Sebagai suara majoriti rakyat, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini menuntut agar kerajaan BN bersama-sama dengan parti itu melaksanakan Agenda Pemulihan Demokrasi sebelum mengadakan rekonsiliasi politik.

Menurut Wan Azizah, tawaran yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung rekonsiliasi politik sebelum ini dilihat tidak ikhlas apabila terdapat pemimpin BN yang meminta agar sesiapa yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya supaya berpindah ke luar negara.

NONE"Tawaran perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dibuat selepas kemenangan palsu PRU13 agar mengadakan
rekonsiliasi terbukti tidak ikhlas apabila ada pemimpin BN yang angkuh dan sombong mencabar sesiapa yang tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya negara supaya berpindah ke negara lain.

"Apakah pemimpin BN tersebut mahu 51 peratus rakyat Malaysia berpindah ke negara lain?

"Oleh yang demikian sebagai suara majoriti rakyat kita akan terus menuntut kerajaan minoriti BN bersama-sama kita untuk melaksanakan Agenda Pemulihan Demokrasi melalui reformasi politik yakni reformasi pilihan raya dan reformasi Parlimen sebelum menawarkan rekonsiliasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan perasmian bagi hari kedua Kongres Nasional PKR kali ke-9 di Petaling Jaya.
PKR, bersama-sama dengan PAS dan DAP di bawah Pakatan Rakyat,memperolehi 51 peratus undi popular tetapi hanya menang 40 peratus kerusi Parlimen berbanding BN yang hanya mendapat 47 peratus undi popular tetapi menang 60 peratus kerusi.
Sebelum ini, Najib menawarkan rekonsialisasi politik selepas keputusan pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lalu yang menyebelahi BN. 

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata mana-mana individu yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya agar berhijrah ke negara lain. 

Sementara itu, dalam ucapan sama, berikutan wujudnya dakwaan lebihan kertas undi serta pemberian kad pengenalan kepada warga asing, Wan Azizah turut mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diperluaskan ke seluruh negara. 

"PKR dengan ini mencadangkan supaya ditubuhkan satu RCI bagi menyiasat projek pemberian kad pengenalan sepertimana yang terbukti berlaku di Sabah agar diperluaskan ke seluruh negara," katanya lagi.
 
Wan Azizah jua menggesa kepimpinan  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  meletakkan   jawatan "kerana bukan sekadar gagal  menjamin   proses   pilihan  raya  yang   bersih  dan  adil, malah  terlibat  dalam  jenayah  penipuan  bagi  pihak  Barisan  Nasional". 

Beliau berkata hanya satu daripada lapan tuntutan kumpulan reformasi pilihan raya BERSIH yang dilaksanakan SPR, iaitu dakwat kekal, yang berakhir dengan kegagalan.

Wan Azizah berkata parti itu tetap komited kepada perhimpunan Black 505 di seluruh negara bagi membantah dakwaan penipuan pilihan raya.

Beliau berkata sebilangan besar orang muda menghadiri perhimpunan tersebut dan beliau menyifatkan golongan itu sebagai generasi  harapan   masa   depan.

Wan Azizah berkata, penangkapan dan pendakwaan Adam Adli baru-baru ini menunjukkan kerajaan BN takut kepada orang muda yang berani bercakap kebenaran dan menentang penipuan pilihan raya.