Jumaat, 22 April 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Rakyat Perlu Internet, Bukan E-mel Percuma

Posted: 21 Apr 2011 02:00 AM PDT

SHAH ALAM, 21 April: Kerajaan Negeri Selangor menyedari akan peranan internet yang banyak menyumbang kepada perluasan ilmu pengetahuan terhadap masyarakat.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan negeri, Rodziah Ismail berkata projek-projek internet percuma yang sedang giat dijalankan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor adalah sebahagian daripada manifesto Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat yang mengutamakan kehendak dan kepentingan rakyat.

"Berhubung Projek Emel 1Malaysia yang dilancarkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan bagi menyediakan akaun email kepada semua warga Malaysia untuk urusan rasmi dengan kerajaan, saya ingin menegaskan bahawa sesuatu yang diinginkan oleh rakyat sebenarnya bukanlah emel percuma tetapi kemudahan internet percuma," ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Dengan pemberian itu, tanya beliau bagaimana rakyat ingin menggunakan emel percuma sekiranya perkara asas untuk menggunakan emel iaitu internet tidak disediakan.


Katanya, kerajaan Malaysia seolah-olah tidak tahu apa yang lebih penting untuk rakyat dan tidak tahu apa keperluan dan kehendak rakyat di bawah.

Inim tambahnya sekali lagi menunjukkan projek Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional dibuat secara tergesa-gesa, tidak teliti dan tidak dirancang rapi.

Menurutnya lagi, syarikat Tricubes Berhad pula dilaporkan mengalami masalah kewangan dan berstatus GN3 di Bursa Malaysia.

"Bagaimana syarikat yang mempunyai masalah kewangan ini dapat menjayakan projek ini?" soalnya.

Tambahnya, alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa projek itu tidak menggunakan dana awam adalah sesuatu yang tidak munasabah dan langsung tidak masuk akal.

"Justeru, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar bangkit mendesak Kerajaan Malaysia menghentikan projek Emel 1Malaysia ini, sebaliknya mendesak kerajaan Malaysia memberikan kemudahan internet percuma seperti mana yang dilaksanakan Kerajaan Pakatan Rakyat sekiranya benar Kerajaan Malaysia mendahulukan rakyat.


Sumber: Harakah Daily

Selangor Jimat RM20 Juta Kos Pembersihan

Posted: 20 Apr 2011 03:00 AM PDT

SHAH ALAM 20 APRIL: Keputusan Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih tugas pembersihan Alam Flora Sdn Bhd, mampu menjimatkan perbelanjaan kewangan negeri sehingga RM20 juta setahun dalam sektor itu.

Usaha ini sekaligus memberi sepenuhnya kuasa kepada kerajaan negeri untuk memastikan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini, Khalid berkata, kerajaan Selangor sebelum ini perlu membayar caj pengurusan sebanyak 10 peratus kepada Alam Flora.

Oleh yang demikian, Khalid menganggarkan kurang daripada RM200 juta akan digunakan bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan tersebut berbanding RM400 juta 
sebelum ini.


"Jadi kiraan awal mendapati Alam Flora mengenakan caj pengurusan sebanyak 10 peratus. Jadi kalau caj ini tidak kita bayar kepada Alam Flora, jadi dari awal lagi kita sudah jimat RM20 juta," jelas beliau.

Lima pihak berkuasa tempatan (PBT) dipertanggungjawabkan untuk memastikan kerja-kerja pemotongan rumput dan pembersihan longkang di kawasan kediaman sekitar Selangor akan dikendalikan dengan lebih baik.

Katanya, kerja-kerja pembersihan oleh Alam Flora sebelum ini mendapat reaksi negatif daripada penduduk setempat berikutan projek yang diperoleh dipajakkan 
kepada pihak yang ketiga. 

PBT yang dimaksudkan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Manakala kelima-lima PBT tersebut akan membantu Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MHDS) yang mempunyai sumber kewangan 
terhad.

