Rabu, 11 Januari 2012

R Sivarasa - Ahli Parlimen Subang

R Sivarasa - Ahli Parlimen Subang


Sivarasa discusses Anwar Ibrahim's acquittal

Posted: 11 Jan 2012 07:49 AM PST

Click on this link to watch R. Sivarasa discussing Datuk Seri Anwar Ibrahim's acquittal, the political considerations and the implications for PKR.

http://mobtv.my/talkshow-679.html

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Photo Dato Seri Anwar Ibrahim Bersama Prof Raj Mohan Gandhi Dan Isterinya Usha Gandhi di Panchgani, India

Posted: 11 Jan 2012 05:30 PM PST

Sinar keadilan Dari Mahkamah Jalan Duta

Posted: 11 Jan 2012 05:24 PM PST

Dari Harakah
Oleh Abdul Shukur Harun

Sejak awal Subuh lagi (Isnin), Masjid Wilayah Persekutuan, yang berada di depan Mahkamah Tinggi Jalan Duta didatangi ribuan umat Islam untuk mendengar keputusan kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka menunaikan solat Subuh dan kemudian menuju ke kompleks mahkamah tersebut – tidak jauh dari situ dengan penuh semangat dan bersedia menerima apa saja keputusan mahkamah.

Dingin Subuh tidak terasa kerana ramainya orang yang hendak memberi sokongan kepada Anwar, seorang pemimpin pembangkang penuh karisma, yang menghadapi siri fitnah bertahun-tahun lamanya.

(Gambar: Awal Subuh mereka sudah berkumpul di Masjid Wilayah)

Sebahagian besar mereka yang datang menyangkakan, Anwar akan dijatuhkan hukuman bersalah, namun mereka menggagahkan diri untuk datang bagi meneruskan perjuangan ketua pembangkang itu.

Ertinya di sini, mereka bukan semata-mata datang untuk menyokong Anwar secara peribadi, tetapi mereka datang untuk menyokong perjuangan pemimpin Pakatan Rakyat itu bagi membebaskan Malaysia dari cengkaman politik Umno/BN yang korup.

Walaupun tenggelam dalam persepsi umum bahawa kemungkinan besar Anwar akan dihukum, orang ramai terus berjalan dengan aman ke pekarangan mahkamah tersebut dalam cuaca pagi yang semakin cerah.

Matahari sedikit demi sedikit menampakkan wajahnya, di balik rimbunan pohon-pohon di situ, seperti gadis sunti yang malu-malu. Dan orang ramai – pelbagai kaum – terus berkumpul. Teriakan 'Reformasi', 'Allahu Akbar' bergema. Ratusan wartawan dan juru-foto dari dalam dan luar negara turut sama dalam gelombang orang ramai itu

Ini membuktikan bahawa kes Liwat-11 Datuk Seri Anwar ini mendapat perhatian antarabangsa, di samping beliau sendiri adalah tokoh yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Di tengah gegak gempita orang ramai menyambut para tokoh pembangkang yang tiba seorang demi seorang, pasukan polis berkawal dengan tenang, malah ada yang dengan ramah menyambut salam orang ramai, kontras dengan suasana Himpunan Bersih 2.0 dulu yang penuh dengan ketegangan.

Waktu berjalan dan degup jantung hampir setiap orang begitu kencang ketika menanti keputusan perbicaraan tersebut – suatu keputusan yang sangat akan membantu arah jalannya politik negara ini.

(Gambar: Presiden PAS yang datang untuk memberikan sokongan moral kepada Anwar)

Tetapi keadaan yang mendebarkan itu kemudian bertukar tiba-tiba dengan teriakan gembira orang ramai apabila diumumkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohamad Diah memutuskan Anwar tidak bersalah dan mengarahkan supaya beliau dibebas dan dilepaskan.

Setelah mendapat pengesahan berita itu, penyokongnya terus melonjak kegembiraan dan menjerit, "Anwar tidak bersalah!". Kebanyakannya tercengang-cengang mendengar berita itu. Matahari pagi terus naik – menyaksikan peristiwa itu – seolah-olah ikut gembira kerana berakhirnya sebuah fitnah.

