Khamis, 4 Julai 2013

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


SAYA NAKAL TETAPI BUKAN DEGIL TAK TENTU PASAL

Posted: 04 Jul 2013 06:47 PM PDT

Dari kecil saya sentiasa patuh cakap emak saya dan aki saya.  Saya juga mengaji Quran dengan emak saya, tetapi teruklah sikit mengaji dengan emak.  Silap sikit kena rotan dan kena tampar.  Mengaji dengan aki lebih seronok, dia tidak marah kalau berlaku kesilapan; dia tegur dan dia tunjukkan yang betul, dan jika saya masih terangkak-rangkak maka dia tidak alihkan bacaan saya.  Jika saya mahu beralih maka hendaklah saya membetulkan bacaan saya.

Siang belajar membaca Quran dengan emak, malam dengan aki.  Aki juga mengajarkan kepada saya, abang Din, Abang Ri dan Abang Dol Fardhu Ain, tetapi bila sampai bak Solat, aki cukup strict.  Dia tidak mahu kami meninggalkan solat.

Saya kagum dengan pembacaan Quran oleh emak saya.  Dia sebenarnya tidak tahu membaca dan menulis, tetapi begitu baik dengan membaca Quran, almaklumlah, ayahnya (aki saya) seorang guru ugama.  Tetapi saya tidak faham kenapa aki saya tidak menghantarkan emak saya bersekolah seperti dia menyekolahkan Pakwe Hasan, Ayahda Choh (sehingga aayahda belajar di SITC Tg Malim dan menjadi guru), Mak Itam (adik mak saya) dan ayahcik Tar (adik bongsu emak saya).  Kenapa hanya emak saya tidak dihantar ke sekolah?

Saya bertanya pada aki kenapa emak saya tidak bersekolah.  Aki menjawab mudah.  "Zaman tu sangat susah Mi."  Dan saya tidak lagi bertanya.

Aki saya adalah seorang yang sangat lemah lembut.  Berbeza dengan emak saya.  Silap sikit rotan naik keatas belakang.  Lambat mandi petang, kena rotan.  Lambat solat, kena rotan. Lambat mengaji, kena rotan.  Itulah bahasa emak saya.  Bukan saya saja kena.  Abang Dol, Abang Din, Abang Ri..semua kena.

Tetapi apabila saya kenangkan balik pada hari ini, itulah kasih sayang dari emak saya, mahu menjadikan saya dan adik beradik manusia yang berguna dan mempunyai disiplin tertentu.  Maka gabungaqn cara emak dan cara Aki membentuk keperibadian saya dan adik beradik saya.

Seperti kanak-kanak lain juga saya dan abang Din saya dikategorikan sebagai budak nakal juga di Kg Lubok Kawah.  Untuk sampai ke rumah kami di darat Lubok Kawah, kami menempuh kebun rambutan Haji Ismail.  Kebunnya luas, dan pada musimnya buahnya lebat.

Tetapi kebun rambutan ayah saya pun begitu dan luas juga.  Haji Ismail berasal dari Kuala Lipis dan datang ke Lubok Kawah untuk memondok di kampung itu, dia menjadi sahabat ayah saya.  Dia juga menjadi anggota API dan dia juga ditahan oleh penjahat Inggeris.

Haji Ismail ini ada sifat "cengengeng", setiasa dia mengigatkan saya dan adib beradik saya supaya tidak mencuri rambutannya.  Walhal dia tidak perlu berkata demikian kerana kebun rambutan ayah saya juga luas.
Tetapi pantang sayalah pada waktu itu bila ditegur dengan perkara yang kami tidak buat, maka datanglah perasaan semacam nak kenakan Haji Ismail ini.

Suatu malam, saya, abang Din dan abang Dol pergi tebang beberapa pokok rambutan Haji Ismail yang buah-buahnya amat sedap.  Pagi esuknya Haji Ismail mengamuk marah kerana pokok rambutannya kena tebang.  Memang dia nak menyalahkan saya dan adik beradik saya, tetapi apa buktinya yang dia ada?

Haji Ismail sudah lama tiada, dan saya berasa sangat bersalah tetapi tidak sempat memohon maaf kepadanya semasa hidupnya, inilah sesalan saya yang amat berat saya pikul.

Satu lagi perbuatan saya dan kanak-kanak kampung Lubok Kawah yang tak sepatutnya kami lakukan ialah semasa diadakan program pertunjukan wayang gambar oleh unit Penerangan Temerloh di kampung itu.  Dua tiga bulan sekali unit ini akan datang menayangkan wayang gambar.