Sementara itu Khalid berkata, walaupun PBT yang ditugaskan tidak mempunyai kelengkapan secukupnya pada peringkat awal, namun kerajaan negeri telah mengarahkan penubuhan 'task force' meningkatkan keberkesanan pengurusan tersebut.

Walaubagaimana pun Khalid menjelaskan, Alam Flora tetap akan mengendalikan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal di negeri Selangor selain ianya tidak bercanggah dengan perjanjian kontrak bersama Alam Flora.

"Kita membuat keputusan untuk menerima Alam Flora mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan kita akan menjalankan kerja pembersihan di mana ianya sebahagian daripada hak PBT," tambahnya lagi.

Sumber: TVSNEWS

Selangor Tingkat Keluasan Hutan Simpan Kekal Pastikan Lestari Alam Terjamin

Posted: 20 Apr 2011 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 20 April - Kerajaan Selangor menetapkan dasar untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada guna tanah negeri sebagai Hutan Simpan dalam usaha mengekalkan lestari alam dan memastikan keseimbangan alam terus terjamin di masa hadapan.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar,  Elizabeth Wong berkata, menerusi pewartaan baru, beberapa Hutan Simpan Kekal (HSK) sejak tahun 2008, keluasan HSK ditingkatkan daripada 30.5 peratus kepada 31.5 peratus dengan melibatkan tambahan keluasan HSK kira-kira 6,500 hektar.

Bagaimanapun kerajaan negeri bercadang meletakkan sasaran untuk meningkatkan peratusan keluasan ini kepada sekurang-kurangnya 35-40 peratus daripada keluasan negeri.

Menurut Elizabeth perkara ini boleh dilaksana sekiranya rakyat mempunyai semangat dan kesedaran untuk memelhara hutan.


"Dan salah satu kawasan yang diwartakan  sejak ambil alih pimpinan negeri ialah untuk mewartakan  semula Hutan Simpan Kota Damansara  pada 18 Februari 2010 dan kerajaan negeri juga sedar bahawa  kita memang ada kekangan pembangunan di kawasan hutan ini serta mendapat bantahan  daipada komuniti melalui  beberapa persatuan seperti  Persatuan Penduduk, Badan Bukan Kerajaan  supaya terus mengekalkan hutan ini," katanya.

Elizabeth berkata demikian dalam ucapan pada majlis penutup Ekspedisi Saintifik Biodiversiti Hutan Simpan Kota Damansara sempena sambutan Hari Perhutanan Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2011 di Sungai  Buloh  hari ini.

"Untuk mengambil balik hutan ini , apabila kita mengambil alih kerajaan negeri Selangor  merupakan proses yang panjang. Bukan  satu proses yang senang kerana  pada masa itu tanah sudah diberimilik.  Apa yang telah berlaku ialah nasib baik ia milik GLC-GLC kerajaan negeri Selangor.Dengan itu kita dapat berbincang dengan GLC-GLC  tersebut dan kita mendesak untuk pulangkan kembali kepada kerajaan negeri Selangor," ujarnya lagi.

Tambahnya, Dewan Negeri Selangor pada hujung bulan lalu telah meluluskan pindaan ke atas Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara, di mana pendengaran awam (public enquiry) menjadi satu kemestian bagi menentukan sama ada sesuatu kawasan HSK boleh diwarta keluar atau sebaliknya.

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah meningkatkan aktiviti pengutkuasaan ke atas kegiatan pembalakan haram.

Hasil  penguatkuasaan itu lapan pembalak haram didakwa dan dipenjarakan dalam lima kes berasingan pada 2010, disamping menggenakan denda maksima awal tahun ini menyebabkan kegiatan haram ini semakin lumpuh.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pindaan ke atas perundangan Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1988 padaa tahun lalu. Ia mengenakan hukuman dan denda lebih beat kepada pekilang-pekilang industri berasaskan kayu dengan denda maksima RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Disamping itu katanya, Kerajaan Negeri tahun ini akan mewartakan Kaedah-Kaedah Hutan Tadahan Air bagi memperkasakan pengurusan kawasan-kawasan hutan tadahan air yang berada dalam  HSK bagi menjamin perkhidmatan berterusan pembekalan air Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji mekanisme sesuai seperti REDD iaitu (Reduced Emmission from Deforestration and Forest Degradation) bagi  menjana pendapatan menerusi perniagaan karbon di mana Tabung Amanah akan  ditubuhkan bagi membolehkan negaa-negara maju dan pihak-pijak lain yang berminat membayar kepada Kerajaan Negeri di atas pemeliharaan HSK dalam memerangi masalah perubahan iklim.