Ramai yang kelihatan begitu bergembira sambil memeluk antara satu dengan lain, bertepuk dan melaungkan "reformasi", "Allahu Akbar" tidak putus-putus.

Di dalam mahkamah yang penuh sesak, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakap suaminya dengan gembira dan menahan sebak setelah tertekan perasaan dan dukacita yang amat sangat sejak perbicaraan bermula pada tahun 2008. Namun wajahnya masih tergambar kesabaran dan ketabahan hati sebagai isteri seorang pemimpin yang paling banyak menerima ujian silih berganti.

Di tengah orang ramai itu ada suara terdengar perlahan, "Ini ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, Allah masih menyayanginya. Allah membersihkannya dari fitnah.''

Anwar dan isteri kemudian keluar dari bangunan mahkamah dan diserbu oleh orang ramai yang hendak mengucapkan tahniah.

Anwar mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya dan mengisytiharkan bahawa perjuangan mereka masih jauh dari tamat.
“Kita telah dengar tadi bahawa saya kini bebas. Tetapi ini bukanlah mengenai kebebasan saya saja. Perjuangan selepas ini adalah untuk membebaskan rakyat daripada terus dicengkam oleh kerajaan Barisan Nasional. Tugas kita sekarang ini ialah untuk membebaskan rakyat, untuk membebaskan rakyat," katanya berulang kali.

Beliau segera ditemui ramah oleh TV Aljazeera dan media lokal dan international yang lain.

Di tengah-tengah itu, tiba-tiba terdengar letupan beberapa kali tidak jauh dari pekarangan tersebut, namun orang ramai masih berkumpul dan berkumandang doa disampaikan oleh YDP PAS Gombak, Ustaz Salahuddin Nasir.

Selepas itu orang ramai pun bersurai perlahan-lahan dengan rasa lega atas keputusan tersebut. Namun mereka sedar, perjuangan ini belum berakhir, justru ada kemungkinan kes ini akan dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Sekali lagi orang ramai menyerahkan ketentuan ini kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Di ini saya mencatatkan ingatan yang penting dari Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menasihatkan pihak yang telah memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memohon maaf dengan segera.

(Gambar: Anwar pulang sebagai seorang yang bebas setelah diputuskan tidak bersalah)

Katanya, mereka yang membuat fitnah terhadap Anwar selama ini perlu memohon maaf kepada Anwar.

“Berdosa besar dan tidak akan masuk syurga selagi tidak memohon maaf darinya," ujarnya lagi.

Tuan Guru berpuasa sunat sehari hari ini (Selasa) bagi melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah.

"Mudah-mudahan fitnah politik di negara ini tidak akan berlaku lagi," katanya.

Matahari semakin meninggi ketika medan Jalan Duta itu beransur lengang selepas orang ramai pulang dengan rasa gembira dan shukur kepada Ilahi. Yang tinggal hanyalah sampah saraf, kertas, botol-botol dan sebagainya menunggu dibersihkan oleh buruh bandaraya. Bangunan Mahkamah Tinggi yang ditinggalkan itu telah mencatat sejarah penting bahawa ada sinar keadilan memancar di sana

Nota BIPPA – Isu Pemikiran Umat Pasca Pembebasan DSAI

Posted: 11 Jan 2012 03:57 PM PST

KEBENCIAN, KEDENGKIAN, KESOMBONGAN DAN
DENDAM KESUMAT MASIH MEWARNAI SEGELINTIR PEMIKIRAN
UMAT ISLAM PASCA PEMBEBASAN DSAI.

 
Bagi setiap insan terdapat parameter yang menjadi panduan untuk dia berfikir dan bertindak. Seorang athies yang tidak mempercayai kewujudan tuhan, akan bertindak dalam kerangka kefahaman dan kepercayaannya itu. Begitu juga bagi kalangan yang mempercayai kewujudan tuhan, akan berfikir dan bertindak mengikut kehendak dan kepercayaan kepada arahan tuhan. Seorang muslim yang mempercayai kepada Allah sebagai Rabb (Tuhan) yang memiliki alam, mengurus dan mentadbir  sewajarnya bertindak mengikut kehendak kepercayaannya itu.

