Isnin, 11 Februari 2013

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Mantan Ketua Pemuda Umno & 2 lagi pemimpin Sabah masuk KEADILAN

Posted: 11 Feb 2013 10:35 AM PST

Keadilandaily

Beberapa tokoh pemimpin Umno Sabah termasuk mantan Ketua Pemuda Umno Negeri isytihar sertai KEADILAN di majlis yang dihadiri Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut berbuat demikian, mantan Ketua Penerangan Umno Tuaran dan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor.

Kemasukan itu sempena lawatan Anwar ke Sabah pada sambutan Tahun Baru Cina.

Pengisytiharan itu dibuat pada Majlis Makan Malam Perayaan Tahun Baru Cina anjuran KEADILAN Sabah di Restoran Putera Ballroom, Kota Kinabalu, malam tadi yang dihadiri lebih 1,500 orang.

Selepas itu, Anwar berdialog bersama anak muda dan profesional di Hotel Megah D Aru, Tanjung Aru dalam forum bertajuk Kembalikan Autonomi Sabah.

Panelis lain adalah Pengerusi KEADILAN Sabah, Tamrin Jaini, Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Aziz Bari dan peguam rakyat, Ansari Abdullah.

Terdahulu, pada sebelah petang, Anwar menyampaikan ceramah perdana di Kampung Panginatan, Ranau.

Ketibaan Anwar disambut meriah oleh penduduk dengan laungan 'Ini kalilah!'.

Tamrin, Datuk Seri Lajim Ukin, Datuk Seri Wilfred Bumburing, Senator Maijol Mahap dan Christina Liew turut berceramah.

Diikuti Forum Perdana Suara Anak Sabah (Suasa) di Restoran Pelancongan, Keningau.

Sambutan Tahun Baru Cina diteruskan Anwar ke Sarawak pada hari ini.

Program dimulakan dengan ceramah Anwar 'Solusi Baram' di Beluru Bazaar, Beluru, Bakong.

7.00 malam ini, Anwar bersama pemimpin Pakatan Rakyat meneruskan program Makan Malam Gong Xi Fa Cai di Restoran Cina Mega Hotel, Miri.

Acara diakhiri dengan Ceramah Perdana Gong Xi Fa Cai di Waterfront Commercial Centre, Miri bermula jam 8.00 malam.

Selain Anwar, penceramah dibarisi, Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian, Ali Biju, See Chee How dan Dr Michael Teo Yu Keng.