Menurut Elizabeth pendapatan ini akan digunakan bagi menampung kos pemuliharaan HSK yang menjangkau RM3 juta setiap tahun.

Ekspedisi Saintifik Biodiveriti Hutan Simpan Kota Damansara dijayakan oleh lebih 200 peserta membabitkan golongan professional dan pelajar membabitkan antara lain beberapa universiti   dan agensi-agensi kerajaan.

Ekspedisi  itu antara lain cuba mengenalpasti flora dan fauna, burung-burung, binatang dan serangga yang  terdapat di dalam hutan simpan itu untuk terus dipulihara.

Polisi PR Selangor Disenangi Kakitangan Kerajaan

Posted: 19 Apr 2011 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 19 April : Kakitangan profesional kerajaan negeri Selangor kini mampu membandingkan keberkesanan polisi pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional (BN) terdahulu menurut Exco Kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Katannya, kerajaan Selangor menggunakan pendekatan dengan membuka ruang perkongsian idea bersama-sama kakitangan profesional untuk mencongak perubahan yang boleh dikemukakan di peringkat akar umbi.

Perkara tersebut sekaligus mampu meningkatkan produktiviti kakitangan kerajaan seraya merapatkan jurang antara wakil rakyat dan masyarakat Selangor.

"Kakitangan kerajaan telah menampakkan perbezaan cara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional memerintah negeri Selangor. Kakitangan kerajaan ini adalah kumpulan profesional yang telah diberi latihan. Mereka akan membawa cadangan bagaimana kita mahu majukan dan bawa pembangunan di dalam kawasan masing-masing," ujar beliau.


Bercakap dalam segmen Bersama Pemimpin di Radio Web Selangor , Dr Xavier mengambarkan bahawa kesepakatan yang terjalin di antara wakil rakyat, kakitangan profesional dan syarikat swasta merupakan medium penting bagi menjana pertumbuhan sosio-ekonomi di negeri itu.

Jelasnya, sumber kewangan terhad perlu dikawal selia dengan baik untuk mengelakkan pembaziran dana kerajaan negeri.

"Ketiga-tiga ini akan bekerjasama dan kita akan bersama-sama bawa pembangunan yang istimewa kepada negeri Selangor di mana semua orang dalam negeri Selangor akan mendapat manfaat tersebut," kata Dr Xavier.

Tambahnya lagi, Akta Kebebasan Maklumat (FOI) yang baru diluluskan pada sidang Dewan Negeri Selangor yang lalu diungkap sebagai titik permulaan polisi ketelusan yang disenangi masyarakat di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.

Selain itu katanya, Program Merakyatkan Negeri Selangor (MES) kini masuk fasa kedua di mana program-program baru bakal diperkenalkan kepada masyarakat.

Tambah Dr Xavier, sejajar dengan pendekatan itu Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memulakan program-program mendekati hati rakyat termasuk sesi dialog bersama pemimpin.

"Sekarang MB mulakan program turun padang 9 daerah pada tiap-tiap hari Jumaat. Satu hari dia beri tumpuan pada satu kawasan. Dia akan turun dan lihat kawasan-kawasan. Kalau ada kawasan yang teruk dan tidak ada kerja langsung, dia akan terus suruh pegawai-pegawai berkenaan selesaikan masalah," kata beliau lagi. 

