Ahad, 21 Julai 2013

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


BERKENALAN DENGAN DATO FAUZI ABDUL RAHMAN

Posted: 21 Jul 2013 10:08 PM PDT

Saya adalah diantara Ketua PKR peringkat cabang-cabang PKR di Pahang yang menyambut baik apabila Pusat mengumumkan Dato Fauzi Abdul Rahman sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang menggantikan Zakaria Hamid. Dan saya juga adalah diantara Ketua Cabang yang memberikan sokongan kepada Zakaria Hamid semasa beliau menjadi Pengerusi MPN Negeri.

Semasa Zakaria menjadi Pengerusi Negeri berbagai-bagai masalah yang pada waktu itu menghambat PKR Pahang kerana pada waktu itu PKR Pahang masih belum bertapak.  Orang yang bijak-bijak sukar menghulurkan khidmat sukarela mereka kepada parti kerana belum yakin bahawa parti boleh berkembang di Pahang.

Dan Zakaria telah berusaha kearah mengembangkan parti di Pahang.

Apabila Dato Fauzi diangkat menjadi Pengerusi Negeri dan Zakaria diangkat memegang jawatan penting di peringkat Pusat, berbagai pihak mengambil sikap pro-dan-anti terhadap perlantikan Fauzi.  Ada yang anti-Dato Fauzi sehingga memboikot program parti, ada yang enggan lagi bergerak didalam parti.

Kedua-dua golongan ini adalah kecil dan tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap perkembangan PKR Pahang.  Ada golongan yang menentang Dato Fauzi tetapi setelah dibawakan dengan dialog sebenarnya mereka tidak mempunyai pegangan kukuh kenapa mereka menentang Dato Fauzi dan mereka itu berbalik menyokong pilihan PKR Pusat melantik Dato Fauzi sebagai Pengerusi PKR Negeri Pahang.

Saya hanya dapat berkenalan rapat dengan Dato Fauzi apabila Dato Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Dato Fauzi diatas suatu pentas semasa ceramah di Kuantan.  Dan apabila saya selaku pengerusi Majlis mengalu-alukan Dato Fauzi sebagai seorang musuh politik saya semasa sama-sama belajar di London, Dato Fauzi datang kehadapan saya dan memeluk saya, dan selepas Majlis itu saya mengalu-alukan kehadiran Dato Fauzi dan berdoa semoga beliau boleh menyertai PKR untuk memperkukuhkan perjuangan rakyat.

Dato Fauzi memang sudah berbincang banyak kali dengan Anwar untuk menyertai PKR, dan setiap kali perbincangan itu, Fauzi belum bersedia untuk menyertai PKR walaupun sanggup memberikan sokongan kepada parti.

Maka amatlah busuk tuduhan pihak-pihak kecil di Negeri Pahang itu yang menyatakan Fauzi mahu mengambil alih pimpinan PKR Pahang sebagai syarat menyertai parti itu.

Fauzi semasa di London adalah orang kuat UMNO, sesuai dengan kedudukan arwah ayahnya, seorang Menteri Kerajaan Pusat; hanya orang-orang muda tidak mengetahui latar belakang Abdul Rahman Talib bahawa beliau bersama-sama Tan Sri Yahya, Ghafar Baba, Aishah Ghani dan pimpinan UMNO di Johor adalah anggota PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) dan kehadiran puak-puak mereka inilah yang mengubah dasar UMNO daripada HIDUP MELAYU kepada MERDEKA, dan menyebabkan begitu ramai penyokong-penyokong Merdeka menyertai UMNO apabila Tengku Abdul Rahman meniupkan semangat Merdeka.

Rahman Talib pernah ditahan oleh Inggeris untuk menjalani hukuman berat di Singapura tetapi di dalam perjalanan keretapi dari Kuala Lipis ke Singapura, Rahman Talib telah diselamatkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan dan selepas itu diangkat oleh Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar menjadi orang kuat Istana Pahang dan hukuman Inggeris terhadapnya dibatalkan.

Mana ada Menteri sehingga akhir perjuangannya tidak diberikan darjah Dato melainkan Rahman Talib lah.  Ini dapat menunjukkan bahawa walaupun Rahman adalah orang UMNO, pemimpin UMNO, Menteri Pusat, tetapi beliau bukan kaki bodek, bukan kaki ampu, dan bukan kaki penjilat feudalisme.

Saya tidaklah rapat dengan Fauzi semasa saya mengaji di London.  Beliau berada di dalam kelompok lain iaitu kelompok Kesatuan Melayu United Kingdom manakala saya berada di kelompok pelajar-pelajar kiri Malaysian and Singapore Students Forum (Mass Forum) yang sentiasa mempunyai dasar yang berbeza. KMUK mengambil dasar semacam pro-UMNO.  Manakala MASS Forum mengambil dasar memperjuangan perpaduan kaum yang luas untuk demokrasi tulen.

Apabila Fauzi kembali ke tanah air beliau bergerak di dalam UMNO manakala saya bergerak di dalam Parti Pembangkang, tidak pernah bersamanya.