Kami sengaja mencari kertas-kertas untuk penduduk duduk menengok wayang gambar itu, dan kami bentangkan di hadapan skrin supaya kononnya mereka dapat menengok dengan selesa.  Dengan tidak pengetahuan mereka kami telah letakkan tahi-tahi kerbau diatas kertas itu dan apabila mereka duduk diatas kertas itu maka semua mereka terkena tahi kerbau itu.

Semasa kami bersekolah di ABS, kami tinggal di Kuala Semantan, dan ayah saya dengan Poksu Wan Abdullah membuatkan sebuah rumah kecil untuk saya dan Wan Othman (anak Wan Abdullah) yang satu kelas dengan saya.  Saaid Ali, pupu saya tinggal di rumah kecil dengan adiknya Feah tak jauh dari rumah kami. Wan Abdullah itu adalah menantu kepada Ulama Tok Ayah dan beliau juga menyertai API dan ditahan bersama-sama ayah saya oleh British.

Petang Jumaat kami balik ke Lubok Kawah dan petang Ahad kami kembali ke rumah itu.  Pada setiap Ahad, saya, Wan Othman dan Saaid akan memanjat pagar Sekolah Cina Kee Chee, Temerloh yang berjiran dengan rumah kami.   Didalam pagar itu penuh dengan tanaman sayur-sayuran seperti terung, kacang panjang, kacang bendir, timun, sawi dan lain-lain.

Kami ambil mengikut keperluan 5 hari kami setiap minggu dan tak perlu lagi kami mengeluarkan belanja untuk membeli sayur-sayuran, dan bolehlah duit yang dibekalkan oleh ayah-ayah kami itu kami gunakan untuk menengok wayang di panggung Semantan.  Kami tidak akan miss menengok wayang jika ada cerita cowboy dan cerita perang.  Cerita Hindustan pun kami minat.

Tak pergi sekolah hingga berminggu-minggu kerana mengikuti kempen Pak Sako, menyusun kanak-kanak sekolah meletakkan bendera pada basikal masing-masing, tidur beramai-ramai di kedai-kedai lesen di lorong-lorong bandar Temerloh adalah sebahagian dari apa yang saya kategorikan sebagai nakal, dan kenakalan itulah agaknya yang mempengaruhi kehidupan dewasa saya.

Sifat tidak takut saya mungkin mengalir dari kenakalan ini.  Saya tidak pernah takut kepada polis, tidak takut kena tangkap, tidak takut menyatakan kebenaran, tidak takut kepada manusia; saya tidak pandai membodek dan mengampu, saya sokong kalau saya rasa itu benar, dan saya tentang kalau saya rasa itu tidak benar.

Didalam hal inilah mungkin orang-orang politik memandang rendah kepada saya kerana mereka menyatakan bahawa saya ini sebagai seorang manusia yang tidak ada pendirian dan suka melompat-lompat parti.

Didalam mana-mana parti politik yang saya sertai (kecuali semasa menyertai UMNO sahaja) saya buat kerja dengan serius rajin dan berdisiplin, saya tak peduli apa orang lain kata; saya sanggup berhabis masa, tenaga dan wang ringgit kerana perjuangan itu.  Saya sanggup tolak tawaran-tawaran hebat keatas diri saya jika saya tidak bersetuju dengan dasar parti itu.

Tidak mudahlah untuk menolak tawaran dari Tun Razak untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional dengan dijanjikan jawatan Setiausaha Parlimen.  Ramai orang-orang yang saya kenal baik didalam parti-parti politik Pembangkang yang jatuh terkulai layu apabila ditawarkan bertanding menjadi calon Barisan Nasional dan diantara mereka adalah orang-orang yang mengetahui dan berilmu tentang Islam yang senang-senang boleh dikatakan ulamak, akhirnya menjadi ular dalam semak.  Sekarang pun masih ada orang begitu, sesetengahnya bekas adun-adun, sesetengahnya masih menjadi ahli-ahli exco, dan sesetengah masih memegang jawatan menteri.

Oleh kerana hidup saya pun sudah hampir kepada penghujungnya maka saya mahu ceritakan habis-habisan kenapa saya tinggalkan PRM, kenapa saya masuk UMNO dan PAS, dan akhirnya kenapa saya menyertai PKR.

Saya benar-benar komited dengan perjuangan PRM.  Saya tidak memperdulikan bahawa parti itu parti kecil, tetapi saya melihat kepada dasar parti itu yang berjuang untuk rakyat.  Tiada pemimpin-pemimpinnya yang berjuang untuk kepentingan diri sendiri, bahkan kesemua pemimpin-pemimpin itu adalah ibarat lilin membakar diri untuk menerangkan orang lain.

