Sabtu, 4 Jun 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Petisyen Membantah Kelewatan Projek Hospital Shah Alam

Posted: 04 Jun 2011 01:45 AM PDT

SHAH ALAM 4 JUN - Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyeru orang ramai untuk menandatangani petisyen membantah kelewatan projek Hospital Shah Alam yang sehingga kini gagal disiapkan oleh pihak pemaju.

Orang ramai boleh menandatangai petisyen bantahan kelewatan itu melalui online di alamat seperti berikut: http://www.khalidsamad.com atau di  http://www.petisyen.com

Dalam petisyen bantahan itu menyatakan perasaan amat dukacita atas terbengkalainya projek pembinaan Hospital Shah Alam selama satu tahun tanpa adanya penyelesaian hingga ke hari ini.

Semenjak projek ini dihentikan pada Jun 2010, dimaklumkan bahawa ianya akan ditender kembali melalui proses tender terhad di mana kontraktor-kontraktor berwibawa sahaja akan dijemput dan projek ini akan dimulakan kembali paling lewat pada Mac 2011.

"Sekarang, kami dimaklumkan bahawa tender telah pun dipanggil dan sebut harga dari 6 kontraktor yang dijemput telahpun diterima tetapi tender berkenaan dibatalkan dan tender baru akan dipanggil. Ini dengan sendirinya bermakna bahawa projek Hospital Shah Alam akan terbengkalai untuk tempoh paling kurang 10 bulan lagi sebelum ianya dimulakan kembali," menurut petisyen bantahan itu.

Petisyen bantahan juga menyatakan pemanggilan tender baru akan menyaksikan Hospital ini paling awal disiapkan pada 2015 sedangkan ia sepatutnya siap pada 2011. Bagaimanakah projek yang sepatutnya mengambil masa 4 tahun boleh tergendala sehingga 8 tahun?.

Kelewatan ini bererti warga Shah Alam dinafikan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh pihak Kerajaan Pusat. Pada masa yang sama tapak projek dewasa ini dalam keadaan terbiar dan telah menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes.

"Kami ingin menyatakan bahawa terbengkalainya projek ini adalah bukti ketidakmampuan Menteri Kerja Raya. Beliau telah membenarkan perebutan kontrak di antara kroni serta lebih mengutamakan politik dari perkhidmatan kesihatan untuk rakyat," katanya.

Tambah petisyen bantahan itu, berterusannya keadaan ini tanpa adanya apa-apa tindakan dari Kerajaan Pusat akan bererti ianya suatu keadaan yang dipandang remeh oleh kerajaan Pusat atau ianya disengajakan sebagai suatu penderaan terhadap warga Shah Alam.

"Kami yang bertandatangan di bawah ingin menuntut supaya projek ini dimulakan kembali dengan kadar segera. Sekiranya gagal, Menteri Kerja Raya hendaklah meletak jawatan atau beliau dipecat sebagai Menteri Kerja Raya oleh Perdana Menteri," menurut petisyen bantahan itu lagi.

PETISYEN MEMBANTAH KELEWATAN PROJEK HOSPITAL SHAH ALAM
01 Jun 2011

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya, MALAYSIA

Y.A.B. Datuk Seri,

PETISYEN MEMBANTAH KELEWATAN PROJEK HOSPITAL SHAH ALAM

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk.

2. Kami yang bertandatangan di bawah, ingin merakamkan perasaan amat dukacita atas terbengkalainya projek pembinaan Hospital Shah Alam selama satu tahun tanpa adanya penyelesaian hingga ke hari ini.

3. Semenjak projek ini dihentikan pada Jun 2010, kami dimaklumkan bahawa ianya akan ditender kembali melalui proses tender terhad di mana kontraktor-kontraktor berwibawa sahaja akan dijemput dan projek ini akan dimulakan kembali paling lewat pada Mac 2011.

4. Sekarang, kami dimaklumkan bahawa tender telahpun dipanggil dan sebut harga dari 6 kontraktor yang dijemput telahpun diterima tetapi tender berkenaan dibatalkan dan tender baru akan dipanggil. Ini dengan sendirinya bermakna bahawa projek Hospital Shah Alam akan terbengkalai untuk tempoh paling kurang 10 bulan lagi sebelum ianya dimulakan kembali.

5. Pemanggilan tender baru akan menyaksikan Hospital ini paling awal disiapkan pada 2015 sedangkan ia sepatutnya siap pada 2011. Bagaimanakah projek yang sepatutnya mengambil masa 4 tahun boleh tergendala sehingga 8 tahun?.