Apabila Dato Fauzi dilantik sebagai Pengerusi PKR Negeri Pahang, saya pun bukanlah menjadi pilihannya untuk menduduki jawatan yang penting didalam parti peringkat Negeri Pahang; saya berada didalam pimpinan Negeri Pahang semata-mata kerana saya adalah Ketua Cabang dan di Pahang ini, secara otomatik Ketua Cabang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PKR Pahang.

Keeratan antara saya dengan Dato Fauzi berkembang apabila Dato Fauzi selaku Pengerusi PKR Pahang dilantik secara otomatik sebagai Anggota Majlis Pimpinan Pusat.  Saya telah dilantik oleh Biro Politik PKR Pusat menjadi Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR dan pada tahun kedua saya memegang jawatan itu, saya juga dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Di sana kami acap berbincang bagaimana untuk memperkukuhkan kekuatan PKR didalam rancangan Felda, dan diperingkat Negeri Pahang pula Dato Fauzi mengangkat saya sebagai Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Negeri Pahang dan PKR Pusat mengambil kaedah ini dan menjadikan Biro yang saya pegang diperingkat Pusat merangkumi hal ehwal masyarakat Felda dan Orang Asal.

Saya cukup gemar berkhidmat dibawah Dato Fauzi kerana dia akan hanya mengambil sesuatu tindakan untuk negeri setelah berbincang, khususnya dengan pengerusi-pengerusi yang berkenaan.  Dan saya cukup memahami kekeciwaan
Dato Fauzi kerana pegawai-pegawai yang dilantik dan diberikan tugas tidak mempunyai inisiatif sendiri untuk mengambil tindakan mengikut tugas yang dilantik.  

Kadang-kadang mereka itu menghadiri mesyuarat pun tidak mahu bahkan kalau menghadiri mesyuarat pun tidak mahu melakukan tindakan-tindakan yang sepatutnya digalas oleh mereka.  Bahkan terdapat dikalangan mereka itu akan hanya mahu menunjukkan muka apabila pimpinan pusat menunjukkan muka, apatah lagi kalau Dato Seri Anwar Ibrahim muncul.

Sejak beberapa bulan sebelum PRU saya tidak lagi menghadirkan diri untuk mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri dan adakalanya saya diwakili oleh Timbalan Ketua Cabang.  Ada dikalangan pimpinan Negeri bertanya kenapa saya tidak lagi mahu hadir seperti dulu-dulu.  Jawapan saya mudah.  Ada yang kata bahawa saya tamak dengan jawatan.  Oleh itu saya menyusun semula biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pahang dengan melantik orang-orang kuat PKR Pahang mengambil alih jawatan-jawatan didalam biro peringkat Pahang.  Tetapi seperti kata Man Kadir.  "Disinilah matinya Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Pahang kerana orang-orang itu hanya minat kepada jawatan tetapi langsung tak minat buat kerja."

Betul telahan Man Kadir itu.  Sejak dipilih Pengerusi baru dan ahli-ahli jawatankuasa yang merangkumi hampir semua pimpinan utama PKR Cabang dan pimpinan Orang Asal Negeri Pahang, Biro itu terus mati dan layu, dan oleh kerana saya tidak lagi duduk di dalam Biro itu peringkat Negeri Pahang, tidak ada apa-apalah yang dapat saya lakukan.

Saya juga meletakkan jawatan saya sebagai Pengerusi 1 PKR Pahang untuk menyambut beberapa cabaran dari mereka yang mencabar saya bahawa saya terlalu banyak memegang jawatan didalam parti dengan sindiran yang lebih pedas dari pedas, ada yang mengatakan saya sudah terlalu tua dan ada yang mengatakan Haji Suhaim itu hanya sekadar merajuk, jika dipujuk pasti akan terima semula jawatan, dengan sindiran bahawa didalam parti sekarang ini, itulah yang menjadi tradisi.  Letak jawatan dan apabila dipujuk akan terima kembali.

Jauh sebelum tarikh penamaan calon, saya telah menghantar notis berhenti daripada jawatan Pengerusi 1 PKR Pahang.  Tetapi Dato Fauzi menyembunyikan notis saya itu dan tidak pernah mahu bentangkan didalam mesyuarat MPN, tetapi bagi saya samada Dato Fauzi terima atau pun tidak, saya sudahpun meletakkan jawatan dan mahu tengoklah orang yang suka mencabar dan menyindir saya itu supaya menjalankan kerja parti.  Tak juga rupanya, hanya sekadar nak menegur tak tentu arah begitu saja.  Itulah salah satu penyakit didalam parti, tidak menyukai orang yang nak buat kerja didalam parti.

Sebelum Pilihanraya saya juga meminta Dato Fauzi sebagai pengerusi Negeri supaya tidak meletakkan nama saya, kerana saya tidak mahu tohmahan mengatakan bahawa saya, Zakaria dan Haji Abas sebagai kroni pimpinan tertentu didalam parti diberikan kerusi untuk bertanding dengan mereka lupa bahawa Zakaria sememangnya sudah tidak ada kerusi untuk dipertandingkan tetapi diminta bertanding apabila kawasan Parlimen Temerloh diambil alih oleh PAS dan Nizam
Abdul Hamid enggan bertanding untuk kerusi Parlimen Bera, dan Zakaria dijadikan calon sebagai bidan terjun.  Dan Pahang tetap meletakkan saya sebagai calon DUN Jenderak.