Sumber: Selangorkini

Dr Xavier Gesa Kerajaan Negeri Sarawak Baikpulih Asrama St. Peter, Saratok

Posted: 18 Apr 2011 03:30 AM PDT

Saratok, Sarawak, 18 April 2011 - Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor mengesa kerajaan Negeri Selangor untuk memperuntukan sejumlah dana yang mencukupi bagi membaikpulih atau bina baru  bangunan asrama (hostel) di Sekolah Rendah St. Peter, di pekan Saratok, Sarawak demi kepentingan murid-murid yang menetap di asrama tersebut.

Dr Xavier telah meluangkan masa melawat bangunan asarama tersebut semasa meninjau pusat pembuangan undi Dun N.34 Krian yang ditempatkan di sekolah tersebut.

Bangunan asrama tersebut diperbuat separuh batu di tingkat bawah dan menggunakan kayu dan berdindingkan papan di tingkat atasnya.

Dilaporkan ianya telah dibina kira-kira 30 tahun yang lalu. Ianya telah menjalani kerja-kerja baikpulih terakhir oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 2001.

Bangunan  tersebut berada dalam keadaan uzur dan daif dan menempatkan 30 orang murid-murid yang berusia antara 7-12 tahun dari keluarga miskin masyarakat Iban dari rumahpanjang-rumahpanjang  pendalaman di sekitar daerah tersebut.


Ujar Dr Xavier lagi, keadaan bangunan yang tidak selesa ini akan menjejaskan konsentrasi pembelajaran murid-murid yang menetap di asrama tersebut.

Tegas beliau lagi Kerajaan Sarawak sewajarnya prihatin terhadap pencapaian  pendidikan pelajar- pelajar tempatan lebih-lebih lagi masyarakat Iban yang rata-ratanya berada di bawah tahap kemiskinan bagi membolehkan mereka keluar dari kitaran kemiskinan.

Dr. Xavier Jayakumar, Exco Negeri Selangor yang menerajui potfolio pembasmian kemiskinan Negeri Selangor , mengatakan bahawa beliau telah memaklumkan perkara ini kepada Ali Biju calon Keadilan yang baru memenangi Dun N.34 Krian dalam PRN ke 10 Sarawak beberapa hari yang lalu.

Sekolah berkenaan terletak di dalam Dun Krian.

Ali menegaskan bahawa beliau akan membangkitkan hal ini dalam sidang Dun Sarawak dalam masa terdekat.   Beliau juga akan menulis kepada Kementerian Pelajaran untuk tindakan seterusnya.









Selangor Serah Tugas Pengurusan Pembersihan Kepada PBT

Posted: 18 Apr 2011 02:30 AM PDT

SHAH ALAM 18 APRIL : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan menyerahkan semula pengurusan pembersihan awam yang sebelum ini dikendalikan Alam Flora Sdn Bhd kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal seperti pungutan sampah di setiap rumah masih lagi dikendalikan oleh Alam Flora.

"Kami putuskan kuasa untuk perkhidmatan pembersihan diberi semula kepada PBT kerana kita dapati antara masalah terbesar dan aduan yang kita terima adalah mengenai kebersihan.

"Kita rasa dua tugas itu terlalu besar untuk dijalankan oleh Alam Flora.Sekiranya Alam Flora menumpukan kepada pemungutan sampah sahaja kita lebih senang tahu tugas mereka," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan Selangor, di sini hari ini.

Selain itu, Khalid berkata kerajaan negeri juga mendapati Alam Flora lebih banyak bertindak sebagai koordinator dan menggunakan khidmat kontraktor untuk menjalankan tugas pengutipan sisa pepejal.


Menurut Khalid, keputusan itu juga tidak akan memberi implikasi kepada kewangan PBT yang terpaksa membelanjakan antara RM300 juta hingga RM400 juta bagi kerja-kerja pembersihan serta pengurusan sisa pepejal.

"Kita menganggarkan lebih daripada RM200 juta akan digunakan untuk pengurusan pembersihan," katanya.

Jelas Khalid lagi, kerajaan negeri juga melihat pembahagian tugas antara Alam Flora dan sembilan PBT itu dapat menjimatkan 10 peratus kos pengurusan yang selama ini dikenakan oleh Alam Flora bagi pengendalian pengurusan pembersihan. 