Selepas saya bertanding sebagai calon PRM di kawasan Parlimen Maran, ada sekumpulan pimpinan PRM Pahang, membawakan tuduhan terhadap Abu Samah Mat Amin, Pengerusi PRM Pahang sebagai ejen Kerajaan kerana kononnya beliau semasa menyerah diri beliau tidak ditahan oleh Kerajaan seperti rakan-rakannya didalam API yang lain.

Saya mempertahankan Abu Samah, bukan kerana dia ada pupu saya, tetapi keadaan dia menyerah diri itu pertamanya sewaktu tawaran pengampunan beramai-ramai dan keduanya beliau dan isterinya sudah terputus hubungan dengan kelompok besar yang sudah berundur ke Negeri Siam.

Rupa-rupanya pembelaan saya itu menarik tuduhan pula keatas saya kononnya saya juga adalah ejen kerajaan kerana pernah bertugas di Jabatan Perdana Menteri.  Penuduh-penuduh ini sengaja menimbulkan isu itu sedangkan jawatan saya di Jabatan Perdana Menteri bukanlah sebagai pegawai tetapi hanya didalam clerical service sebagai seorang stenographer dan menjalankan tugas sebagai PA (personal assistant).  Maka amat ceteklah pemikiran mereka itu.

Abu Samah yang berhempas pulas menegakkan PRM Pahang tetapi mendapat tuduhan yang amat berat dan saya sendiri yang terlibat dengan PRM sejak umur 12 tahun menerima tuduhan bahawa saya adalah ejen kerajaan tidak dapat saya terima.  Abu Samah mengambil keputusan keluar dari PRM dan terus berdiam diri.  Saya mengambil sikap bersimpati dengan Abu Samah, dan saya juga keluar dari PRM walaupun saya amat sayang kepada parti yang dianggotai oleh ayah saya, dan keluarga saya. Bagi saya PRM itu sinonim dengan perjuangan rakyat.a

Saya kekal tiada berparti untuk masa yang lama.  Pada tahun-tahun awalan 80-an, beberapa orang pimpinan belia Temerloh dari Gerakan Belia 4B, telah menemui saya untuk mengajak saya mengetuai gerakan belia itu di Temerloh, memandang saya seorang peguam dan mempunyai keupayaan untuk menggerakan kumpulan itu.

Oleh kerana Gerakan Belia 4B bukan badan politik (walaupun digunakan oleh pimpinan tertentu untuk UMNO), saya menerima perlawaan itu dan didalam Mesyuarat Agung Tahunan yang berkenaan saya terpilih sebulat suara menjadi Pengerusi Gerakan Belia 4B Daerah Temerloh.

Daerah Temerloh adalah kawasan yang sangat luas, ia bersempadan dengan Negeri Sembilan, membawa ke sebahagian besar kawasan-kawasan yang kini dikenal sebagai Daerah Maran dan Jerantut, membawa ke sempadan Bentong, ada mengatakan bahawa luasnya Daerah Temerloh itu hampir sama besar dengan Negeri Sembilan.  Saya tidak pernah siasat betul atau tidak.  Kini Daerah Temerloh tidaklah lagi sebesar itu kerana sebahagian kawasannya sudah ditarik ke Daerah Jerantut, sebahagian lagi sudah menjadi Daerah Maran, dan di sebelah hilirnya pula sudah diwujudkan Daerah Bera.  Tetapi sebahagian besar orang Maran seperti Chenor dan Bera masih mengekalkan panggilan bahawa mereka adalah orang Temerloh.

Saya melihat belia di Daerah Temerloh boleh digembelingkan sebagai belia berdaya maju.  Dari cawangan-cawangannya tidak sampai 10 buah, saya dan Jawatankuasa menjalankan kegiatan sehingga dapat ditubuhkan melebihi 80 cawangan keseluruhannya di Dearah Temerloh, hampir di setiap kampung wujud cawangan pertubuhan belia ini.

Saya uruskan untuk setiap kampung dengan projek belia tani dan belia niaga, dan menghantar belia dan beliawanis mendapatkan kursus-kursus seperti fotografi, kimpalan, perniagaan dan dengan bantuan-bantuan dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah Temerloh belia-belia Temerloh dapat bergerak di bidang pertanian, perniagaan dan kimpalan.  Saya bergerak seolah-olah saya berjawatan Pengurus kepada sebuah syarikat besar, semua projek belia di kampung-kampung saya lawati setiap minggu untuk mempastikan projek-projek itu berjalan lancar dan tidak timbul masal memasarkan hasil mereka.