Semasa PRU-13 sedang berjalan, beberapa hari sebelum mengundi, saya sudah banyak berihat daripada menjalankan kerja PRU.  Masa itu saya sudah sakit, tetapi tak tergamak nak berceritakan kepada kawan-kawan bahawa saya sudah diserang oleh penyakit yang berat.  Saya bimbang kalau saya memberitahu kawan-kawan, takut-takut mereka patah hati dan enggan menjalankan kerja-kerja pilihanraya.

Selepas PRU itu saya terus tidur di Bilik Gerakan parti di Kuala Krau, rasa sangat tidak bermaya.  Dan apabila saya kembali ke Temerloh, badan saya bergoyang, seolah-olah mahu tumbang.  Isteri saya terus bawa saya ke Klinik Sulaiman, saya dipinta oleh Klinik itu supaya berihat sejam dua dengan diberikan obat yang kuat, dan apabila badan sudah menunjukkan reaksi yang positif barulah saya diberikan rawatan, dan doktor di klinik itu terus memberikan surat rujukan untuk saya dimasukkan ke Hospital Temerloh.  Saya pergi ke bahagian emergency, dan diambil temperature dan sukatan darah saya.  Temperature saya sudah naik 240 lebih dan darah saya naik 26.  

Saya diberikan obat mengatasi tekanan darah dan gula.  Jam lebih kurang 9.00 malam, darah dan gula saya naik melampau-lampau, dan pihak emergency memutuskan supaya saya dimasukkan ke dalam wad, tetapi malangnya tidak ada wad kosong dan saya terpaksalah tinggal di wad emergency bersama-sama dengan 5, 6 orang yang lain yang kesemuanya sepatutnya dimasukkan kedalam wad tetapi tidak ada katil yang kosong.

Kesemua mereka dipinta balik dan diberikan tarikh lain untuk memasuki wad, sedangkan saya dengan seorang pesakit Cina dari Triang diminta menunggu hingga diberikan rawatan seterusnya.
\
Pada jam 12.00 malam tekanan darah dan gula saya sudah tidak dapat dibaca lagi, terlalu tinggi.  Selain dari obat darah tinggi, saya disuntik dengan insulin.  Pada jam 2.00 pagi, darah tinggi saya turun kepada 140 atas dan 80 bawah.  Hampir normal.  Tetapi bacaan gula saya masih tinggi, masih belum boleh dibaca, terlalu tinggi.

Sekali lagi saya disuntik dengan insulin.  Pada jam 2.00 pagi, sekali lagi saya diperiksa dan bacaan gula masih juga belum turun, dan sekali lagi saya disuntik dengan insulin.  

Jam 3.00 pagi, doktor yang bertugas menyatakan bahawa saya dan Cina dari Triang itu diarahkan balik dengan opsyen bahawa kalau ada sesiapa yang menemani, kami boleh tidur diwad emergency itu, jika kami mahu.  Tetapi anak saya Sufizal sudah berada disisi saya, dia mahu menemani saya dan jika perlu pulang, dia akan membawa saya pulang.

Kebetulan jam 3.00 pagi itu, tekanan darah ada 140/80 dan tekanan gula sudah turun kepada 14.  Maka saya mengambil keputusan untuk pulang kerana di wad emergency itu pun tiada sesiapa lagi bertugas.  Tetapi Cina Triang itu kata dia tetap mahu tidur di emergency wad itu, "Biar gua mati sinilah," katanya.

Keesukannya saya dibawa ke Dr Chan, doktor pakar di Mentakab dan mendapatkan rawatan seterusnya dari doktor itu.  Melaratlah rawatan saya ke pakar urut di Jengka 12, dan rawatan tradisi di Taman Temerloh Jaya dan juga di Shah Alam.

Setakat ini belum ada rezeki lagi.  

Pagi ini saya menjalani proses MRI di Hospital Temerloh untuk menentukan apakah jenis penyakit yang sebenarnya menyerang saya.  

Pada 24hb Julai ini akan diketahuilah apa-apa punca penyakit saya, walaupun seorang doktor yang mengenali anak saya menyatakan bahawa jika benarlah bahawa penyakit yang sedang saya hadapi itu adalah TB Tulang, MRI juga sukar mengesaninya, tetapi daripada beberapa diagnosis akan dibuatlah andaian jika sebenar penyakit TB tulang.  

Kata doktor itu, TB tulang is curable, but it takes long time to be cured.

Saya sudah berusaha, sembuh atau sebaliknya terserahlah kepada Allah swt.

Saya telah beritahu penyakit saya ini kepada Dato Fauzi, dan saya meminta supaya perletakan jawatan saya sebagai Pengerusi 1 PKR Pahang dan Ketua PKR Cabang Kuala Krau diterima supaya bolehlah pimpinan muda menggantikan tempat saya agar tidak kerugian kerana saya sendiri sudah tidak dapat menggerakkan parti.

