Sabtu, 3 Ogos 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Sistem Pengurusan Polis Perlu Diperbaiki Bagi Pencegahan Jenayah

Posted: 03 Aug 2013 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 3 OGOS : Sistem pengurusan pihak polis seharusnya diubah dan diperbaiki agar sumber, tenaga dan tanggungjawab anggota keselamatan dapat ditumpukan dalam usaha pencegahan jenayah.

Menurut Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, masalah jenayah yang semakin menular ketika ini bukan berpunca daripada kekurangan undang-undang berkaitan, sebaliknya berpunca daripada pembahagian tugas dan tanggungjawab anggota polis yang dilihat tidak relevan.

"Perkara ini sudah lama dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat (PR) di mana kita mendesak agar pasukan polis diperbanyakkan untuk mencegah jenayah kerana buat masa sekarang terlalu kurang anggota ditugaskan dalam pencegahan jenayah.

"Sebaliknya, kebanyakkan sumber (polis) diletakkan dalam unit pentadbiran, logistik, gerakan am dan sebagainya; lebih-lebih lagi menumpukan pada hal-hal politik Pakatan Rakyat.

"Inilah yang mesti diubah agar pengurusan polis lebih baik dan mengutamakan perkara yang lebih penting untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat, bukan nafsu politik pihak-pihak tertentu," ujar beliau yang dihubungi TVSelangor.

Sehubungan itu, beliau berkata tiada asas untuk mengembalikan semula Akta Darurat (EO) sepertimana disarankan sesetengah pihak kerana undang-undang sedia ada dilihat berkeupayaan mengawal aktiviti jenayah.

"Dahulu pun ketika EO wujud, ia tidak dibuktikan berkesan mencegah jenayah dan kita tentang kerana ia adalah penahanan tanpa perbicaraan serta terdedah kepada penyalahgunaan oleh kerajaan.

"Tidak perlu EO sekarang ini kerana undang-undang sedia ada seperti Kanun Acara Jenayah yang memberi kuasa penahanan selama 15 hari terhadap mana-mana suspek sudah dilihat besar berbanding negara-negara lain yang mempunyai tempoh penahanan yang kurang.

"Jika negara lain mampu mengurangkan kadar jenayah dengan akta yang terhad, mengapa tidak kita di Malaysia; soalnya kembali kepada pengurusan pembahagian tugas anggota polis sendiri," tegas Sivarasa lagi.

Mengulas perkembangan kejadian jenayah yang semakin menjadi-jadi, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata PR bersedia memberikan kerjasama dengan Kerajaan Pusat membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil.

"Kerajaan boleh menubuhkan jawatankuasa khas dalam isu ini jika benar-benar ikhlas dan komitmen dalam usaha mencegah jenayah.

"Ini bukan hal politik, ini demi kesejahteraan, keselamatan dan keamanan yang melibatkan rakyat," ujar Sivarasa.


Sumber: Selangorku

Posted: 28 Jul 2013 07:30 AM PDT

Kampung Jawa, 28 Julai 2013 - Seramai 500 warga DUN Seri Andalas menerima baucar RM100 setiap seorang.

Pemberian baucar ini adalah Program Jom Shopping bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Program telah diadakan di pasaraya Econsave Kampung Jawa.  Hadir dalam program tersebut adalah Ahli Parlimen Kota Raja, YB Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Majlis MPK, Encik PS Rajoo serta Ketua Kampung.

YB Dr Xavier Jayakumar mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan yang menjayakan program tersebut.