Sabtu, 20 Julai 2013

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


KELUARGA HAJI JAAFAR DAN KELUARGA SAID

Posted: 20 Jul 2013 06:16 PM PDT

Maka pada tahun 1968 bercantumlah Keluarga Said Haji Ismail dari Temerloh dan Keluarga Haji Jaafar Mohd dari Merlimau, Melaka apabila Suhaimi bin Said berkahwin dengan Hendon binti Jaafar, didalam suasana yang tidak semeriah mana kerana pada waktu itu, sayah saya Said bin Haji Ismail berada di wad Hospital Kuantan.  

Setelah menikah saya dan isteri saya meninggalkan Majlis perkahwinan itu dan terus bertolak ke Kuantan.  Di Kuantan, abang saya Cikgu Jamaluddin menjaga ayah saya.  

Keadaan ayah saya pada waktu itu amatlah merisaukan saya, bahkan pihak Hospital sudahpun menasihatkan abang dan saya supaya ayah saya dibawa pulang ke Temerloh kerana keadaanya cukup kritikal.

Pada waktu itu saya bertugas di Jabatan Perdana Menteri dan abang saya pula bertugas sebagai Pembantu Pertanian, di Balok Kuantan.

Saya membawa ayah saya ke kampung saya Kg Lubok Kawah, Temerloh, Pahang, manakala abang saya tinggal di Kuantan kerana sudah banyak hari beliau tidak bertugas kerana menjaga ayah.  Maka ini menjadi giliran saya pula untuk menjaga ayah.

Masa itu tidak ada bekalan elektrik dan air bersih di Kg Lubok Kawah, bahkan jalanraya masih belum ada untuk menghubungkan Bandar Temerloh dengan Kg Lubok Kawah.  

Pada waktu malam, kami gunakan gaslamp dan juga lampu kebaik dan kami juga memunggah air dari Sg Pahang untuk kegunaan mandi, dan memasak terutamanya untuk ayah saya yang begitu uzur.

Beberapa hari saya di Kg Lubok Kawah tiba-tiba berlaku perubahan yang tidak di sangka-sangka.  Ayah saya sudah boleh turun ke Sg Pahang untuk mandi sendiri. Saya memang mengambil cuti panjang untuk menjaga ayah bahkan saya berhajat untuk mengambil cuti tanpa gaji jika penyakit ayah saya berpanjangan.

Didalam keadaan ayah saya sedemikian itu, ayah memanggil saya untuk duduk menghampirinya dan dia minta saya supaya kembalilah ke Kuala Lumpur kerana sudah banyak hari saya tidak bekerja.  Dan abang saya pula akan balik ke Kg Lubok Kawah pada hujung minggu itu.

Setelah beberapa hari saya memikirkan maka saya pun bertolak ke Kuala Lumpur dengan memohon banyak maaf kepada ayah saya.  Abang saya yang tua, Abang Dol (Abdul Razak) yang pada waktu itu sudah berkahwin, juga memberi jaminan kepada saya bahawa dia akan menjaga ayah dan kalau ada apa-apa perubahan, dia akan menalipon saya di Pejabat.

Saya kembali ke Kuala Lumpur dengan penuh doa agar ayah saya sembuh.

Tetapi setelah dua hari saya meninggalkan kampung, saya mendapat talipon dari abang Din saya bahawa ayah saya sudah pergi.  Alangkah hampanya saya. Kenapalah saya tidak menghabiskan beberapa hari lagi untuk bersama ayah saya, dan kenapakah saya tidak dapat menelah akan keadaan ayah saya.  Biasanya seseorang yang amat sakit akan pulih seketika sebelum ia meninggalkan kita semua.

Saya menalipon isteri saya bahawa saya akan terus ke Temerloh dari Pejabat dan meminta isteri saya mengekori saya dengan teksi pada sebelah tengah harinya.

Saya sampai di rumah saya di Kg Lubok Kawah melihat ayah saya sedang terbujur diselimuti dengan kain-kain putih dan batik.

Saya bersama abang Din dan abang Dol memandikan ayah saya, dengan menjadikan paha-paha kami sebagai meletakkan ayah kami untuk dimandikan.
Saya merasakan bahawa sayalah orang yang paling bersalah kerana kembali ke Kuala Lumpur meninggalkan ayah saya dan pada masa pemergian saya balik ke Kuala Lumpur itulah ayah saya meninggal dunia.