Saya memberitahu Dato Fauzi bahawa jawatan saya selaku MPP akan saya buat keputusan beberapa bulan lagi. 

Dato Fauzi menerima perletakan jawatan saya sebagai Pengerusi 1 PKR Pahang dan meminta saya menangguhkan sedikit masa lagi untuk perletakan jawatan saya di peringkat Cabang sehingga dapat ditemui pengganti saya yang sesuai.

Janji saya kepada parti bahawa saya akan memberi bantuan semampu saya kepada parti seandainya saya pulih semula dari penyakit saya. Tetapi saya tidak mahu lagi memegang apa-apa jawatan didalam parti.

Terima kasih Dato Fauzi.

(...bersambung...)

BERKENALAN DENGAN AZMIN ALI

Posted: 21 Jul 2013 03:34 PM PDT

Di dalam PKR Azmin Ali adalah "punching bag".  Mana-mana pemimpin (bukan anggota biasa) di banyak peringkat akan meninju Azmin Ali apabila dia tak dapat sesuatu dari parti.

Semuanya salah Azmin Ali.  Dia takkan nampak apa yang Azmin Ali buat untuk PKR, bagaimana Azmin perjuangkan untuk PKR berhadapan dengan tindakan kawan dan lawan, bagaimana Azmin dicemuh kerana perjuangkan PKR.

Cabang-cabang akan bising kalau PKR tidak berjaya memberikan bantuan khususnya kewangan, dan punching bagnya adalah Azmin Ali, seolah-olah PKR ini milik Azmin Ali, segala kelemahan semuanya dicarikan kepada Azmin Ali.

Tetapi apabila PKR berjaya membantu pulak, tak adalah cerita bahawa Azmin Ali telah memberi bantuan.  Yang beri bantuan itu adalah PKR, bukan lagi Azmin Ali.
Yang letih lesu memperbetulkan kedudukan PKR di kalangan parti-parti kawan Azmin Ali, tetapi apabila berjaya didalam onslaught itu, yang naik nama bukan pulak Azmin Ali.

Ini ada lagi cerita hingga sekarang tak puas hati kerana tidak menjadi calon semasa PRU yang lalu. Ramai sangat rupanya yang berada didalam parti ini yang cita-cita mereka hanyalah nak menjadi calon.

Mereka keluarkan duit untuk kerja-kerja di Cabang kerana nak jadi calon.  Mereka buat program di cabang-cabang kerana nak jadi calon.  Mereka buat aktiviti di cabang-cabang kerana nak jadi calon.  Misi mereka hanyalah nak jadi calon.

Mereka tidak sedar bahawa apa juga pergerakan mereka di peringkat cabang diintai oleh parti samada mereka itu layak atau pun tidak menjadi calon.

Ada pemimpin yang merasakan bahawa mereka cukup layak menjadi calon. Mungkin memang layak tetapi dah pulak ada penyakit bahawa selagi parti tidak menamakan dia sebagai calon, tidak ada hitam putih, maka dia tidak mahu bergerak.

Ada pulak pemimpin yang langsung tidak mahu jaga organisasi parti, tak ada ranting, tak ada jentera, tak ada bilik gerakan; yang mereka harapkan adalah kekuatan daripada parti-parti rakan yang juga turut mengintai untuk meletakkan calon di kawasan berkenaan.  Tetapi pemimpin-pemimpin ini mengharapkan dapat di"dokong" oleh pemimpin-pemimpin besar parti, mulalah mereka membodek dan mengampu dan buat apa program pun bukan untuk memperkukuhkan parti tetapi semata-mata "nak tangkap mata dan hati" pemimpin-pemimpin besar peringkat atas supaya nampak dan tertarik hati kepadanya supaya dia lekat menjadi calon.

Apa kata kalau dia tak lekat.  Itu semua salah Azmin Ali.

Azmin Ali hanyalah salah seorang pemimpin di dalam PKR, dan dia pun ada kekuatan dan kelemahannya seperti pemimpin-pemimpin lain juga.  Untuk meletakkan semua kesalahan kepada Azmin Ali bermakna seseorang itu sudah tidak yakin kepada perjuangan dan dasar parti.

Sebagai ahli parti, ia mesti bertanggungjawab kepada kekuatan parti.  Jaga parti. Ramaikan ahli, banyakkan ranting, banyakkan jentera, ada bilik gerakan. Itu kerja dia sebagai ahli parti; bukan kerja dia sebagai ahli parti apabila dia buat sesuatu untuk parti maka sudah melayakkan dia menjadi calon.

Masih tak faham-faham.  Masalah calon adalah tanggungjawab parti.  Parti juga boleh melakukan kesilapan tetapi tak dengar pun bahawa calon-calon yang terpilih walaupun ada calon-calon lain yang lebih baik dia akan berkorban habis-habisan untuk parti.