 

Mutaakhir ini bagaimana pemikiran  muslim bila bertembung dengan isu yang melibatkan hukum hakam agama ?. Kedengaran dari suara-suara tertentu yang meresahkan umat Islam, malah mengelirukan serta berlaku pelanggaran pada syariat dan lebih menyedihkan dia menyesatkan orang lain dalam tindakannya itu. Amat malang bagi kita apabila mencampuri kepentingan peribadi dan emosi  bila mengungkapkan perkara yang berkaitan dengan hukum agama.  Tidakkah pelik seorang yang bergelar muslim yang sepatutnya menuruti ajaran agama lantas bersedia untuk mengenepikan hukum bila berhadapan dengan isu-isu tertentu. Seharusnya agamalah yang meluruskan emosi dan  peribadi seorang muslim itu.

 

Rujukan kes yang ingin saya utarakan adalah berkaitan dengan fitnah liwat yang melibatkan DSAI. Bukan sekadar memberikan maklumbalas kepada keputusan mahkamah yang telah membersihkan DSAI daripada salahlaku tersebut. Tetapi bagaimana seorang muslim seharusnya berfikir dalam kerangka orang yang beragama dan yang memiliki Tuhan. Apa maknanya agama jika ia bukan untuk diamalkan dan dituruti jalannya.

 

Pasca keputusan diterima oleh orang kebanyakan, terutamanya penyokong PR dengan gembira, kesyukuran dan sebahagian dari episod kemenangan dalam perjuangan. Namun bagi orang yang membawa emosi dan peribadi sukar untuk menerima keputusan tersebut, lantas mengeluarkan kenyataan yang jelas melampaui batas-batas hukum dan syariat yang dianutinya. Kepercayaan bahawa berlaku peristiwa liwat tersebut kekal dalam minda mereka , kerana dendam kesumat, kebencian yang sukar dinyatakan serta kesombongan diri dan dikelirukan dengan fakta palsu.

 

Tidak ada asas langsung untuk kelompok ini menjustifikasikan liwat telah berlaku. Pertama dari sisi agama, jelas amat rapuh, tidak 'valid', bertentangan dengan kaedah mensabitkan perbuatan liwat. Malah membuat tuduhan tanpa bukti yang dipinta oleh syarak patut dikenakan hukuman qazaf. Kedua, bukti di mahkamah yang cuba dimanipulasi dengan  pelbagai cara dan kaedah saintifik juga ditolak. Apa lagi hujah kalau ia bukan suatu kesombongan, kebencian dan kedengkian serta dendam kesumat untuk  melakukan apa sahaja, walaupun ia bertentangan dengan agama sendiri.

 

Saya cuba untuk membawa pemikiran pembaca untuk melihat dari sisi agama, dengan mengenepikan sentimen kepartaian dan ketaasuban. Jauh sekali untuk memaksumkan insan yang bernama Anwar Ibrahim. Kerana apabila ia melibatkan soal hukum hakam syariat, sewajibnya seorang muslim itu mengutamakan agama lebih dari segalanya. Perkara ini saya tegaskan berkali-kali dalam pertemuan, kuliah atau berbicara dengan sahabat-sahabat supaya jangan kita terlajak untuk menghukum seseorang dengan hukuman yang melibatkan syariat Allah. Termasuk kepada musuh-musuh dalam politik kepartaian. Tidak ada sebab juga untuk kita membalas serangan dan tuduhan sebagaimana kita menerima tohmahan dan fitnah dari musuh politik.

 

Sering saya ingatkan sahabat-sahabat, supaya menjaga lidah daripada membuat tuduhan zina atau liwat kepada musuh politik kita, kerana kita tidak ada asas dari sudut agama untuk menjustifikasikan tuduhan. Maklumat yang berupa "hear say" tidak membenarkan kita untuk membuat tuduhan yang melibatkan hukum syariat. Serangan kepada musuh politik juga mesti dipelihara adap dan batasan agama, supaya kita tidak melanggar tanpa alasan yang syarie. Kerana menuduh seorang muslim baik lelaki atau wanita yang terkenal suci melakukan zina dan liwat amat berat disisi agama.