Ayah saya dikebumikan di perkuburan Kg Lubok Kawah, dapat sebaris dengan ayah mertuanya sendiri, iaitu Aki saya di sebelah ibu saya; manakala ayah dan ibu kepada ayah saya berada di tempat yang agak jauh sedikit dari barisan itu kerana kawasan kubur itu sudah penuh.

Setelah ayah saya dikebumikan, saya mengemaskan lagi kawasan kubur ayah saya dengan titisan air mata.  Pada malam itu diadakan Majlis Tahlil dan Doa di rumah kami.  Tetapi oleh kerana saya benar-benar keciwa maka selepas Majlis Tahlil itu diadakan, saya pergi semula ke kubur ayah saya dan tidur diatas kubur itu.  Pada masa itulah abang Din dan abang Dol saya datang dan memujuka saya tidur di rumah.

Saya cukup sayang kepada ayah saya dan saya tidak dapat gambarkan betapa sayangnya saya kepada ayah saya.

Saya sangat sedih dengan pemergian ayah saya itu kerana saya belum berjaya membantu ayah saya yang begitu banyak berkorban untuk diri saya. "Ya Allah, cucurilah rahmat keatas roh ayah saya!!!"

Dengan pemergian ayah, maka saya mempunyai seorang emak dan saya tidak mahu emak saya juga pergi tanpa kehadiran saya.

Tetapi emak saya berada didalam keadaan yang sihat.  Saya dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan kemudiannya ke Lincoln's Inn, London dan emak saya masih dalam keadaan yang sihat.

Semasa saya kembali dari London dengan membawa anak saya Surina ke Kg Lubok Kawah, emak saya meminta supaya saya meninggalkan Surina tinggal bersama-samanya di kampung.  Saya bersetuju dan begitu juga isteri saya.  Hanya masalahnya bagaimanakah emak saya yang tidak tahu berbahasa Inggeris itu dapat berkomunikasi dengan cucunya sedangkan cucunya belum pandai berbahasa Melayu, dan bahasa Inggerisnya pula adalah dialek Cockney.

Sebelum saya bertolak ke Ipoh untuk bertugas sebagai Magistrate di sana, saya telah melihat bagaimana cucu dan wan ini dapat berkomunikasi.  Semuanya dalam bentuk sign language.  Apabila si cucu mahu makan, dia akan ambil pinggan dan sudu, diketuknya pinggan itu dengan sudu maka si wannya itu tahulah bahawa cucunya mahu makan.  Saya sangat senang hati meninggalkan Surina dijagai oleh Wannya.

Lebih kurang beberapa minggu saya kembali ke Lubok Kawah untuk membawa Surina, emak saya dan adik saya Jaenah untuk tinggal bersama-sama saya di Ipoh, saya dapati bahawa anak saya sudah menolak berbahasa Inggeris.  Dia sudah mulai pandai berbahasa Melayu, tetapi bahasanya agak pelik sedikit kerana dia akan berbahasa mengikut aliran bahasa Inggeris, seperti saya suka menaiki sekolah bas (bukan bas sekolah).  Dan dengan saya dan ibunya, Surina masih selesa berbahasa Inggeris, namun, dia menolak penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya.

Setelah beberapa tahun saya bertugas dengan Jabatan Kerajaan di Ipoh dan Kuala Lumpur, saya mendapat call dari abang saya bahawa emak saya sakit; dan saya terus bertolak dari Kuala Lumpur dengan keluarga saya ke Lubok Kawah.  Namun, memang rezeki saya tidak ada.  Emak saya juga pergi tanpa menunggu kepulangan saya.  Alangkah keciwanya saya kerana ayah saya pergi tanpa kehadiran saya dan emak saya pergi juga tanpa kehadiran saya.  Namun, kedua-dua abang saya, berada di sisi emak saya semasa emak saya menarik nafas panjang sebelum meninggalkan kami.

Maka menjadi tanggungjawab saya dan abang-abang saya untuk menjaga adik perempuan kami, Jaenah binti Said.