Sikap kebanyakan ahli-ahli parti yang merasakan bahawa dia sudah menjadi pemimpin (tak kira apa peringkat) dia merasakan dia sahajalah yang layak, orang lain tak layak, dan bila ada orang lain dipilih sebagai calon, maka dia pun samada berdiam diri, membantu kempen senyap-senyap bahawa calon PKR tidak layak, atau mengambil sikap menentang calon parti samada menjadi calon bebas atau membantu calon-calon yang menentang calon PKR.

Bilalah agaknya sikap ini mahu diubah?

Bolehkah pada suatu hari nanti kita boleh dengar didalam parti ini satu sikap positif, betul-betul positif bahawa "saya lakukan kerja ini untuk parti semata-mata kerana Allah".  Boleh tak kita akan dengar bahawa saya bergerak didalam parti semata-mata mahu memperkukuhkan parti.  Saya declare diri saya tidak layak menjadi calon parti kerana saya ada kekurangan ini dan itu, dan saya serahkan seratus peratus pemilihan menjadi calon kepada pucuk pimpinan parti.

Azmin Ali?  Dia hanyalah seorang pemimpin.  Dia ada peranan didalam parti, dan selagai ia bekeja untuk memperkukuhkan parti dan parti mendapat faedah dari perjuangannya itu, dia tetaplah menjadi pemimpin parti yang perlu disokong.

Azmin ada kelemahannya sendiri, dan harap-harap Azmin kena dengar teguran saya ini.

1.  Azmin kena bersikap lebih mesra dengan orang-orang bawah
2.  Azmin kena lebih lasak menjelajah ke seluruh negara untuk menemui ahli-ahli diperingkat cabang-cabang
3.  Azmin Ali kena menjawab panggilan talipon atau meninggalkan sms jika pada waktu itu benar-benar sibuk
4.  Azmin Ali kena kendurkan sikap seolah dia mempunyai kroni-kroni kerana sebagai Timbalan Presiden semua ahli parti itu adalah kroninya, tidak ada berpilih-pilih

Itu kelemahan, tapi cuba lihat akan kekuatan Azmin didalam parti.  Dia mempertahankan kedudukan parti.  Dia mempertahankan perpaduan parti.  Dia mempertahankan dasar parti.  Dia mempertahankan kewibawaan parti.

Saya sendiri tidak pernah kenal begitu rapat dengan Azmin Ali.  Kenal tak kenal pun hanya bermula dari pemilihan parti yang lalu.  Itu pun secara kebetulan sahaja.

Saya memberikan sokongan kepada Zaid Ibrahim.  Saya kenal dia jauh lebih lama dari mengenali Azmin Ali.  Kami sesama peguam di Kuala Lumpur sesuatu ketika dulu dan dia pernah menyandang jawatan selaku Setiausaha Bar Council.

Apabila dia melepaskan jawatan Menteri dan kemudian memilih menjadi anggota PKR, saya cukup kagum.  Saya terus jemput beliau ke rumah saya di Temerloh.  Dia datang.  Saya cadangkan kepada dia supaya bertanding Naib Presiden PKR kerana dia orang baru supaya nampak dia tidak mengejar jawatan.

Jawapannya mudah bahawa dia tidak mahu bertanding apa-apa jawatan didalam parti.  Saya merasakan bahawa sikapnya jauh lebih baik dari apa yang saya jangkakan.

Tetapi apabila berlaku kepanasan pertandingan, tiba-tiba dia umumkan untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden dan berlawan tiga penjuru menentang Mustaffa Kamal dan juga Azmin Ali.  Saya juga kenal dengan Mustaffa Kamal kerana pernah sama-sama didalam PKN, tetapi dia sudah agak terlambat meminang saya, kerana pada peminangan itu saya sudah pun menentukan pemimpin yang akan saya sokong.

Peringkat awalnya saya sokong Zaid Ibrahim.  Bahkan ada pimpinan dari Pahang yang meminta supaya sebuah cabang di Pahang tidak menjemput beliau ke dalam satu Majlis yang memang ada kaitan dengan pemilihan parti.  Saya dengan tegas memberitahu cabang itu supaya membenarkan sesiapa saja calon parti hadir ke cabang itu kerana ini adalah pemilihan didalam parti dan setiap ahli parti yang dicalonkan layak untuk diberikan sokongan.

PKR Pahang nampak hampir 80% memberikan sokongan kepada Zaid Ibrahim sehinggalah Zaid sendiri menunjukkan sikap yang tidak begitu mesra terhadap pimpinan parti.  Sikapnya terhadap Wan Azizah betul-betul saya tidak berkenan seolah-olah dia mahu parti melupakan jasa Wan Azizah yang mewujudkan PKN bersama rakan-rakan lain dan bertanggungjawab memperkukuh dan memperkuatkn PKN tanpa kehadiran Anwar Ibrahim yang pada masa itu merengkok didalam penjara Sg Buloh.

Dia juga menunjukkan sikap yang kurang sopan terhadap Dr Syed Husin Ali, seorang veteran perjuangan rakyat yang tidak pernah mencari kepentingan diri.  Sepatutnya terhadap pemimpin-pemimpin seperti ini dia mempunyai courtesy untuk memberikan penghormatan.