Pada kekuatan yang begitu menyerlah, saya dipanggil oleh Dato Hamzah Abu Samah, Ahli Parlimen Temerloh untuk membincangkan kedudukan Pemuda UMNO Temerloh.  Hamzah risau kerana golongan Pemuda parti itu tidak menyokongnya.  Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Bahari Yahya dan bapa saudaranya seorang ADUN kawasan Sanggang, Annuar Md Seh tidak menyokong Dato Hamzah.

Dato Hamzah berbincang dengan saya untuk saya mengambil alih jawatan Pemuda UMNO Temerloh.

Perkhabaran ini bertiup sangat cepat sehingga suatu hari Bahari Tan Sri Yahya semasa bertemu dengan saya di Pejabat Haji Alang Ahmad, Utusan Melayu Temerloh mencabar saya supaya bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Temerloh.  Saya memberitahu Bahari bahawa saya bukan ahli UMNO untuk berlawan dengannya dan sebaliknya saya cabar Bahari supaya menentang saya sebagai Pengerusi Gerakan Belia 4B Daerah Temerloh kerana Bahari adalah ahli 4B.  Dia layak bertanding didalam 4B dan saya tidak layak bertanding didalam UMNO.

Bahari menyelar saya sebagai pengecut.  Haji Alang menegur Bahari supaya jangan cari pasal dengan Suhaimi, kerana jika Suhaimi mahu menentangnya Suhaimi akan buat habis-habisan untuk mengalahkan Bahari.  Tetapi Bahari cukup konfiden dengan kekuatannya di dalam UMNO.

Saya memberitahu Bahari bahawa walaupun saya tidak layak kerana bukan ahli UMNO untuk berlawan dengannya tetapi saya boleh meletakkan orang lain untuk berlawan dengannya.  Bahari menerima.

Tanpa buang masa saya terus ke Kuala Lumpur dan bertemu dengan Aziz Rahman, yang bertugas sebagai akauntan MAS menanyakan kepada beliau samada beliau sanggup berlawan dengan Bahari untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh.

Pucuk dicita ulam mendatang.  Aziz terus bersetuju.

Tetapi saya memberitahu Aziz bahawa saya akan menemui Sabbaruddin Chik dulu samada dia mahu berlawan dengan Bahari.  Saya pergi ke Shah Alam bertemu dengan Sabbaruddin.  Beliau bertugas sebagai orang nombor dua didalam pentadbiran kerajaan Negeri Selangor.

Sabbaruddin berkata bahawa dia akan memberi jawapan didalam masa sehari dua lagi dan menyatakan bahawa dia takut dan malu kalau kalah.  Memang Sabbaruddin boleh kalah kerana dia bukanlah orang yang popular di kalangan ahli-ahli UMNO Temerloh.  Dia pernah bertanding sebagai AJK Bahagian tetapi tidak menang.

Saya kembali kepada Aziz yang tetap memberikan persetujuan.

Beberapa orang pimpinan Bahagian Temerloh memang mengharapkan Sabbaruddin dapat bertanding dan pendokongnya yang sangat kuat adalah ADUN kawasan Bera yang juga Setiausaha Politik kepada Dato Hamzah yang pada masa itu adalah Menteri Perdagangan.

Didalam tempoh dua hari itu Sabbaruddin menalipon kepada saya bahawa dia bersetuju berlawan dengan Bahari dan saya uruskan pertemuan antara beliau, Aziz Rahman yang bersetuju berlawan jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian dengan beberapa orang pimpinan UMNO Temerloh di rumah Setiausaha Politik Dato Hamzah di Chatin.  Ramai yang hadir untuk memberikan sokongan kepada Sabbaruddin.

Di pihak saya sendiri, saya lantik Sabbaruddin sebagai Bendahari Pergerakan Belia 4B Daerah Temerloh untuk memberikan ruang untuknya mengenali golongan belia Temerloh yang sesetengahnya adalah AJK Pemuda UMNO di peringkat cawangan-cawangan.

Saya pecahkan gerakan belia kepada 4 zon tertentu iaitu Bera, Kuala Krau, Mentakab dan Kuala Semantan.  Tidak melibatkan kawasan-kawasan Daerah yang termasuk didalam kawasan Parlimen di luar Parlimen Temerloh.

Saya arahkan semua ahli-ahli 4B supaya menyertai UMNO untuk tujuan perlawanan besar antara Bahari Tan Sri Yahya dengan Sabbaruddin Cik.

Akhirnya hampir di semua cawangan Pemuda UMNO, dan ketika itu hanya ada lebih kurang 40 cawangan Pemuda UMNO (sedangkan 4B didalam kawasan Parlimen Temerloh melebihi 60 cawangan) ahli-ahli 4B memenuhi jawatankuasa Pemuda UMNO di setiap cawangan kecuali cawangan Kg Bangau dan Kg Bukit Kelulut.