Sampai waktunya, adik saya berkahwin dengan pupunya sendiri iaitu Zainal Zin, dan dengan perkahwinan itu saya membawa Zainal dan Jaenah tinggal bersama-sama saya di Subang Jaya, di rumah corner lot yang saya dan isteri saya baru beli.

Melalui bantuan daripada abang Yusof Jaafar, abang kepada isteri saya, Zainal dapat bekerja di Syarikat Motorola, Petaling Jaya.  Abang Yusof pada waktu itu adalah akauntan kepada syarikat itu.

Zainal adalah seorang pekerja yang tekun.  Dengan ketekunannya beliau berjaya menjadi pekerja contoh, dan dia telah dihantar oleh Syarikat berkursus di Ibu Pejabat Syarikat itu di USA, walaupun kelulusan asas Zainal hanyalah SPM.

Saya cukup kagum dengan keluarga adik ipar saya ini, kerana dengan kesungguhannya memberikan pendidikan kepada anak-anaknya, dan pendapatan yang tidaklah begitu besar, dia berjaya menghantar ke semua anak-anaknya ke universiti dan kini ada yang bertugas sebagai engineer, dan peguam; manakala adik saya yang sememangnya bersekolah didalam aliran agama, dapat pula memberikan pendidikan agama kepada anak-anak mereka.

Kini, Zainal dan Jaenah, berniaga mula-mula hanya perniagaan di pasar-pasar lambak, tetapi kini berjaya mendapatkan sebuah kedai dan berniagalah mereka dengan menggunakan tenaga dari Indonesia.

Kalau pergi ke Shah Alam, siapa tak kenal dengan telatah Jaenah yang lebih dikenali sebagai Zainah di kalangan kawan-kawannya, cukup terkenal dengan membekalkan bahan-bahan makanan, dan tradisi berniaga ini diikuti pula oleh 3 orang anak perempuannya yang berterusan mengeluarkan produk-produk makanan untuk tempahan, walaupun mereka sendiri mempunyai tugas-tugas sebagai profesional masing-masing.

Percantuman keluarga Haji Jaafar dan Said ini adalah cukup ideal.  Keluarga Said adalah dari golongan pejuang-pejuang yang menuntut kemerdekaan tanah air, manakala keluarga Haji Jaafar pula melahirkan pejuang-pejuang ugama dengan dua orang dari abang-abang ipar saya itu memimpin PAS Negeri Melaka dan pernah bertanding di kawasan parlimen Batu Berendam dan juga kawasan DUN di Merlimau.

Walaupun keluarga sebelah Haji Jaafar jika dibandingkan dengan keluarga di sebelah Said, mempunyai kelebihan dari segi ekonomi, tetapi keluarga itu bukanla jenis yang membangga diri, dan sentiasa merendah diri, dan hubungan antara keluarga Melaka dan keluarga Temerloh ini sangatlah akrab.

Dalam keadaan semua orang yang lebih tua dari saya sudah tidak ada di Temerloh, saya dan keluarga saya menghabiskan masa untuk berhari raya di Merlimau setelah menghabiskan 2 hari Hari Raya itu di Temerloh.  Begitulah setiap tahun.  Insya Allah selagi kesihatan mengizinkan kami akan meneruskan tradisi ini.

(...bersambung...)

Abang Mohd Nor Jaafar

Posted: 20 Jul 2013 07:53 AM PDT

Semasa saya dibuang daerah ke Melaka Tengah selepas dibebaskan bersyarat dari tahanan ISA, saya menalipon isteri saya dan Pak Itam saya melalui isteri saya bahawa saya dibebaskan dari tahanan tetapi bersyarat; syaratnya saya kena tinggal menetap di Melaka Tengah, dan kebetulan Taman Ehsan di Batu Berendam adalah didalam kawasan Melaka Tengah.

Saya bertolak dari taxi stand Taiping "pocor" seorang diri ke Melaka, manakala isteri saya dan anak-anak saya serta Pak Itam saya bertolak dari Temerloh menuju Melaka Tengah.

Kami sama-sama menuju ke rumah abang ipar saya bernama Haji Mohd Nor bin Jaafar, abang kepada isteri saya.  Beliau dan ahli keluarganya tinggal di Melaka Tengah, di Taman Ehsan, Batu Berendam; tak banyak beza masanya saya dan kumpulan isteri dan Pak Itam saya sampai di rumah abang Haji Mohd Nor.  Dan Haji Mohd Nor dan isterinya pun sudah dimaklumkan.