Katanya lagi, pengambilalihan tugas daripada Alam Flora sepatutnya dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bermula 1 April tahun ini menerusi peruntukan undang-undang yang diluluskan.

Menurutnya, peruntukan itu memberikan kuasa kepada kementerian untuk menentukan tugas syarikat konsesi perkhidmatan sisa pepejal tersebut di setiap negeri di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.

"Oleh kerana belum dapat diselaraskan lagi pentadbirannya jadi kementerian belum jalankan tanggungjawab itu. Sebab itu pada dua minggu lepas kerajaan Selangor telah buat keputusan untuk bahagikan tugas tersebut," katanya.

Tegas Khalid, keputusan itu juga tidak bercanggah dengan perjanjian kontrak yang dibuat kerajaan negeri dengan Alam Flora sebelum ini.

Tambah Khalid, walaupun kerajaan negeri memutuskan untuk menyerahkan semula pengurusan pembersihan awam kepada PBT namun beliau tidak akan menamatkan perkhidmatan Alam Flora selepas ini.

Sumber: TVSNEWS

Hasrat Najib Bubar Parlimen Terencat, Kata Dr Xavier

Posted: 18 Apr 2011 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 18 APRIL : ADUN Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak berani untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti dalam jangka masa terdekat ini berikutan kehilangan 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak semalam.

Dr Xavier berkata, walaupun pembangkang gagal menafikan kebolehan BN Sarawak mendapat majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri semalam, tetapi Pakatan Rakyat tetap berpuashati kerana undi popular BN telah merosot lapan peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menyatakan BN hanya berjaya merekodkan 372,379 undi atau 54.5 peratus daripada jumlah yang keluar mengundi semalam.

"Kejayaan Pakatan Rakyat memenangi 15 kerusi pada Pilihan Raya Sarawak ke 10 semalam sedikit sebanyak telah merencatkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 13 sekaligus membubarkan parlimen pada tahun ini," katanya.


"Berkemungkinan besar Najib juga akan meneliti semula beberapa faktor sebelum mahu mengadakan PRU Ke 13 dalam waktu terdekat," ujarnya.    

Dr Xavier berkata demikian ketika mengulas tindakan Najib yang menjadikan keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebagai kayu pengukur untuk beliau memutuskan sekarang adalah masa terbaik untuk mengadakan PRU di Majlis Perasmian Meletak Batu Asas di SJKT Ladang Midlands, Seksyen 7, Shah Alam.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan SPR semalam, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pada pilihan raya negeri 2006 yang mana ketika itu BN memperoleh 63 kerusi.

Menurut SPR lagi, pihaknya juga turut mencatatkan jumlah perolehan undi parti itu untuk lima tahun lalu dimana perikatan itu menerima 62.91 peratus atau 341,587 undi dan 71.16 peratus dengan 382,137 undi pada 2001.

Manakala pada pilihan raya negeri Sarawak yang kesembilan dan kelapan pada tahun 2006 dan 2001 lalu, hanya 69 dan 43 kerusi disaingi selepas bakinya dimenangi BN tanpa saingan.

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 10 semalam menyaksikan kejayaan Pakatan Rakyat menambah lapan kerusi DUN walaupun BN  berjaya mengekalkan dua pertiga majoriti dalam pilihan raya negeri itu selepas mememangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Awal bulan ini, Najib, yang juga Pengerusi BN, dilaporkan berkata bahawa beliau akan melihat dahulu keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebelum membuat keputusan tentang waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum.

Terdapat juga spekulasi bahawa Najib mungkin membubarkan Parlimen tahun ini walaupun tempohnya hanya akan berakhir 2013.

Pilihan raya umum ke-12 telah diadakan pada Mac 2008.