Mereka bulat menyokong Sabbaruddin Chik.  Maka pada hari Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda UMNO Temerloh itu yang dipengerusikan oleh Pengerusi Tetapnya, Annuar Md Seh, bapa saudara kepada Bahari, menjadi kecuh dan dikhabarkan ada berbaling kerusi (saya tidak hadir kerana saya bukan ahli UMNO).  Mesyuarat itu ditangguhkan.  

Pada mesyuarat kali kedua, beberapa minggu selepas itu, mesyuarat berjalan dengan licin, dan keputusan mesyuarat memberikan kemenangan massif kepada Sabbaruddin dan Aziz.  Bahari hanya mendapat 2 undi dan Zainuddin Tot yang menjadi team kepada Bahari hanya mendapat 1 undi sahaja.

Saya menunggu di kedai Ah Tong di bawah Pejabat UMNO Temerloh.  Bahari dan Zainuddin turun awal, dan melihat saya Bahari datang kepada saya dan mengucapkan tahniah kepada saya.

Saya memberitahu Bahari bahawa selepas ini saya tidak ada kena mengena lagi dengan UMNO atau perlawanannya didalam UMNO, saya hanya sekadar menerima cabaran Bahari, tidak lebih dari itu.

Rakan-rakan saya didalam UMNO mengajak saya menyertai UMNO khususnya rakan-rakan didalam 4B yang semuanya sudah menyertai UMNO.  Termakan juga oleh saya dengan ajakan itu.  Akhirnya saya memohon menjadi ahli UMNO dan orang yang menentang permohonan saya itu adalah Sabbaruddin sendiri dengan Ahli Jawatankuasanya.  Keahlian saya ditolak.  Alasannya ialah saya pernah menjadi calon Parti Pembangkang, PSRM di Maran.

(episod di bahagian ini adalah panjang, dan akan saya kisahkan didalam ruangan yang akan datang)

(...bersambung...)

PARTI SOSIALIS RAKYAT MALAYA (PSRM)

Posted: 04 Jul 2013 05:08 AM PDT

Sejak saya bertemu dengan Pak Sako untuk PRU 1959, saya mengikuti perjuangan Parti Rakyat Malaya kemudian Parti Sosialis Rakyat Malaya dan kemudian kembali kepada Parti Rakyang Malaya.

Semasa saya menjadi pelajar di Maktab Mara saya sentiasa mengunjungi  Ibu Pejabat parti itu di Jalan Tuanku Abdul Rahman.  Kemudian PRM/PSRM berpindah ke Bangsar.

Tempat tumpuan saya pada hujung minggu semasa saya menjadi mahasiswa Universiti Malaya adalah rumah Syed Husin Ali di Section 17, Petaling Jaya dan Ibu Pejabat PRM di Jalan Bangsar.  Dan setiap kali Syed Husin melawat ranting-ranting samada di Perak, Selangor, Pahang, Melaka dan Johor, jarang-jarang sekali saya tidak mengikutnya.

Saya seronok mengikut Syed Husin Ali ke Felda Gedangsa, Felda Behrang, Felda Lembah Bilut kerana setiap kali Syed Husin sampai di sana beliau akan mengemukakan isu-isu baru tentang Felda, dan beliau juga mengadakan kelas bimbingan ideologi kepada ranting-ranting setempat.

Melalui kelas-kelas yang dibimbing oleh Syed Husin saya mula mengenali sedikit sebanyak ideologi rakyat yang diperjuangkan oleh PSRM/PRM.

Saya cukup meminati kllasifikasi kelas yang secara ringkasnya dapat saya nyatakan bahawa masyarakat terbahagi kepada beberapa kelas.  Ada kelas pemodal, ada kelas feudal, dan kelas berjuis, ada kelas berjuis kecil, ada kelas boroh/pekerja dan kelas petani.

Kelas golongan pemodal, feudal, dan berjuis itu pulaq boleh dibahagikan kepada pecahan-pecahannya.  Berjuis itu boleh dibahagikan kepada golongan monopoli, golongan nasional, golongan komprador.  Didalam keadaan perjuangan masih diperingkat menentang kapitalis besar yang didatangkan dari luar seperti imperialisme yang menindas semua ekonomi dan rakyat di negara-negara membangun atau di dunia ketiga tidak semua golongan kapitalis itu perlu ditentang oleh rakyat.  Golongan kapitalis nasional yang juga turut ditindas oleh kapitalis besar dan antarabangsa boleh dijadikan rakan didalam perjuangan yang besar, penyatuan kumpulan besar untuk memencilkan kumpulan kecil.  Tetapi kapitalis komprador tidak boleh dimasukkan kedalam kategori ini kerana mereka itu adalah barua kapitalis besar atau kapitalis antarabangsa.

