TMI
Tidak munasabah jika Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu menahu mengenai Projek IC di Sabah kecuali beliau tidak bertanggungjawab atau tidak cekap, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberi keterangan di hadapan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah, hari ini.
Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri ketika projek ini berlangsung, Dr Mahathir sepatutnya bertanggungjawab terhadap skandal itu dan Anwar menolak penjelasan bekas perdana menteri itu bahawa beliau tidak tahu mengenainya.
Anwar juga berkata, beliau tidak pernah mendengar mengenai Projek IC ketika berada dalam Kabinet dari 1982 hingga 1998.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Pegawai RCI, Manoj Kurup sama ada beliau tahu atau tidak mengenai projek itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau mendengar mengenai kewujudan satu pasukan khas yang ditubuhkan untuk memasukkan pendatang asing sebagai rakyat Malaysia.
“Antara 1993 hingga 1998, ketika saya timbalan perdana menteri, saya tidak pernah dijemput dalam mana-mana mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya ada mendengar satu pasukan khas ditubuhkan oleh MKN pada 1989 tetapi tidak mendapat maklumat lanjut,” katanya di hadapan panel lima anggota RCI yang diketuai Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
“Hatta semasa menjadi pemangku perdana menteri selama dua bulan, saya tidak pernah diberi penerangan oleh Ketua Pengarah MKN atau diminta menandatangani apa-apa fail berkaitan dengan MKN,” katanya dan turut memberitahu, Projek IC tidak pernah dibawa kepada Kabinet.
Berpakaian sut biru gelap dan berbaju putih, Anwar dalam keterangannya berkata, pada masa itu Dr Mahathir adalah Menteri Dalam negeri.
Anwar yang memakai cermin gelap sepanjang menjadi saksi itu kerana masalah mata, kelihatan tenang semasa menjawab segala soalan yang dikemukakan kepadanya oleh Kurup, Shim dan wakil daripada Persatuan Peguam Sabah.
Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa kepada pemberita di Kuala Lumpur, bekas timbalannya itu pasti tahu jika pengeluaran kad pengenalan palsu di Sabah dibuat secara rasmi oleh kerajaan.
Tanpa menamakan Anwar, bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat di negara ini berkata, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) itu seharusnya mengetahui kejadian yang berlaku di Sabah.
“Jika ia polisi kerajaan, kenapa dia tidak berhentikan?” katanya.
“Adakah dia akan menipu di suruhanjaya dan mengatakan saya yang arahkan? Dia mesti tahu, kerana dia timbalan saya,” katanya merujuk kepada RCI itu.
Sehubungan itu itu, Anwar memberitahu The Malaysian Insider, beliau akan menjawab segala tuduhan Dr Mahathir itu dalam RCI ini.
BUKAN MAHATHIR SAJA SALAH
Dalam pada itu, ketika soal jawab, Anwar berkata, Dr Mahathir tidak patut dipersalahkan sepenuhnya atas apa yang berlaku dalam skandal pemberian kad pengenalan untuk warga asing di Sabah.
Ini kerana para pengganti mereka juga patut dipersalahkan, kata Anwar kepada Suruhanjaya Diraja Siasatan (RCI) hari ini.
Anwar ketika membela bekas bosnya itu berkata, Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak juga patut dipertanggungjawabkan terutama selepas ia bukannya berlaku di Sabah sahaja.
“Dr Mahathir tidak patut dipersalahkan sepenuhnya dalam Projek IC, kedua-dua pengganti dia juga mesti disiasat kerana ia juga berlaku ketika keduanya menjawat jawatan itu,” kata Anwar kepada penal lima anggota RCI yang diketuai bekas Ketua Hakim Sabah and Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Anwar mendakwa, apa yang berlaku ketika Dr Mahathir juga berlaku kini di bawah Najib.
Katanya, pegawai kerajaan di Selayang dan Sepang yang mendaftar pendatang asing juga mengeluarkan kad pengenalan untuk mereka.
Bagaimanapun Anwar tidak bersetuju dengan cadangan Steve Shim, sistem di negara ini lemah, dengan berkata, ia bukan lemah tetapi korup.
Anwar berkata, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut suasana yang membolehkan pendatang asing boleh dijadikan warga negara.
“Ia tertulis dengan jelas apa yang dibenarkan dan apa yang tidak. Hatta semasa saya sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya tidak berkuasa untuk memberikan kad pengenalan kepada sesiapapun. Kuasanya terletak penuh di bawah Menteri Dalam Negeri,” kata Awnar.
“Memang ada kelemahan ketara dalam sistem tetapi pengeluaran kad pengenalan secara besar-besaran kepada pendatang asing tidak akan berlaku kecuali mendapat kebenaran dari orang tertinggi dalam kerajaan,” tambah Anwar merujuk kepada perdana menteri.
Wakil Persatuan Peguam Sabah Datuk John Sikayun bertanya Anwar, adakah beliau berpendapat penguatkuasaan adalah punca utama kemasukan besar-besaran pendatang asing ini.
“Penguatkuasaan memang masalah utama, khasnya di Malaysia. Daripada mengawal pendatang asing, polis lebih berminat untuk menghantar 60 anggota dari Cawangan Khas untuk mengikut program dan ucapan saya,” kata Anwar.
“Polis sepatutnya hantar satu atau dua anggota Cawangan Khas ke program saya dan selebihnya menguruskan pendatang asing.
“Juga ada pegawai yang korup, bukan sahaja dalam pasukan polis tetapi juga dalam Jabatan Pendaftaran Negara dan juga Jabatan Imigresen,” katanya.