Saya naik jemu dengan sikap Zaid ini, dan saya beritahunya bahawa saya tidak lagi dapat memberi bantuan menyokongnya.  Namun di Negeri Pahang kecuali Cabang Kuala Krau, Cabang Bera dan Cabang Kuala Lipis sahaja yang tidak memberikan sokongan kepada beliau.  Pasukan Pahang padu menyokong Zaid.

Bagi saya itu adalah satu cabaran.  Bersama-sama dengan Zakaria dan Haji Abas, kami mengaturkan program untuk membantu Azmin Ali.  Kami mengenal pasti penyokong-penyokong dari Indera Mahkota, Kuantan, Paya Besar, Pekan, Rompin, Temerloh, Raub, Bentong, Cameron Highlands, Maran dan Jerantut.  Tidak henti-henti kami mengadakan program untuk menyokong Azmin Ali dan perlawanan ini cukup sengit.

Maka di akhir keputusan, kami tetap kalah didalam mendapatkan sokongan cabang-cabang, namun kami menang mendapatkan sokongan ahli-ahli seluruh Pahang dengan mendapat undi jauh lebih besar daripada undi yang diberikan kepada Zaid Ibrahim.

Bagaimana pun Pahang cepat bertaut.  Dibawah pimpinan Dato Fauzi, Pahang tidak berpecah kerana Dato Fauzi mengambil sikap yang betul bahawa perlawanan didalam parti sudah selesai dan parti kena bersatu selepas itu.  Dan Azmin Ali juga mengambil sikap terbuka apabila membuat perlantikan didalam pimpinan Pahang yang mengandungi penyokong-penyokong Zaid Ibrahim (yang lebih ramai) dan penyokong-penyokong beliau.

Dan semasa pemilihan calon-calon di Pahang juga terdapat lebih ramai pemimpin-pemimpin cabang yang dianggap lebih tidak memihak kepadanya menjadi calon semasa PRU yang lepas.

Sikap saya didalam parti amatlah mudah.  Selagi saya menjadi ahli parti saya tetap memberikan sumbangan saya kepada parti, dan selagi saya menjadi ketua cabang saya memberikan sumbangan saya kepada cabang, dan saya sebagai Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pusat saya menyusun gerak kerja dikalangan peneroka Felda dan Orang Asal di seluruh negara.

Daripada awal lagi saya sudah memberitahu kepada pucuk pimpinan bahawa saya tidak berhajat menjadi calon didalam PRU kerana mempunyai banyak kekurangan, tetapi saya tetap melakukan kerja untuk parti bukan untuk menjadi calon tetapi semata-mata untuk memberikan kemudahan kepada sesiapa saja yang nanti akan dijadikan calon di kawasan DUN Jenderak.

Saya nyatakan sikap saya itu semasa perjumpaan parti di Raub dan secara personal beberapa kali kepada Dato Fauzi Abdul Rahman selaku Pengerusi Negeri.

Bagi saya Azmin Ali mencukupi kriteria untuk menjadi pemimpin besar didalam parti dan beliau kena buat perubahan mengatasi kelemahan-kelemahannya.

(...bersambung...)

PEJUANG AMINAH TEH BAKAR "MAK NGAH MINAH"

Posted: 21 Jul 2013 03:34 AM PDT

Wanita Melayu dizaman perjuangan menuntut kemerdekaan memainkan peranan yang sangat besar, Shamsiah Fakeh, Aishah Ghani, Zainab adalah pejuang-pejuang kemerdekaan melalui pertubuhan nasionalisme progresif, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di bawah cabangnya Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

Begitu ramai wanita Melayu dari seluruh negara bergerak menuntut kemerdekaan, mereka berkawad, berarak dan menyanyikan lagu-lagu patriotik menentang penjajahan Inggeris.  "Merdeka dengan darah" yang dipelopori oleh Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) Ahmad Boestamam juga menyemarakkan perjuangan rebolusioner mereka.

Di peringkat negeri Pahang, khususnya diperingkat Daerah Temerloh, begitu ramai wanita-wanita Melayu terlibat didalam perjuangan ini dan untuk menamakan sebahagiannya adalah Mak Ngah Minah, Zawiyah Haji Ibrahim, Zaharah dikalangan pimpinan mereka; mereka tidak gentar mengangkat senjata menentang Inggeris, dan ada dari kalangan mereka yang terkorban.

Aminah Teh Bakar yang lebih dikenali sebagai Mak Ngah Minah bersama dengan anak perempuannya Zamiah latiff langsung tidak teragak-agak untuk menyertai pasukan bersenjata yang dipelopori oleh PKMM yang dinamakan Rejimen ke-10.

Berpuluh orang wanita dari Kg Lubok Kawah menyertai gerakan ini dan menentang Inggeris dengan bersenjata ddemi kemerdekaan tanah air.

Bukan senang untuk mereka bergerak secara gerilya menempuh hutan rimba bersama-sama dengan kaum lelaki jika gerakan mereka itu hanyalah satu permainan kecil seumpama merayu kepada Inggeris supaya dinaikkan pangkat atau diberikan gaji yang lebih adil.  Mereka menuntut MERDEKA, membunuh atau dibunuh oleh pengkhianat-pengkhianat Inggeris dan talibarutnya.