Golongan borgeois (berjuis) terbahagi kepada berjuis besar dan berjuis kecil; berjuis besar itu termasuklah golongan kapitalis besar, kapitalis antarabangsa dan kapitalis komprador; dan golongan berjuis kecil atau petty borgeois terdiri daripada kalangan masyarakat yang sederhana kehidupan mereka.  Berbeza dengan golongan kapitalis yang menghisap darah kaum pekerja, menindas dan mendapat untung melalui penindasan keatas kaum pekerja, iaitu golongan yang ditermakan sebagai golongan yang menindas manusia eksplotasion delon parlon dan kapitalis monopoli pula adalah kapitalis yang besar datang sebagai Imperialis menjajah negara-negara membangun dari segi ekonomi atau yang ditermakan sebagai eksplotasion de nasion pra nasion, iaitu golongan kapitalis monopoli dari negara Imperialis termasuk negara-negara bekas penjajah yang menindas negara-negara dunia ketiga, berjuis kecil ini terdiri daripada kelompok masyarakat yang hidup senang tetapi tidak mendapat keuntungan daripada menindas manusia.  Mereka itu termasuk jugalah pegawai-pegawai kerajaan dan peniaga-peniaga yang menjalankan perniagaan sendiri dan menggunakan kepandaian sendiri mencari untung.

Golongan berjuis kecil ini tidak semestinya tidak memihak kepada perjuangan rakyat dan tidak juga semestinya memihak kepada rakyat.  Golongan yang menjadi barua kepada berjuis besar tidak boleh dimasukkan kedalam kategori "rakan di dalam perjuangan".

Golongan yang paling cekal didalam perjuangan rakyat adalah golongan pekerja yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan atau harta melainkan tulang empat keratnya sahaja.  Mereka ini jika mempunyai kesedaran politik boleh menggoncang dunia, tetapi jika mereka ini tidak ada kesedaran politik boleh saja digunakan oleh golongan musuh rakyat, dan mereka yang sebegitu boleh ditermakan sebagai golongan fasis.

Rakan kepada perjuangan rakyat yang dibimbing oleh kaum pekerja itu adalah golongan petani dan nelayan. Gabungan golongan pekerja, petani dan nelayan apabila mempunyai kesedaran politik boleh menggoncang kekuatan golongan berjuis, boleh saja membimbing berjuis kecil dan berjuis nasional untuk kebebasan nasional.

Saya terpikat betul dengan analisis kelas didalam masyarakat ini.  Justeru kerana itu, didalam saya memperjuangkan hak menentang kebatilan politik, walaupun golongan petani, golongan orang miskin seperti orang kampung, Orang Asal dan peneroka-peneroka Felda serta generasi mereka, mengambil sikap menentang perjuangan rakyat yang memperjuangkan hak dan kepentingan mereka, saya hanya sekadar berpendirian bahawa mereka itu belum dimasuki kesedaran.  Insya Allah jika mereka sedar, merekalah yang akan memimpin perjuangan rakyat ini.

Banyak juga artikel-artikel yang saya tulis melalui Banteng dan surat khabar BUMI diatas kesedaran perjuangan ini dengan membicangkan aspek-aspek yang berbeza.

Walaupun saya pernah menyertai PAS dan UMNO, tetapi saya tidak pernah lari dari konsep perjuangan rakyat.  Baik didalam PAS dan UMNO, landasan perjuangan saya adalah membela kaum bawahan; dan tidakkah menjadi bukti bahawa dua kali saya ditahan di bawah ISA, isu utama yang dituduhkan kepada saya ialah "memecahbelahkan masyarakat Felda?"

Perjuangan untuk menegakkan hak peneroka-peneroka sudah tentu melibatkan perpecahan di kalangan peneroka-peneroka; setiap tindakan yang saya lakukan untuk membela nasib peneroka-peneroka seperti mendapatkan geran tanah secara individu, atau untuk mendapatkan keadilan dibidang perwarisan tanah-tanah peneroka bagi generasi mereka, atau isu-isu yang melibatkan hutang peneroka-peneroka yang tidak munasabah yang dikenakan oleh Felda, atau isu-isu melibatkan pendapatan peneroka-peneroka yang dimanipulasi oleh Felda, semuanya melibat pertentangan didalam masayarakat peneroka Felda.  Peneroka-peneroka yang sedar mengambil jalan memperjuangkan hak mereka, tetapi golongan yang tidak sedar mengikut secara membuta tuli pandangan dari Felda dan UMNO walaupun pegangan Felda dan UMNO itu merugikan peneroka-peneroka.