6. Kelewatan ini bererti warga Shah Alam dinafikan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh pihak Kerajaan Pusat. Pada masa yang sama tapak projek dewasa ini dalam keadaan terbiar dan telah menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes.

7. Kami ingin menyatakan bahawa terbengkalainya projek ini adalah bukti ketidakmampuan Menteri Kerja Raya. Beliau telah membenarkan perebutan kontrak di antara kroni serta lebih mengutamakan politik dari perkhidmatan kesihatan untuk rakyat.

8. Berterusannya keadaan ini tanpa adanya apa-apa tindakan dari Kerajaan Pusat akan bererti ianya suatu keadaan yang dipandang remeh oleh kerajaan Pusat atau ianya disengajakan sebagai suatu penderaan terhadap warga Shah Alam.

9. Kami yang bertandatangan di bawah ingin menuntut supaya projek ini dimulakan kembali dengan kadar segera. Sekiranya gagal, Menteri Kerja Raya hendaklah meletak jawatan atau beliau dipecat sebagai Menteri Kerja Raya oleh Perdana Menteri.

SILA TANDATANGAN PETISYEN MEMBANTAH KELEWATAN PROJEK HOSPITAL SHAH ALAM SECARA ONLINE DI PETISYEN.COM

Selangor Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik

Posted: 04 Jun 2011 01:00 AM PDT

SHAH ALAM 4 JUN : Kerajaan Selangor akan membina lebih banyak rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah di negeri ini sejajar dengan komitmen kerajaan Pakatan Rakyat untuk memberi keselesaan  hidup kepada rakyat.

Menteri Besar, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor sedang mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai untuk pembinaan rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah sendiri.

Khalid berkata, setakat ini kerajaan negeri telah mengenal pasti enam lokasi untuk pembinaan perumahan mampu milik iaitu di Bangi, Antara Gapi dan Kota Puteri di Kuala Selangor, Taman Sains Selangor 2, Bernam Jaya dan Gombak.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pecah tanah projek perumahan mampu milik di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, semalam.

Sekurang- kurangnya sebanyak 124 unit pangsapuri mampu milik berharga kurang RM100,000 akan dibina atas tapak seluas empat ekar yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan PKNS akan diarah untuk memastikan hanya mereka yang layak sahaja  berpeluang memiliki rumah ini.

"Kerajaan negeri tidak mahu kelemahan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu berulang apabila orang yang berkemampuan diberi kelonggaran untuk membeli rumah murah dan menyewakan pula kepada orang lain," ujar Khalid.

Keutamaan untuk memiliki rumah ini akan diberikan kepada keluarga berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, ibu tunggal dan keluarga yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Pangsapuri mampu milik ini yang berkeluasan antara 750 hingga 850 meter kaki persegi adalah antara pembaharuan yang akan dilaksanakan kerajaan negeri secara berperingkat-peringkat dan ia terkandung dalam Buku Jingga yang menjadi manifesto Pakatan Rakyat.

Sumber: TVSNEWS

Rumah Panjang Dirobohkan, Selangor Rampas Tanah PJS1

Posted: 04 Jun 2011 12:30 AM PDT

Kurang sehari selepas rundingan dengan kerajaan negeri Selangor, pemaju Peter's Brickworks Sdn Bhd semalam menyerbu kawasan PJS1 dan memusnahkan dua rumah panjang yang dihuni oleh tiga keluarga.

Pemaju yang dilengkapi dua jentolak dan diiringi sekumpulan polis tiba pada jam 2.30 petang semalam dan terus mengarahkan penduduk supaya mengosongkan rumah mereka dengan segera.

Di sebalik rintihan dan rayuan penduduk, pemaju dengan disaksikan pihak polis terus merobohkan rumah pertama yang dihuni oleh sebuah keluarga golongan kurang upaya pada jam 4 petang.

Hujan lebat juga gagal menghalang pihak pemaju bertindak meranapkan rumah kedua sejam kemudian.

Penduduk hanya diberikan secukup masa untuk mengeluarkan barangan mereka sementara pekerja pemaju itu terus memusnahkan tingkap rumah mereka.

Kerja-kerja meroboh sebelum ini berjaya ditangguhkan selepas ahli majlis MBPJ Latheefa Koya campur tangan dengan mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi.


Perintah penangguhan itu bagi membolehkan kerajaan negeri Selangor berunding dengan pemaju dan MBPJ merundingkan beberapa permintaan bagi pihak penduduk.

Permintaan itu termasuk melupuskan sewa PPR di mana penduduk akan bepindah serta faedah bank ditangguhkan sehingga unit rumah mereka siap.