Pada malam itu abang Mohd Nor menjemput semua adik beradik isteri saya di Melaka untuk hadir ke rumahnya untuk tahlil dan membaca doa.  Pimpinan PAS Melaka juga dijemput, begitu juga jiran-jirannya di Taman Ehsan itu.

Pimpinan PAS Melaka meminta saya mendedahkan serba sedikit tentang pengalaman saya semasa ditahan dibawah ISA, dari semasa penyiasatan hinggalah ke peringkat ditahan di Kem Kemunting.

Abang Mohd Nor mencarikan sebuah rumah sewa untuk saya dan keluarga, dan kebetulan 2 buah rumah dari rumahnya ada kekosongan, dan tuan punya rumah pun mahu menyewakan rumah itu.

Walaupun diperingkat itu saya tidak mempunyai sumber kewangan untuk menyewa rumah itu, abang Mohd Nor telah mendapatkan persetujuan adik beradiknya di Melaka untuk menanggungkan sewa rumah itu, dan juga mengumpulkan wang untuk makan minum saya dan keluarga saya walaupun dengan cara yang penuh kesederhanaan.

Abang Haji Mohd Nor adalah ahli PAS dan salah seorang pemimpin PAS di kawasan Parlimen Batu Berendam; pada waktu itu dia sudah berpencen daripada jawatan pegawai tadbir di Pejabat Daerah Alor Gajah.  Tetapi beliau diterima bekerja di Pejabat Ugama Melaka Tengah.

Saya juga sedang mengusahakan untuk menubuhkan firma undang-undang saya dengan bantuan daripada Abang Mohd Nor dan kenalannya di Melaka, beliau cukup luas kenalannya kerana beliau pernah bertugas di Alor Gajah, di Jasin dan di Melaka Tengah.

Secara kebetulan pada waktu itu ada sebuah pejabat yang sudah lengkap dengan alat dan peralatannya sedang dikosongkan yang sebelumnya disewa oleh sdr Abdul Wahab (kini Presiden kepada Persekutuan Berbasikal Malaysia).  Dengan baik hatinya beliau memberikan banyak alat-alat itu secara percuma kepada saya.  Ayah beliau adalah seorang ahli PAS yang tegar di Melaka.

Setelah beberapa minggu, saya telah membawa isteri saya menjadi supervisor di firma saya di Melaka, dan saya juga menjemput Man Kadir sebagai salah seorang kerani saya, dan mengambil Sdr Baba sebagai kerani dan errant boy untuk saya.

Dengan segera saya memohon menjadi ahli Panel kepada beberapa buah bank di Melaka terutamanya Bank Islam, Bank Rakyat, Malayan Banking Berhad iaitu bank-bank yang saya sudah menjadi Panel di Temerloh dan saya diterima menjadi Panel cawangan-cawangan bank tersebut.

Setiap hari saya berusaha memasarkan firma saya kepada bank-bank ini dan Alhamdulillah, saya diberikan kepercayaan untuk menjalankan kerja-kerja bank baik dari segi litigasi mahupun conveyancing.  Ertinya saya mendapat secukup kerja untuk survive di Melaka, cukup untuk membayar sewa, cukup untuk gaji petugas-petugas dan dapatlah membawa pulang beberapa ratus ringgit untuk minyak kereta dan persekolahan anak-anak saya, di samping terus dibantu oleh abang-abang ipar saya di Melaka.

Abang-abang ipar saya di Melaka agak ramai juga, termasuklah Abang Haji Ismail Jaafar, bekas pegawai JPJ, abang Haji Khalil Jaafar, seorang guru sekolah, abang Haji Yusof Jaafar, bekas seorang akauntan, dan Kak Ngah, manakala di luar Melaka adalah Abang Mohamed Jaafar, bekas pensyarah SITC dan Kak Maimunah, seorang guru (isteri kepada Dato Nik Abdul Rashid Ismail, Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia).