Alkisahnya, Mak Ngah Minah sudah terpisah dengan pasukan yang lebih besar yang sedang mengatur keberangkatan mereka ke Thailand. Beliau terkepung didalam sebuah rumah di pinggir hutan, dan beliau tidak menyerah kalah terus membedil pengkhianat-pengkhianat dan talibarut Inggeris.

Didalam keadaan beliau yang sudah tidak ada lagi peluru, beliau telah dikepung dan ditangkap dan akhirnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi diatas pertuduhan memberontak dengan senjata, dan jika didapati bersalah boleh dihukum gantung sampai mati.

Mak Ngah bukan calang-calang pejuang.  Kisahnya di Mahkamah, apabila Hakim menaiki Bench, semua yang hadir di Mahkamah akan menurut arahan "BANGUUUN..." dan Mak Ngah disentap tangan untuk bangun, tetapi beliau enggan bangun dengan melaungkan, "Pengkhianat dan talibarut Inggeris, bangunlah, saya tidak hormat kepada Mahkamah Penjajah ini."

Di akhir perbicaraan Mak Ngah didapati bersalah, apakah hukuman yang akan dijatuhkan keatasnya?  Hukumannya adalah GANTUNG  sampai mati.

Mak Ngah tidak ada peguam, dan beliau diberi peluang untuk membuat rayuan, tetapi dia enggan membuat sebarang rayuan.  Perjuangan kemerdekaan tidak boleh ditukarkan dengan RAYUAN.  Demikianlah kentalnya semangat Mak Ngah, dia benci kepada Penjajah dan dia tidak ada kompromi dengan Penjajah.

Adakah Mak Ngah Minah seorang komunis?  Dia tidak pernah menyerti Parti Komunis, dia tidak pernah menerima ajaran komunis, dia dilatih sebagai seorang pejuang kemerdekaan, seorang nasionalis tulin.

Hukuman kepada Mak Ngah dikurangkan daripada gantung sampai mati kepada penjara seumur hidup.  Maka beberapa tahun selepas Hari Merdeka, Mak Ngah dibebaskan dari tahanan, dan kembalilah Mak Ngah ke Kg Lubok Kawah.

Ayah saya dan beberapa orang anak saudara kepada Mak Ngah yang turut ditahan dibawah tahanan penjajah Inggeris tetapi telah dibebaskan lebih awal, membantu Mak Ngah mendirikan rumah kayunya di Kg Lubok Kawah, dan Mak Ngah mengambil Baharom Abdul Razak sebagai anak angkat.  Baharom adalah anak abang saya yang tua.

Mak Ngah pula adalah pupu ayah saya, mereka ini orang Kg Bintang yang berpindah ke Kg Lubok Kawah.  Maka Mak Ngah tinggallah di Lubok Kawah, beliau juga memiliki tanah yang luas termasuk tanah kebun buah-buahan, tanah getah dan juga tanah paya.  Di masa itu tidaklah menjadi masalah untuk meneruskan hidup jika ada tanah paya dan tanah getah.

Semasa saya masih di bangku sekolah saya sentiasa tidur di rumah Mak Ngah kerana saya suka mendengar kisah-kisah perjuangan Mak Ngah dan perjuangan pemimpin-pemimpin nasionalis.  Mak Ngah cukup pandai membawa cerita menjadi sangat menarik.  Saya juga kadang-kadang belajar membaca Quran dengan Mak Ngah.  Mak Ngah juga boleh membawakan cerita-cerita penglipur lara seperti Hikayat Siti Zubaidah dan Hikayat Bustamam, dan kisah nabi-nabi.

Semasa saya bertugas di Ipoh sebagai Magistrate, seorang yang sudah berumur hampir 50 tahun datang ke kamar saya beliau tinggal di Pulau Pangkur, dan hasil pengenalan dirinya  dia adalah pupu kepada Mak Ngah Minah dan ayah saya.  Oleh kerana ayah saya sudah tidak ada saya menjemput Mak Ngah Minah ke Ipoh dan dari Ipoh kami pergi ke Pulau Pangkur untuk beberapa malam.

Saya memang rapat dengan Mak Ngah, dan banyak rahsia-rahsia keluarga Mak Ngah sampaikan kepada saya khususnya asal usul kami yang generasi entah sudah keberapa, kami adalah berasl dari Bugis, Sulawesi, Indonesia; dan Mak Ngah menamakan kubur-kubur dari arah mudik Sg Pahang sebagai tanda-tanda keluarga asal kami tinggal dan meninggal dunia di kampung-kampung berkenaan.  Keluarga ini memang keluarga yang suka merantau, sebab itulah pertalian keluarga kami dapat dipertitiskan dari Pekan hinggalah ke Kuala Lipis, dan di sesetengah tempat itu keluarga kami dirapatkan kembali dengan perkahwinan antara saudara-mara.