Namun, sehingga insiden merobohkan rumah itu semalam, penduduk berkata mereka tidak menerima sebarang surat berhubung rayuan mereka, mahupun unit PPR yang dijanjikan itu.

"Kami tidak diberi apa-apa. Malah, kami tak tahu mahu ke mana selepas ini," kata Mahalingam Veeriah, penduduk yang kurang upaya.

Seorang lagi penduk Pusparani Balakrishnan berkata mereka hanya meminta Peter's Brickworks untuk menangguhkan kerja-kerja meroboh hingga Isnin ini bagi membolehkan mereka memindahkan barangan mereka.

"Tetapi, mereka serbu rumah kami dengan sekumpulan kongsi gelap dan secara paksa menghalau kami keluar," katanya sambil menambah keluarganya turut diugut.

Sementara itu, dalam reaksi berhubung kejadian berkenaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan untuk merampas tanah seluas 11 ekar di PJS1 bagi memastikan rumah mampu milik dan sekolah dapat dibina di tanah berkenaan.

Khalid berkata setiausaha kerajaan negeri telah diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling bagi mengeluarkan notis 7A mengikut Seksyen 128 Kanun Tanah Negara kepada pemilik-pemilik tanah itu: Lee Man Construction Company Sdn Bhd dan Kembar Empat Sdn Bhd.

"Kerajaan Negeri kesal kerana pemilik tanah telah gagal menyokong kerajaan negeri dalam mencari penyelesaian menyeluruh untuk menyediakan rumah mampu milik walaupun mereka telah mendapat ganjaran yang tinggi melalui pemilikan tanah.

"Mengikut rekod, tanah itu telah diberi kerajaan negeri pada tahun 80-an kepada dua syarikat berkenaan dengan harga RM100 seekar untuk tujuan pembangunan bagi menyelesaikan masalah setinggan di kawasan tersebut," kata Khalid dalam satu kenyataan akhbar lewat petang semalam.

Menurut beliau, kerajaan Selangor akan juga berbincang dengan Bank Negara bagi mendapatkan penjelasan berhubung pemilihan pemaju-pemaju yang gagal membina rumah mampu milik kepada rakyat setelah diberikan tanah.

Tanah di PJS1 itu telah diberikan kepada Syarikat Peter Brickworks Sdn Bhd telah dipilih oleh Bank Negara Malaysia untuk dimajukan.

"Kita risau pemaju sebegini yang kurang bekerjasama untuk kepentingan rakyat. Sebab itu kita mahu berbincang dengan Bank Negara tentang kualiti pemilihan pemaju," kata Khalid.


Sumber: Malaysiakini

Kerajaan Negeri Arah SUK Selangor "Ambil Semula Tanah" PJS1

Posted: 03 Jun 2011 03:15 AM PDT

1. YAB Tan Sri Dato' Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim, Menteri Besar Selangor mengarahkan YB Datuk Mohd Khusrin Munawi,  Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk "mengambil semula tanah" di Projek Pangsapuri PJS1 serta-merta ekoran keengganan pemaju Peter's Brickworks Sdn  Bhd untuk mematuhi arahan Kerajaan Negeri untuk "stop work order" (pembekuan kerja pembangunan) di atas projek tersebut.

2. Arahan "stop work order" telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 30 Mei 2011 tetapi sebaliknya pada keesokan harinya Pemaju bersama Bailiff mahkamah berserta dengan 20 orang anggota polis bertegas untuk melaksanakan proses pengusiran dan perobohan rumah 2 orang penghuni rumah panjang tersebut.

3. Kerajaan Negeri berpendapat bahawa polisi 'sifar setinggan' yang dilaksanakan secara tergesa-gesa oleh kerajaan BN sebelum ini gagal menyelesaikan permasalahan setinggan secara holistik.

4. Kerajaan Negeri juga berpendapat tindakan Pemaju melaksanakan tindakan perobohan 2 unit rumah panjang tersebut pada HARI INI  jelas menunjukkan keangkuhan Pemaju melanggar arahan Kerajaan Negeri.

5. YB Setiausaha Kerajaan Negeri seterusnya melalui Pejabat Daerah dan Tanah Petaling akan menyiapkan dokumen bagi pengambilan semula tanah tersebut seperti yang diperuntukan oleh Kanun Tanah Negara.