Sumber: TVSNEWS

Menghadiri Majlis Pecah Tanah SJK (T) Ladang Midlands

Posted: 16 Apr 2011 11:30 PM PDT

Shah Alam, 17 April 2011 – YB Dr Xavier Jayakumar telah menghadiri Majlis Pecah Tanah di SJK(T) Ladang Midlands, Shah Alam yang bermula pada pukul 10 pagi.

Perasmian yang dilakukan oleh Dr Xavier itu dihadiri oleh YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam,  YDP PIBG SJK(T) Ladang Midlands, Encik S. Kumaravel, Tuan Pengerusi, Encik K. Uthayasoorian.

Majlis pecah tanah dan perletakan batu asas bagi sekolah tersebut berakhir pada waktu tengahari.   














Wanita DUN Seri Andalas Pelajari Cara Menghasilkan Coklat

Posted: 16 Apr 2011 11:15 PM PDT

Sg. Kandis, 17 April 2011 – Seramai tujuh puluh orang wanita telah menghadiri program yang diadakan untuk wanita DUN Seri Andalas.

Program yang diadakan di dewan MBSA Sg. Kandis itu bermula sejak pukul 8.30 pagi.

Penerangan tentang pinjaman kecil telah dibuat oleh MIMBAR.

Para wanita kemudiannya diberitahu tentang Skim TAWAS dan MUES oleh Puan Mary, yang merupakan salah seorang petugas DUN Seri Andalas.

Encik PS Rajoo yang merupakan Ahli Majlis MPK memaklumkan bahawa pemeriksaan mata secara percuma akan diadakan di pejabatnya pada 23 dan 24 April. 


Selepas sarapan pagi, para wanita didedahkan dengan Program Membuat Coklat. Pertama sekali mereka didedahkan cara-cara membuat coklat secara teori melalui persembahan slide yang disediakan.

Setelah penerangan melalui teori dibuat, para wanita kemudiannya melakukan praktikal. Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada sepuluh orang setiap kumpulan.

Para wanita yang hadir sangat teruja dengan pendedahan membuat coklat, mereka mempelajari pelbagai resipi dan rekacorak coklat yang cantik.

Sesi program untuk wanita di DUN Seri Andalas pada hari ini kemudiannya berakhir pada 1.30 petang dan para peserta diberikan 'goodie bag Selangor'.

Program yang diadakan hari ini bukan sahaja memberi manfaat kepada wanita dari segi penyediaan coklat dan pendedahan tentang skim-skim yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor, malah program sebegini yang membawa setiap kaum berkumpul bersama-sama dapat memupuk perpaduan antara kaum. Pihak DUN Seri Andalas akan mengadakan program sebegini dari masa ke semasa.













Mengimbas Kembali Sekitar Kempen PKR N34 Krian, Ali ak Biju

Posted: 16 Apr 2011 11:10 PM PDT

Semasa hari penamaan calon pada 6 April 2011 yang lalu, lebih 3,000 penyokong PKR mengiringi beliau berarak mengelilingi pekan Saratok selepas di isytiharkan sebagai calon PKR dun tersebut.

Jentera kempen beliau juga telah menaikkan 5 'giant billboard' bersaiz 25 kaki X 15 kaki yang dianggap paling besar pernah dipasang dalam PRN Sarawak ke 10 ini.  

Dalam PRN Sarawak baru ini Ali merupakan salah seorang 'giant killer' apabila berjaya menumbangkan Datuk Peter Nyarok ak Entrie (penyandang selama 4 penggal Dun tersebut) yang juga merupakan Timbalan Menteri Modernisasi Pertanian Negeri Sarawak dengan majoriti sebanyak 2.090 undi. Peter juga adalah Timbalan Presiden Parti Progresif Demokrasi Sarawak (SPDP). 

Ali mendapat 5,178 manakala Peter Nyarok mendapat 3,088 undi dalam pertandingan 4 penjuru di Dun tersebut.


Ali dibantu oleh YB Dr. Xavier Jayakumar (ahli Biro Politik PKR Pusat) yang juga merupakan seorang ahli Exco Negeri Selangor dalam gerak kerja sepanjang kempen piliharaya di Dun tersebut.