Pada waktu itu ada sebuah firma guaman dibawah kelolaan YB Ismail, wakil rakyat DUN Kota N. Sembilan;  beliau ini hanya pada nama sahaja peguam, tetapi tidak pernah ada pengalaman langsung di Mahkamah, sedangkan kerjanya berlambak-lambak dan kebanyakan kerjanya sudah matang yakni jika tidak diusahakan akan ditarik balik oleh bank-bank atau kes-kes civilnya di Mahkamah akan distruck off.  Ada pun yang sudah di struck off tetapi peguam ini langsung tidak tahu bagaimana untuk membuat permohonan reinstatement di Mahakamah.

Ismail adalah class-mate saya semasa mengaji di London.

Didalam keadaan yang beliau sangat cemas, beliau datang menemui saya mengatakan bahawa beliau sangat sibuk sebagai wakil rakyat (tetapi semua peguam di Melaka tahu akan kedudukan beliau sebenarnya) dan meminta saya menghandlekan kes-kesnya dan apa juga pendapatan dari fail-fail itu akan dibahagi dua setelah ditolak kos.

Saya pun belum banyak ada kes dan saya terima dengan senang hati.  Jika saya bukan seorang yang dibuang daerah dan boleh bertugas di pejabat hingga larut malam/pagi, sudah tentu saya akan lakukan tindakan supaya fail-fail Sdr Ismail ini dapat saya laksanakan dengan cepat.  Bagaimana pun, saya menggunakan waktu pagi, kerana selepas jam 6.00 pagi saya sudah tidak terikat dengan had waktu untuk tahanan rumah.

Memang laju betul saya sempurnakan kerja-kerja Ismail ini dan ini memberikan saya ruang untuk memperolehi pendapatan.  Dan saya tahu bahawa Ismail ini sebagai seorang wakil rakyat UMNO dapat berkira-kira dengan Bank agar pembayaran dapat dibuat dengan segera apabila kerja-kerja itu selesai.

Di dalam pada itu saya dapat berkenalan dengan Peguam Zamani Ibrahim yang pada waktu itu bertugas sebagai Legal Assistant kepada firma Tey & Co.  Tey adalah Pengerusi Parti Gerakan Negeri Melaka dan beliau ini juga bersikap ingin membantu saya.  Ada kes-kes jenayah di firma itu, Tey serahkan kepada saya untuk saya wakili, sehingga di peringkat Negeri Melaka itu ramai pula mengetahui saya sebagai peguam criminal dan ramai pulak pelanggan-pelanggan saya di bidang kes-kes jenayah dan bukan saja pelanggan-pelanggan di Melaka melantik saya sebagai peguam bahkan orang-orang Tangkak dan Muar serta Rembau dan Seremban melantik saya juga sebagai peguam.

Walaupun saya sendiri tidak dapat bertugas di pejabat melebihi jam 6.00 petang, tetapi isteri saya yang sudah bertugas di Pejabat Guaman saya di Jerantut dan Temerloh dapat bertugas hingga lewat malam.

Firma saya di Melaka adalah firma yang terdahulu menggunakan komputer sedangkan kebanyakan firma-firma guaman lain di Melaka pada waktu itu masih menggunakan mesin type.

Didalam pada itu saya dapat pula berkenalan dengan seorang Wakil Rakyat UMNO kerana beliau telah membawakan satu kes yang melibatkan seorang Wakil Rakyat UMNO yang lain, dan dengan bantuan guaman yang saya berikan telah berjaya menyelesaikan kes tersebut dengan tidak mendatangkan calaran maruah kepada Wakil Rakyat UMNO yang seorang lagi itu.  Selepas itu Wakil Rakyat UMNO yang saya kenali itu sentiasa pulak membantu saya dengan merojokkan banyak kes guaman kepada firma saya.

Wakil Rakyat berkenaan adalah YB Mohd Zain, yang pada mulanya diangkat sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka dan kemudiannya mengambil alih sebagai Ketua Menteri Melaka apabila Rahim Tamby Chik terpaksa melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka hasil daripada desakan Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, kerana Rahim telah terlibat dengan scandal sex di Melaka.