YB Dr. Xavier Jayakumar                                              
Ahli Exco Kerajaan Negeri  Selangor
Tarikh : 3 Jun 2011, Jumaat, 6.15 petang

Haniza Talha - Landscaping New Politics

Haniza Talha - Landscaping New Politics


Kerajaan PR Selangor bantu SAR,SJKT dan SJKC

Posted: 04 Jun 2011 09:07 PM PDT

Mengumumkan sumbangan bagi kutipan dana membina bangunan baru SJKC Yuk Chyun


Majlis Makan Malam SJKC Yuk Chyun PJS 1

PETALING JAYA 14 Mei – Menghadiri Majlis Makan Malam kutipan dana bagi SJKC Yuk Chyun. Sumbangan ADUN sebanyak RM 2,000 kepada tabung sekolah. Setiap tahun sebanyak RM6juta diperuntukkan kepada SJKC oleh kerajaan negeri Selangor. Yuk Chyun juga telah menerima RM20,000 sebelum ini untuk menaiktaraf perpustakaan sekolah.

Sebanyak 769 Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapat bantuan pendidikan daripada kerajaan negeri Selangor berjumlah RM32 juta bagi tahun 2009 dan 2010 dalam usaha memperkasa pendidikan di negeri ini sebagai Hub Pendidikan dan Hub Ilmuan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini berkata jumlah tersebut adalah daripada jumlah keseluruhan sebanyak 820 permohonan yang dibuat bagi 2009 dan 2010.

Katanya, daripada 769 permohonan itu sebanyak 320 sekolah bagi tahun 2009 manakala 449 sekolah untuk 2010.

Beliau menambah, pecahan mengikut sekolah adalah 160 buah bagi SAR, 77 (SJKC), 97 (SJKT) bagi 2009 manakala bagi 2010 adalah sebanyak 252 (SAR), 100 (SJKC) dan 97 (SJKT).

"Jumlah permohonan pada 2010 meningkat berbanding 2009 iaitu sebanyak 134 permohonan dan jumlah permohonan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 129 permohonan.


Elemen insani perlu dalam rekabentuk Pangsapuri Kos Rendah

Posted: 04 Jun 2011 08:40 PM PDT

YB DS Anwar mengesyorkan model Maju Jaya digunakan untuk flat kos rendah lain


Penghuni flat sangat berterima kasih kerana terpilih untuk program kerajaan negeri

PETALING JAYA 14 Mei – Kerajaan Selangor hari ini melancarkan program pemulihan bandar untuk menaik taraf penginapan kos rendah yang dibina dalam keadaan serba kekurangan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional yang lalu.

Pengubahsuaian itu akan membabitkan penerapan ciri-ciri insani termasuk kawasan permainan kanak-kanak, ruang istirehat bagi penghuni dengan reka bentuk kediaman bertingkat yang moden dan mesra pengguna, kata Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bangunan pangsapuri terbabit juga akan dicat semula dengan warna yang dipersetujui bersama oleh penduduk terbabit, tambah beliau, ketika melancarkan projek printis program itu di Pangsapuri Taman Maju Jaya, Petaling Jaya Selatan.

Projek itu akan diperluaskan ke seluruh negara jika Pakatan Rakyat diberi mandat menubuhkan kerajaan persekutuan pada pilihanraya umum akan datang, tambah Anwar.

"Tan Sri Khalid Ibrahim mengungkap istilah pembangunan ini dengan cukup tepat iaitu 'Merakyatkan Ekonomi' kalau rakyat tidak dapat pembangunan sebutlah pembangunan berbillion sekali pun, tetapi kita sebagai rakyat berpuluh tahun pun masih seperti ini," katanya.

Anwar menegaskan bahawa program pemulihan dan pembaharuan kawasan perumahan bandar amat penting dalam menjana ekonomi negeri sekaligus meningkatkan kualiti hidup penduduk menerusi pengurusan aset yang lebih sistematik dan telus untuk kebajikan rakyat.

Projek printis pembaharuan Pangsapuri Taman Maju Jaya dibiayai sepenuh oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dan pihak swasta.

Sektor swasta turut menyumbang khidmat perunding dan reka bentuk pemuliharaan secara percuma sebagai tanggungjawab sosial mereka.

Anwar berkata kejayaan projek itu mampu mengubah landskap pusat-pusat bandar jika dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

"Taman Maju Jaya, Projek Perintis ini adalah projek terpenting untuk Selangor, kemudian kalau kita perintah Putrajaya saya akan ambil projek ini sebagai projek perintis di seluruh Malaysia," katanya.

Hadir sama, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, Ahli Majlis MBPJ Lateefah Koya.

Anwar bersama Adun dan Ahli Parlimen yang hadir kemudian mengecat rumah pangsapuri untuk menandakan pelancaran program itu.

Lebih 500 penduduk setempat hadir di majlis itu.

Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata projek itu diilhamkan apabila melihat kerajaan terdahulu membina pangsapuri yang tidak dilengkapi elemen insani sehingga mencetuskan pelbagai masalah sosial dan jenayah.

Pembinaan pangsapuri ketika itu tidak mengambil kira realiti kehidupan berkeluarga besar tetapi dibangunkan hanya untuk mengisi program sifar setinggan yang akhirnya juga gagal dicapai, kata beliau.

"Flat kos rendah yang kebannyakannya didirikan dalam kempen sifar setinggan yang dilancarkan oleh pentadbiran yang lepas. Oleh kerana projek tersebut tergesa-gesa untuk segerakan pelaksanaan kempen itu, maka banyak masalah sosial dan perumahan yang telah timbul dan kesannya berkekalan hingga hari ini.

"Kita akan bersihkan dan baik pulih keadaan ini di seraya Selangor dan bukannya di Taman Medan sahaja," kata beliau

——————————————————————————–


Ceriakan Kawasan dengan ganti Tong Sampah

Posted: 04 Jun 2011 05:58 PM PDT

Penduduk telah menunggu ditukar tong sampah lebih 17 tahun!


ADUN Tmn Medan sedang menjelaskan tukar tong sampah termasuk program Ceriakan Kawasan


Tong sampah untuk diagihkan kepada penduduk Tmn Medan


Jelajah Selangor Tawan Malaysia – JELAS

Posted: 04 Jun 2011 05:13 PM PDT

Ceramah JELAS di Bukit Antarabangsa

Penerangan di Kg Melayu Tambahan Subang

PETALING JAYA: KEADILAN Selangor telah melancarkan siri Jelajah Selangor Tawan Malaysia (Jelas) bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai situasi politik semasa dan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, program jelajah di seluruh negeri itu merupakan inisiatif untuk memulakan gerak kerja bagi terus memastikan Selangor kekal di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Jelajah Selangor tawan Malaysia ini adalah siri penerangan dan satu permulaan jelajah yang dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama bermula pada 7 Mei dan berakhir pada 5 Jun dan fasa kedua bermula pada 7 Jun hingga 5 Julai," ujarnya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN petang tadi.

Menurutnya, Program Jelas yang melibatkan seluruh cabang di Selangor itu diadakan dengan kerjasama sayap KEADILAN iaitu Angkatan Muda, Wanita dan Srikandi.

"Ada tiga penerangan khusus yang akan kita berikan, Pertama berkenaan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua mengenai perancangan dan hala tuju kerajaan Selangor untuk memperkasa kerajaan negeri Selangor dan menggerak langkah ke Putrajaya dan ketiga penerangan mengenai isu-isu semasa," ujarnya yang juga Adun Seri Muda.

Siri Jelajah itu akan dilancar di Stadium Bangi pada 14 Mei yang turut melibatkan program solat hajat dan pidato khas Dari Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat.

Tambah beliau, jelajah selama 27 hari dan 27 malam itu akan menyaksikan terdapat kawasan yang mengadakan tiga atau empat program sekaligus, terutama di kawasan yang besar dan padat.

Ia katanya, bagi membangkitkan suasana dan 'mood' pilihan raya.

"Kita berharap dengan siri seluruh agenda merakyatkan ekonomi Selengor kita akan bawa bersama. Setakat ini 17 agenda Merakyat Ekonomi yang kita telah laksanakan tetapi tidak semua rakyat tahu. Dengan sesi ceramah ini, kita akan memberikan penerangan apa yang telah kerajaan negeri lakukan sepanjang tempoh tiga tahun mentadbir Selangor," ujarnya.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, program jelajah Selangor akan menjadi satu platform untuk meneyerang kembali Umno-BN yang mengangkat politik lucah bagi menghentam Pakatan Rakyat.

"Kita lihat satu keadaan di mana BN Umno amat terdesak apabila membawa agenda lucah dan politik kotor. Kita akan gunakan program ini untuk memusingkan dan memastikan senjata makan tuan. Kita akan gunakan siri jelajah ini untuk menikam Umno-BN dengan politik kotor mereka.

Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan Selangor, Haniza Talha pula berkata, pihaknya memberi tumpuan khusus kepada golongan wanita yang membentuk hampir 50 peratus pengundi di Selangor.

Selain menjelaskan program Merakyat Ekonomi Selangor, siri jelajah itu juga memberi peluang kepada rakyat mendengar penjelasan dari Pakatan berhubung pelbagai isu.

"Saya lihat Isu berkaitan video juga memberi kesan kepada pengundi wanita. Kita akan turun untuk memberikan penjelasan yang sebenarnya" ujar beliau.