 

Kesimpulan dari topik perbincangan ini, saya ingin mengajak semua muslimin dan muslimat untuk kembali ke jalan yang telah ditetapkan syariat. Sekiranya begitu kehendak syariat maka begitulah kata kita. Walaupun di hadapan kita ada musuh yang sepatutnya diganyang semahunya, namun syariat tidak membenarkan, maka patuhilah syariat. Bersifat tawaduk dan menghormati syariat mengatasi segala-galanya mudah-mudahan hidup kita penuh keberkatan dan mendapat keredhoan illahi.

 
Disediakan oleh :
Ahmad bin Kasim,
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (PKR)
Ahli Parlimen Kawasan Kuala Kedah.

Jemputan Media Untuk Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Ketiga

Posted: 11 Jan 2012 07:42 AM PST

JEMPUTAN MEDIA
Tarikh: 11hb. Januari 2012
 
 
JEMPUTAN MEDIA UNTUK MEMBUAT LIPUTAN SEPANJANG KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT KALI KETIGA
 
Merujuk kepada perkara di atas, dimaklumkan bahawa Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Ketiga akan diadakan seperti berikut:
 
Tarikh              :   14 Januari 2012 (Sabtu)
Masa               :   8:00 am – 5:00 pm (sila rujuk Tentatif yang dilampirkan)
Tempat            :   Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Suka Menanti
Alor Setar, Kedah

 
Konvensyen kali ini akan bermula pada malam sebelumnya dengan acara Mega Ceramah di 14 Parlimen di seluruh negeri Kedah iaitu pada Jumaat, 13 Jan 2012.
 
Setelah acara di sebelah siang Sabtu, 14 Jan 2012 tamat, Rapat Rakyat Perdana akan dianjurkan pada sebelah malam.

Hentikan Budaya Fitnah

Posted: 11 Jan 2012 01:24 AM PST

Kami difahamkan kononnya telah tersebar “Amanat Dato Seri Anwar Ibrahim Menuju Putrajaya”.Kami nafi bahawa Amanat itu dari Dato Seri Anwar Ibrahim atau dari pejabat Dato Seri Anwar Ibrahim.

Kami menggesa agar segera dihentikan budaya fitnah yang semakin berleluasa. Sewajarnya pembebasan Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi iktibar kepada penyebar fitnah bahawa sesungguhnya yang batil pasti tewas dan yang benar pasti menang.

Eekmal Ahmad
Penyelaras Media
Pejabat Dato Seri Anwar Ibrahim

KEADILAN Tampil Dengan Bukti Salahguna Wang Zakat MAIWP

Posted: 11 Jan 2012 12:35 AM PST

Saya pada hari ini tampil dengan bukti-bukti dakwaan salahguna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharum selama ini.

Pertama ialah set dokumen daripada MAIWP sendiri termasuk baucer bayaran bernombor 2010B04112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150.00. Baucer tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat.

Kedua merupakan surat daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Dato' Setia Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara Datuk Seri Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat (iaitu bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan RM32,150 yang tercatat di dalam baucer tersebut) digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

Jamil Khir berkali-kali menegaskan bahawa MAIWP mempunyai peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM700,000 bagi menampung pelbagai pembayaran termasuk kos guaman.

Namun Laporan Ketua Audit menyebut bahawa MAIWP hanya memulangkan wang tersebut pada Disember 2010, kira-kira enam bulan selepas peruntukan tersebut disalurkan ke dalam MAIWP. Jamil langsung tidak menyebut tentang hal ini.

Saya juga ingin membetulkan laporan Utusan pada 4 Januari lalu yang memetik Bahagian Hal Ehwal Korporat Jabatan Audit Negara bahawa isu salahguna zakat ini tidak dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010. KEADILAN tidak pernah mendakwa demikian, sebaliknya kami merujuk kepada surat Ketua Audit Negara kepada Jawatankuasa Kira-Kira Negara seperti tertera.

