Ahad, 2 Jun 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


CCTV Bukan Jalan Penyelesaian Atasi Kematian Tahanan Polis

Posted: 02 Jun 2013 06:34 PM PDT

SHAH ALAM 3 JUN : Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokap balai polis bukan jalan penyelesaian untuk menangani kes kematian tahanan ketika di bawah pengawasan polis.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran yang dihubungi berkata, kerajaan didesak untuk kesekelian kalinya agar menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) pada kadar segera.

Katanya, walaupun CCTV di pasang di lokap namun ia tidak menghalang daripada kejadian 'keganasan' yang dilakukan pihak polis terhadap tahanan daripada berlaku kerana perkara demikian boleh juga berlaku di luar pengawasan CCTV.

Sebelum ini, dalam kejadian terbaru, seorang jurutera, P Karuan menjadi individu ketiga yang maut dalam tahanan polis dalam tempoh dua minggu.

Kejadian itu berlaku di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin yang dilaporkan 'meninggal dunia tiba-tiba' pada jam 7 petang Sabtu lalu.

"Hanya dengan penubuhan IPCMC akan menyelesaikan masalah kejadian kematian tahanan dalam lokap kerana selepas ini pihak Polis tidak akan berani untuk melakukan sebarang tindakan di luar batas kuasa dan juga jenayah," kata beliau.

Tambah beliau, faktor kesihatan merupakan isu yang dihadapi oleh tahanan bukan menjadi isu utama kerana yang perlu diberi perhatian ialah tahanan yang dipukul dan diperlakukan sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.

"Pihak Peguam Negara dan polis perlu professional dalam menjalankan tugas dan bertindak terhadap anggota polis yang terlibat kerana tiada tindakan tegas telah diambil," kata Surendran.

Sehingga Mei 2013, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) merekodkan tujuh kematian dalam tahanan polis.

Sumber: Selangorku

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


PKR cadang suruhanjaya bebas kendali urusan persempadanan

Posted: 02 Jun 2013 01:46 AM PDT

Sinar Harian

Menyifatkan pertukaran kawal selia Suruhanjaya pilihan Raya (SPR) di bawah kuasa Parlimen sebagai kemenangan awal PKR, parti itu hari ini menggesa agar ia bukan hanya sekadar ‘public relations exercise’.

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata, pembentukan jawatankuasa itu hendaklah diperhalusi oleh pelbagai pihak dengan memberikan terma rujukan yang luas dan holistik supaya jawatankuasa itu dapat melaksanakan reformasi pilihan raya.

“Saya turut menyarankan agar suatu badan bebas ditubuhkan di bawah bidang kuasa Parlimen bagi mengambil alih peranan SPR untuk membuat syor-syor terhadap urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya.

“Cadangan ini adalah bagi memastikan tidak berlakunya ‘conflict of interest’ dan penyalahgunaan kuasa serta menjamin tugas dan peranan SPR yang lebih efektif dan bertanggungjawab dalam pengurusan perlaksanaan pilihan raya,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, PKR tegas dengan pendirian menggesa pengerusi SPR dan timbalannya meletakkan jawatan bagi memulihkan kredibiliti dan reputasi suruhanjaya itu.

“Perkara 113 dan 114 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan pembentukan SPR. SPR bukanlah sebuah agensi ataupun jabatan Kerajaan dan tidak boleh menjadi alat kepada mana-mana parti politik.

“Oleh kerana itu, PKR bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Bersih menggesa agar kawal selia SPR tidak boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri,” ujarnya lagi menerusi satu kenyataan media.