Semasa Mohd Zain menjadi Ketua Menteri Melaka itu saya sudah kembali ke Temerloh, tetapi beliau menjemput ke Melaka, beliau menerangkan kepada saya bahawa Bandar Jasin akan diperluaskan dan dia mahu mengendalikan semua kes-kes perumahan di Jasin dan beliau sendiri akan membantu saya untuk menyewa sebuah pejabat yang bakal digunakan oleh firma guaman saya di Jasin.  Tetapi saya menolak tawaran dari beliau.  Bagaimana pun, kami kekal menjadi kawan sehinggalah beliau meninggal dunia.

Jika saya mahu balas jasa abang Mohd Nor, rasanya tidak terbalas.  Setiap kali berlaku lawatan pimpinan PAS kerumah saya, abang Mohd Norlah yang menjadi penyambut tetamu itu dan segala makan minum ditanggung oleh abang Mohd Nor.

Apabila berlakunya Operasi Lalang, saya ditahan sekali lagi di bawah ISA dengan semua persoalan ditujukan kepada Kerajaan Barisan Nasional kenapa dan mengapa saya ditahan dibawah ISA sedangkan pada waktu itu saya tidak pun sempat bergerak dari segi politik kerana saya dikenakan tahanan rumah, melainkan seingat saya bahawa saya dipinta oleh seorang pegawai dari Pejabat Ketua Menteri Melaka supaya saya kembali ke Temerloh dan meninggalkan Melaka.

Mengikut pegawai itu tindakan saya di Melaka, walaupun tidak bergerak secara aktif didalam PAS, berjaya menyusun gerakan PAS di Melaka dengan saya mensasarkan setiap kawasan PAS di Melaka paling minima dapat mengrekruit ahli baru sermai 5 orang setiap minggu dan mensasarkan paling minima dapat menubuhkan sebuah cawangan PAS didalam tempoh satu bulan.  Dengan sasaran ini, bukan sahaja PAS Melaka melalui kawasan-kawasannya berjaya mengumpulkan 5 orang ahli setiap minggu bahkan mereka berjaya menubuhkan sebuah cawangan di setiap kawasan didalam tempoh satu minggu.

Dari segi pengajiannya pula saya dan Man Kadir berjaya mewujudkan kulliyah mingguan dengan Ustaz Wahid, Pesuruhjaya PAS melaka mengajar ilmu agama kepada ahli-ahli PAS dari seluruh Melaka di Kg Semabok, Melaka.

Didalam pada itu pula saya mengarahkan supaya setiap kawasan PAS Melaka mengadakan minima satu ceramah setiap minggu dan ceramah itu bukan sahaja diiklankan melalui poster-poster tetapi juga melalui jemputan rumah ke rumah. Walaupun pada waktu itu ceramah PAS di Melaka tidak pernah melebihi 100 orang hadirin, tetapi kekerapan mingguan di setiap kawasan di Melaka mendatangkan kecemasan kepada UMNO Melaka, dan kerana itu saya ditawarkan untuk kembali ke Temerloh dengan menerima jawapan mudah dari saya: "Saya datang ke Melaka bukan diatas hajat saya tetapi kerana dibuang daerah, maka saya akan kembali ke Temerloh apabila saya memilih untuk berbuat demikian."

Rupa-rupanya itulah alasan mereka untuk menahan saya di bawah Operasi Lalang dan apabila ditoleh akan pertuduhan-pertuduhan keatas saya untuk mengurung saya di Kem Tahanan Kemunting, pertuduhan-pertuduhan itu tersangat lemah seperti saya mengambil sikap pro-Iran dan tidak bersetuju dengan Arab Saudi; bahawa saya menyokong minyak sawit Malaysia menentang minyak soya bean Amerika. Pertuduhan-pertuduhan yang sangat bodoh yang langsung tidak ada kena mengena dengan masalah keselamatan negara.  Walaupun pertuduhan itu bodoh, saya sempat juga merengkok didalam tahanan selama 8 bulan sebelum saya dibebaskan bersyarat iaitu tahanan didalam rumah ke suatu daerah bernama Temerloh. Alangkah bodohnya kerajaan BN ini!!!

Semasa saya berada di Temerloh, abang Mohd Nor bertanding sebagai calon PAS bagi kawasan Parlimen Batu Berendam dengan undi yang sangat tinggi walaupun tewan kepada calon Barisan Nasional.

Kini abang Mohd Nor sudah beberapa tahun meninggalkan kami buat selamanya, jasa mu tetap dikenang, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah swt.

(...bersambung...)