KEADILAN memandang serius penyalahgunaan institusi penting umat Islam ini. Saya akan membuat laporan polis esok 11 pagi di Balai Polis Dang Wangi berkaitan dengan kes salahguna wang zakat ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT

Veteran Umno: Pembebasan Anwar Saja Tak Cukup

Posted: 11 Jan 2012 12:25 AM PST

Ketika pemimpin BN bermegah kononnya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat II membuktikan badan kehakiman adil dan bebas, seorang bekas menteri dan veteran Umno berpandangan sebaliknya.

Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir yang kini timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) berkata keputusan itu “tidak cukup” untuk menepis persepsi umum yang sering mempersoalkan kebebasan institusi badan kehakiman dari pengaruh kerajaan.

“Ini tidak cukup… Saya harap ia permulaan yang baik, peluang keemasan untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya supaya kita semua dapat tidur nyenyak,” katanya yang juga bekas menteri pelancongan dan penerangan.

Kadir menjawab soalan berhubung laporan media arus perdana termasuk kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkata keputusan mahkamah yang memutuskan Anwar tidak bersalah itu membersihkan kerajaan daripada tuduhan campur tangan dan konspirasi politik.

“Bersejarah tetapi mengejutkan”

Sambil menyifatkan keputusan itu sebagai “bersejarah tetapi mengejutkan”, Kadir menegaskan ia peluang terbaik bagi memulihkan imej badan kehakiman termasuk pelantikan Ketua Hakim Tan Sri Ariffin Zakaria dilihat berpeluang untuk memperbetulkan persepsi itu.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Kadir berkata Ariffin tidak pernah terbabit dengan parti politik dan seorang yang 'takut' kepada Allah berbanding penyandang sebelum ini Tun Zaki Azmi (kiri) yang pernah menjadi penasihat undang-undang Umno.

Sebelum keputusan diumumkan, Kadir berkata beliau pergi ke kediaman Anwar dan menemaninya sehingga ke mahkamah sebagai tanda rasa simpati dan memberi sokongan kepada bekas timbalan perdana menteri itu.

Katanya lagi, sebelum keputusan diumumkan, beliau percaya 70 peratus Anwar yang juga ketua pembangkang akan dihumbankan ke penjara.

Kawan setia

“Saya adalah kawan yang setia… Dr Mahathir membuatkan saya rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami memang berkawan rapat dan saya betul-betul kasihan kepadanya dengan apa yang berlaku kepadanya… saya simpati kepadanya dan kali ini saya benar-benar bersimpati dengannya,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menyokong Anwar dari sudut politik, Kadir dilihat tidak dapat menyembunyikan pujiannya terhadap tokoh politik kelahiran Kampung Cherok Tok Kun, Pulau Pinang itu.

“Saya rasa beliau mempunyai bakat kepimpinan yang hebat. Beliau boleh menjadi pemimpin negara yang hebat. Dan (sikap) beliau yang natural (semulajadi).

“Apabila beliau masuk ke kampung, apabila beliau bercakap dengan orang kampung, beliau nampak natural. Beliau tidak perlu tunjuk lagaknya. Main drama kata orang,” katanya.

Berjiwa rakyat

Menganggap Anwar adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat seperti pengasas negara sebelum ini, Kadir menambah kampung Anwar berdekatan dengan kampungnya – di Kulim Bandar Baharu – yang terletak kira-kira 10 kilometer.

“Jadi beliau adalah pemimpin berjiwa kampung. Sebab itu jika beliau berpeluang menjadi perdana menteri, beliau menjadi perdana menteri yang hebat di mata rakyat, (sikap) semulajadinya (yang suka) mengambil berat tentang rakyat,” katanya yang mengelak untuk membandingkan kepimpinan Anwar dan Najib.

Kadir, 73, adalah anak sulung kepada 12 adik beradik. Bapanya merupakan pengasas kepada Umno di Kulim Bandar Baharu.

Beliau aktif dalam politik sejak tahun 1970-an di bawah pentadbiran perdana menteri kedua Tun Abdul Razak. Pernah menjawat jawatan menteri kebudayaan, kesenian dan pelancongan pada tahun 1999 di bawah kepemimpinan Tun Mahathir Mohamad.

