (bekas komunis) lain yang dibenarkan untuk pulang dan mereka kebanyakannya adalah Melayu. Abdullah CD dibenarkan untuk pulang ke Malaysia dan telah diperkenan menghadap Sultan Perak sekarang.

"Rashid Maidin, saya diberitahu, mengerjakan haji melalui KL dengan bantuan pihak berkuasa Malaysia. Apa semua ini?" kata Abdul Rahim.

Abdullah CD adalah pengerusi PKM manakala Rashid Maidin adalah ahli jawatankuasa pusat PKM.
Ditanya sama ada ketegasan untuk tidak membenarkan Chin Peng pulang,  walaupun dia telah meninggal, berasaskan garis kaum, Abdul Rahim yang teragak-agak seketika, kemudian berkata: " Saya tidak bersedia untuk membuat andaian seperti itu "

"Setakat kes Chin Peng ini, kita telah mewujudkan keadaan di mana kita memperolok-olokkan prjanjian (damai) tersebut," katanya.

Beliau mengingatkan bahawa pendirian kerajaan melarang abu Chin Peng disemadikan di kampung halamannya di Sitiawan, Perak, telah menjadikan bekas pemimpin komunis sebagai satu ikon.

"Secara khusus, saya fikir ia tidak baik untuk parti pemerintah, terutamanya dalam usaha mereka dalam pasca pilihan raya umum ke-13, untuk memenangi kembali sokongan kaum Cina Malaysia," katanya.

Kerajaan telah menjustifikasikan keputusannya itu dengan mengatakan bahawa Chin Peng bertanggungjawab atas kematian ramai anggota pasukan keselamatan , yang kebanyakannya adalah orang Melayu.

Abdul Rahim mengeluh kerana orang seolah-olah tidak memahami konteks perjuangan komunis antarabangsa dan sebaliknya melihat bahawa 40 tahun pemberontakan komunis di Malaya adalah "Chin Peng melawan seluruh jentera kerajaan".

Beliau menegaskan bahawa kajian menunjukkan struktur komunis adalah secara kolektif dan ia bukan  "one-man-show" di Chin Peng yang membuat semua keputusannya.

"Saya tidak tahu mengapa ia perlu jadi begini (Chin Peng lawan kerajaan). Hakikatnya adalah bahawa baik atau buruknya - siapa pun Chin Peng, latar belakangnya ialah perjanjian damai telah ditandatangani. Kita mesti menghormati terma dan syarat-syaratnya," katanya.
Ditanya oleh stesen radio itu bagaimana  pada pandangannya sejarah akan mengenang Chin Peng, Abdul Rahim berkata: "Mereka (ahli sejarah) sepatutnya boleh menganalisis Chin Peng sebagai pemimpin komunis - peranannya dan peranan partinya - dalam menentang British, dalam menghalau British.

"Peranan beliau dalam proses damai - kegagalan rundingan Baling dan kejayaan rundingan damai Phuket yang membawa kepada Perjanjian Damai Hatyai."

Abdul Rahim sentiasa konsisten mahukan kerajaan berpegang kepada syarat-syarat perjanjian damai itu dan telah membuat gesaan yang sama dalam satutemubual pada tahun 2009 denganMalaysiakini supaya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia.

Chin Peng meninggal dunia pada 16 September  pada usia tua, yang kebetulan adalah tanggal Hari Malaysia.

MEDIA Rakyat MALAYSIA

MEDIA Rakyat MALAYSIA


DEWAN REFORMASI, DEMOKRASI DAN UPAYA MASYARAKAT @REFORMASI DI LANCARKAN

Posted: 20 Sep 2013 08:52 AM PDT