Namun saya tidak pernah berasa keciwa jika peneroka-peneroka memandang sepi terhadap perjuangan yang saya bawakan kerana saya berpendangan bahawa mereka itu belum menerima kesedaran dan keinsafan.

Saya bermula menyokong PRM/PSRM dari peringkat umur saya 12 tahun lagi, dan saya meneruskan sokongan saya terhadap parti itu semasa saya sudah bekerja di Jabatan Perdana Menteri, semasa saya berada di Maktab MARA, semasa berada di Universiti Malaya dan semasa saya belajar undang-undang di London.

Semasa di London ada banyak kumpulan kiri dari Malaysia dikalangan pelajar-pelajar dan bukan pelajar terdiri daripada bekas-bekas pelajar yang sudah meninggalkan pengajian mereka.  Ada yang terlalu kiri memihak kepada perjuangan Parti Komunis Tiongkok, tetapi saya tetap mengekalkan sikap kesederhanaan ideologi berpegang kepada ideologi politik PRM.

Di London saya berjaya menubuhkan 2 buah ranting bagi PRM, satu di London dan satu lagi di Timur Laut England.  Ada diantara mereka yang kembali ke tanah air meneruskan perjuangan mereka didalam PRM, ada yang menyertai UMNO, MCA dan MIC.  Saya kekal dengan PRM.

Apabila saya dilantik menjadi Magistrate di Mahkamah Ipoh, secara belakang saya melibatkan diri dengan anggota PRM di sana memberi bantuan kepada golongan pekerja yang menjalankan mogok pada waktu itu.

Saya juga terlibat dengan Pilihanraya Kecil di Kangar apabila Saad Man bertanding sebagai calon PRM menentang Barisan Nasional di sana, saya bercuti beberapa hari untuk membantu secara aktif calon PRM, Saad Man.  Sekarang ini Saad Man menyertai UMNO.  Tetapi kenalan didalam PRM Perlis iaitu Wan Khazim bersetia dengan PRM melainkan beliau menyertai PKR apabila wujud gabungan diantara PRM dan PKN.

Semasa saya bertugas sebagai Pegawai Undang-Undang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, saya meletakkan jawatan semata-mata untuk bertanding sebagai calon PRM untuk kawasan Parlimen Maran, yang pada waktu itu hanya mempunyai 3 buah ranting.  Walaupun saya kalah tetapi saya cukup gembira kerana saya sudah dapat mengambil tempat saya didalam politik nasional dengan bertanding sebagai calon PRM dan tidak kehilangan deposit walaupun saya tidak pernah aktif di kawasan Maran sebelum itu.

Untuk pengetahuan sesetengah pembodek saya mendapat pelawaan dari Tun Razak untuk bertanding sebagai calon Parlimen samada Raub atau Maran, dan indikasi dari Tun pada waktu itu adalah untuk menjadikan saya Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri kerana saya sudah berpengalaman bekerja di Parlimen, dan berpengalaman memberi khidmat kepada beberapa orang Menteri selaku Pegawai yang bertugas di Parlimen.

Jawapan saya kepada Tun adalah "terima kasih" dan "saya akan bertanding".   Apabila saya bertanding sebagai calon PRM di Maran, Tun Razak menghubungi Datuk Bandar meminta Datuk Bandar memujuk saya supaya menarik diri dari bertanding.  Tun Razak sendiri berkempen di Maran dengan menyentuh hal ehwal saya sebagai seorang yang keras kepada kerana enggan bertanding diatas tiket Barisan Nasional.

Sebelum saya bertanding di Maran, saya telah meletakkan jawatan saya sebagai Pegawai Undang-Undang Dewan Bandaraya dan surat itu saya beri secara tangan kepada Datuk Bandar, Tan Sri Yaakub Latiff.

Esuknya saya terus ke Kuantan untuk mengambil Borang Pencalonan dan pada hari pencalonan saya meletakkan nama saya selaku calon PRM.

Semasa Pilihanraya itu berlangsung setidak-tidaknya dua kali Ketua Jabatan saya dari Bandaraya mencari saya di Maran untuk memujuk saya supaya menarik diri atas arahan Datuk Bandar.  Dan saya hanya memberikan ucapan terima kasih kepada Ketua Jabatan saya itu, En Nganarajah dan saya pinta salam saya disampaikan kepada Datuk Bandar.

Apabila keputusan Pilihanraya diketahui dan saya kalah, maka saya kembali ke Petaling Jaya, bukan untuk mencari kerja tetapi untuk membuat chambering.  Mr Gamany bersedia mengambil saya sebagai pupilagenya.  Tetapi isteri saya memberikan sekeping surat dengan sampul surat dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.  Pada waktu itu isteri saya bekerja menjadi Secretary kepada Pengerusi Lembaga Letrik Negara.