Kemudian, menyandang jawatan sebagai menteri penerangan di bawah pimpinan perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kini Kadir selaku bendahari Umno bahagian Kulim-Bandar Baharu – bahagian yang diwakili sejak lima penggal sebelum menyerahkan kepada adiknya Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pada pilihan raya umym 2008.

Bagaimanapun, Abdul Aziz tewas kepada wakil PKR Datuk Zulkifli Noordin sebelum beliau mengisytihar diri keluar parti dan menjadi ahli parlimen bebas.

Insiden Letupan Bom: PERKASA Dicabar Nafi Penglibatan, Utusan Didesak Dedah Identiti Sumber Polis

Posted: 11 Jan 2012 12:17 AM PST

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengecam sekeras-kerasnya laporan berita bertajuk 'Bom milik peserta perhimpunan' yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada hari ini (11 Januari 2012) yang mendakwa — kononnya dengan memetik 'sumber polis' — bahawa tiga butir bom buatan sendiri yang meletup berhampiran Kompleks Mahkamah Jalan Duta kelmarin adalah milik peserta perhimpunan Bebas Anwar 901. Laporan berita ini jelas bersifat jahat dan bertujuan untuk memburuk-burukkan imej penyokong Anwar Ibrahim. Berdasarkan pemantauan pihak AMK pada pagi tersebut, peserta perhimpunan hanya dibenarkan masuk ke kawasan kompleks mahkamah seawal jam 6.30 pagi dengan dikawal ketat oleh pihak polis. Pihak polis turut memeriksa beg setiap peserta perhimpunan yang masuk ke perkarangan kawasan sekitar kompleks mahkamah dan kemudiannya meneruskan kawalan sehingga perhimpunan bersurai.
 
AMK berpandangan bahawa insiden letupan bom ini adalah percubaan jahat pihak tertentu untuk mencemarkan imej polis kerana difahamkan bahawa bom tersebut telah diletakkan di bawah kon keselamatan pihak polis sendiri. Di samping itu, ianya juga bertujuan untuk memburukkan imej peserta perhimpunan yang jelas berjaya menurut semua arahan polis dan memberikan kerjasama penuh dalam memastikan perhimpunan tersebut berjalan dalam situasi aman dan selamat.
 
Kita semua sedia maklum bahawa penyokong-penyokong Saiful Bukhari Azlan yang dikatakan terdiri daripada beberapa orang ahli Perkasa turut berada berhampiran dengan lokasi di mana letupan bom tersebut berlaku. Sebelum daripada itu, Presiden Perkasa Dato' Ibrahim Ali turut membuat kenyataan kepada pihak media bahawa Perkasa akan turun untuk melakukan provokasi pada perhimpunan Bebas Anwar 901. Apakah wujud kemungkinan bahawa insiden letupan tersebut didalangi oleh ahli Perkasa?
 
Sehubungan dengan itu, AMK ingin mencabar Perkasa supaya menafikan sebarang penglibatan mereka dalam insiden letupan tersebut. AMK juga mendesak akhbar Utusan Malaysia supaya mendedahkan identiti 'sumber polis' yang dikatakan mendakwa bahawa tiga butir bom yang meletup kelmarin adalah milik peserta perhimpunan Bebas Anwar 901. Adalah cukup pelik kerana pihak polis sendiri masih belum mengumumkan hasil siasatan berhubung insiden tersebut tetapi akhbar Utusan Malaysia telah melaporkan 'hasil siasatan' mereka sendiri yang kemudiannya diolah menjadi berita fitnah dan propaganda jahat. Justeru, pihak AMK akan menulis surat rasmi kepada Ketua Polis Kuala Lumpur bagi memohon beliau mengumumkan hasil siasatan polis dan pihak yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut yang mana telah menyebabkan beberapa orang peserta perhimpunan mengalami kecederaan.
 

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Angkatan Muda KEADILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Program Semasa

Posted: 10 Jan 2012 11:45 PM PST