Dalam apa keadaan sekali pun Mak Ngah sentiasa berteriak kepada jiwa kecilnya bahawa dia sangat merindui anak perempuannya dan berdoa kepada Tuhan supaya sebelum dia meninggal dunia, dia mahu bertemu dengan anak perempuannya, seorang pejuang.  Dan dia menceritakan bahawa jika anak perempuannya itu masih hidup, dia menerangkan mengenai umur anaknya itu, lebih kurang umur abang Hashim, iaitu pupu kami anak kepada emak saudara saya Mak Anjang Saadiah, kakak kepada ayah saya.

Abang Hashim juga adalah bekas tahanan Inggeris.

Pada suatu hari kami mendapat perkhabaran bahawa anak Mak Ngah di Selatan Thailand masih hidup dan kami menerima berita bahawa beliau mahu kami pergi ke Selatan Thai; masa itu sudah ditandatangan Perjanjian diantara Malaysia, Parti Komunis Malaya dan Thailand.

Maka ramailah dari keluarga kami dengan beberapa buah kereta menuju ke Golok, dari Golok kami akan dijemput oleh keluarga kami yang sudah membesar di Golok ke kampung di mana cucu kepada Mak Ngah dijadikan anak angkat oleh penduduk kampung itu.  Jauh juga perjalanannya.

Sampai di sana, kami telah ditunggu oleh Kak Zamiah dan suaminya, anak mereka dua orang, Mazni dan Zamni, dan Embung anak kepada Mak Anjang Saadiah bersama suaminya dan menantunya.  Sampai kami ke rumah yang dituju itu, Tok Naiban (Ketua Kampung berkenaan) cukup memberikan hormat kepada kami.  Maka berlakulah "bekwoh" (kenduri) di rumah emak angkat kepada Zamni.  Cukup meriah.  Bertangis-tangisan diantara saudara mara yang datang dengan saudara mara yang ada di Selatan Thai itu.

Selang beberapa hari, kami pun mengambil keputusan untuk pulang ke Temerloh, tetapi Mak Ngah tidak mahu pulang bersama kami.

Memang adalah didalam Perjanjian itu bahawa sesiapa dari kalangan anggota PKM yang mahu pulang ke Malaysia boleh berbuat demikian, dan saya bersungguh-sungguh untuk membawa mereka pulang.  Tetapi Embung tidak lagi mahu pulang kerana dia sudah ada keluarga di Thailand, dia ada suami, anak, menantu dan cucu-cucunya di sana.  Maka kami usahakan kepulangan Kak Miah, Pokde Ibrahim (suami Kak Miah), Mazni dan Zamni.

Didalam perjalanan kami pulang semasa kami sudah menyeberangi Sg Golok, kami didampingi oleh beberapa orang SB dan pegawai Polis meminta kami melapurkan diri ke Balai Polis Golok.  Kami pergilah ke sana, dan setiap dari kami disiasat tidak kurang dari 30 minit seorang.  Oleh kerana ini adalah lawatan keluarga, maka tidak adalah diantara kami yang ditahan.

Tetapi cara saya disiasat sangat menjijikkan.  "Kenapa kamu datang bertemu dengan anggota Parti Komunis Malaya?"  Saya jawab saya tidak pernah kenal dengan anggota PKM, yang saya berjumpa di Selatan Thai itu adalah 2 orang pupu saya, suami masing-masing, anak cucu mereka; dan semasa mereka itu berjuang didalam hutan, saya pun tidak pernah kenal mereka, tetapi oleh kerana setelah berpuluh-puluh tahun, didapati mereka masih hidup, salah ker kalau saya mahu berjumpa dengan saudara mara saya?"

"Tak salah," jawab pegawai Polis itu.  "Kalau tak salah kenapa kami ditahan di Balai Polis Golok ni?" tanya saya.

"Tak adalah, lain kali kalau nak jumpa mereka, beritahulah dulu Polis Temerloh atau Polis di Golok ni!"

"Kenapa?" saya tanya.

Seorang pegawai lain mencelah, "Dah..dah.."

Kami dilepaskan dari Balai Polis Golok dan lewat malam itu sampailah kami di Temerloh.

Esuknya kami menerima jemputan dari SB Temerloh untuk kami melapurkan diri di Balai Polis Temerloh.  Saudara mara saya yang lain pergi berjumpa dengan SB Temerloh, tetapi saya tidak pergi.  Dan apabila saya ditalipon untuk ke Balai Polis Temerloh, saya dengan tegas bertanya, "Kenapa?" dan pihak Balai menjawab, "Tak ada apa-apa."

Oleh kerana itulah jawapannya maka saya pun tidaklah pergi ke Balai Polis Temerloh untuk bertemu dengan pegawai-pegawai SB disana.

Tidak lama selepas itu Mak Ngah Minah meninggal dunia dan kami kebumikan beliau di perkuburan Kg Lubok Kawah.

Akhirnya, keluarga Kak Miah bersama suami dan 2 orang anaknya dapat kembali ke Malaysia dan buat seketika menetap di Lubok Kawah sebelum mereka meninggalkan kampung itu.  Pokde Ibrahim telah meninggal dunia.  Zamni berkahwin dengan seorang bekas pegawai Polis.  Mazni dengan Kak Miah tinggal di Kuala Lumpur.

(...bersambung...)