Saya buka juga surat itu untuk mengetahui apakah isi kandungan surat itu.  Surat itu ditandatangani sendiri oleh Datuk Bandar dan amat ringkas.  Isinya, "Tuan dikehendaki berjumpa dengan saya seberapa segera yang boleh." Tandatangan Tan Sri Yaakub Latiff, Dato Bandar Kuala Lumpur.

Amboi begitu ringkas sekali.

Apa saya nak buat?  Saya terus pergi ke Pejabat Daim & Gamany bertemu dengan Sdr Gamany.  Beliau pada waktu itu adalah Bendahari kepada PRM Pusat.  Kami berbincang dan menetapkan tarikh untuk saya mulakan chambering.  Mengenai bayaran semasa chambering - tidak ada.  Tetapi jika saya berjaya menutupkan fail dan mendapat bayaran, maka sebahagian daripada bayaran itu boleh digunakan untuk keperluan saya.  Cukuplah sebenarnya untuk saya.  Isteri saya bergaji agak besar juga dan rumah yang kami diami di Section 14, PJ itu adalah rumah abang ipar, iaitu abang kepada isteri saya dan dia tidak mengenakan sebarang sewa kecuali membayar bil air dan api sahaja.  Dan pada waktu itu saya baru mempunyai seorang anak - Surina yang kini menjadi seorang peguam dan mengambil alih firma guaman saya.  Dia adalah lulusan dari Universiti Birmingham, England.

Selepas berjumpa Gamany, kami "ngeteh" bersama dan saya beritahu kepada Gamany bahawa Dato Bandar berhajat bertemu dengan saya.  Saya ambil pandangan dia samada saya perlu bertemu dengan Dato Bandar kerana sesungguhnya saya sudah berhenti dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.  Gamany nasihatkan kepada saya supaya pergilah berjumpa Dato Bandar.  Berilah hormat kepadanya kerana selama saya bertugas di Bandaraya, Dato Bandar mengambil sikap yang sangat mesra terhadap saya.

Selepas jam 2.00 petang saya pergi menemui Dato Bandar dan saya bertemu dengan En Effendy, PA kepada Dato Bandar.  Effendy memberitahu saya bahawa Dato Bandar sangat keciwa dengan tindakan saya bertanding diatas tiket PRM.  Saya tanya Effendy samada saya perlu menemui Dato Bandar atau sebaliknya.  Effendy menyatakan bahawa Dato Bandar berhajat sangat nak jumpa you (saya).\

Saya ketuk pintu bilik Dato Bandar, membukanya dan memberi salam.  Dato Bandar langsung tak angkat mukanya, langsung tidak mempelawa saya duduk, langsung tidak menyapa saya sehinggalah saya menyatakan kepadanya betulkah Tan Sri nak berjumpa saya.

Pada waktu itulah saya lihat mukanya naik merah, air matanya keluar, dan dia hempas pen yang ada ditangannya ke meja.  Wah, dia betul-betul marah.  Terus dia berkata, "Puki mak engkau, berapa kali Tun Razak talipon aku pasal engkau, berapa kali aku suruh pegawai Dewan pergi ke Pahang cari engkau supaya tarik diri, kau langsung tak memperdulikan nasihat aku."

Perkataan engkau aku yang digunakan oleh Dato Bandar itu cukup memberi erti bahawa dia sudah tidak dapat mengawal perasaannya lagi.  Saya pun berada didalam keadaan serba salah melihat keadaan itu. Tapi saya dapat membuka juga mulut saya dengan mengatakan bahawa, "Dato, saya sudah letak jawatan, masa saya bertanding itu, saya bukan lagi menjadi pegawai di sini."

Mendengar itu dia lagi marah. "Puki mak engkau letak jawatan!" Dia terus membuka laci mejanya dan terus keluarkan surat letak jawatan saya. "Ha..ha...ini letak jawatan, puki mak kau letak jawatan!" suaranya menengking.

Dia terus koyakkan surat itu, dan barulah selepas itu dia suruh saya duduk.  Lama dia terdiam.  Bila dia bercakap semula, suaranya sudah berbeza.

"Berapa lama kau absent?" dia tanya dengan nada yang cukup lembut.

"Kalau tak silap 20 hari Dato,"

"Kau absent 20 hari! Potong gaji engkau 20 hari, pergi kerja sekarang!!"

Sebelum saya keluar dari biliknya dia talipon kepada boss saya supaya menerima saya semula di Jabatan Undang-Undang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Kisah-kisah saya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan saya ceritakan didalam halaman yang lain.

(..bersambung..)